“Apa
kamu cakap? Kamu nak pindah?!”
Suara mama kedengaran tinggi kerana
suasana sunyi yang mencengkam ketika ini. Amal mengangguk perlahan tanpa mampu
memandang wajah mama ketika ini. Tak sanggup rasanya untuk melihat wajah mama
yang pastinya akan kecewa.
“Kamu nak pindah ke mana? Apa yang
tak cukup dalam rumah ini, Amal?” suara Datin Nora cuba sedaya-upaya untuk
dikekalkan. Jantungnya hampir gugur mendengar ucapan Amal selepas mereka makan
malam hari ini.
Amal menghela nafas. Dengan kekuatan
yang bersisa, kepala diangkat. 8 pasang mata memandang kearahnya dengan wajah
berkerut, kurang mengerti. Amal kuatkan semangat ketika ini. Sekarang, barulah
dia merasa betapa asingnya dirinya ketika ini. Walaupun mama cuba untuk menutup
semua itu namun ianya takkan mampu menutup kekosongan yang dirasai ketika ini.
“Amal….dah jumpa….keluarga
kandung…..Amal”
Mama kelihatan terkejut. Along dan
papa berpandangan. Hanya Kai sahaja yang kekal dengan reaksi tanpa kejutan
ataupun kerutan. Bibir diketap sambil tangan menggeletar menahan perasaan
ketika ini.
“Kamu….dah jumpa….keluarga kandung
kamu?”
Papa menyoal. Dia turut kelihatan
tidak percaya. Amal mengangguk. Sememangnya, diri terasa keseorangan sekali
ketika ini. “Bila? Dekat mana? Kamu yakin mereka keluarga kamu?”
Angguk lagi. Datin Nora mengenggam
erat tangan suaminya. Perkara yang pAlyng ditakutinya terjadi akhirnya. Amal
ketika ini kelihatan sangat jauh. Amal sekarang ini adalah gadis yang dikenAlynya
sewaktu pertama kali mereka bertemu. Dia juga menahan rasa sebak yang semakin
menyesakkan dada ketika ini.
“Kenapa tak beritahu along?”
Kuzer menyoal, kecewa. Amal
rahsiakan perkara besar ini daripada mereka. Tiba-tiba sahaja dia ambil
keputusan untuk pulang ke pangkuan keluarga kandungnya. Amal tak fikir perasaan
mereka ke? Amal memang tak pernah menganggap mereka seperti keluarganya sendiri
ke?
“Bukan mudah” perlahan dia menutur.
Wajah along dipandang sayu. Amal tahu along kecewa. Selama ini, semua perkara
dikongsi bersama along. Tapi dia sendiri didalam dilemma. Dirinya berada
ditengah dan tanganya ditarik kiri dan kanan. Amal sendiri hampir patah seluruh
badan kerana itu.
“Amal tak mahu melukai sesiapa. Amal
sayang mama. Amal sayang along, Kai dan papa. Sayang sangat-sangat. Mulanya
Amal ingin lupakan semuanya dan teruskan hidup seperti biasa. Tapi sebentar
tadi, ayah kandung Amal dimasukkan ke hospital. Serangan jantung. Amal rasa
bersalah sangat, ma. Amal satu-satunya anak ayah. Sepatutnya Amal jaga ayah
ketika ini”
Suasana kembali sepi. Amal menyeka
hujung mata. Dada terasa sesak kerana menahan perasaan ketika ini. Kai menghela
nafas. Mama turut menyeka airmata. Along mengeluh sambil merenung syiling. Papa
pula hanya membisu sambil cuba menyalurkan semangat untuk mama lebih kuat.
“Macam mana kamu yakin mereka
keluarga kamu? 3 tahun kamu dibiarkan tanpa apa-apa berita”
“Panjang ceritanya, pa. Tapi
kebenaran sudah terbukti. Mungkin mereka ada alasan untuk tak mencari Amal 3
tahun yang lepas”
“Apa? Apa alasanya, Amal? 3 tahun
lepas bila kamu terjaga dan hilang ingatan, mama taktahu nak buat apa. Bila
tiada langsung kenyataan tentang siapa diri kamu. Bila kamu memandang mama
dengan penuh benci. Mama buat semuanya untuk kamu terima mama. 3 tahun mama
sayang kamu macam anak mama sendiri. Kenapa kamu buat macam ni? Kamu tak
sayangkan mama ke?”
Keadaan menjadi tegang apabila mama
sudah menangis teresak-esak. Amal menggigit bibir menahan rasa. Walaupun
matanya sudah berkaca namun dia menyeka setiap titis airmata yang turut.
Dirinya perlu kuat untuk meninggalkan mereka walaupun hatinya hancur ketika
ini.
“Kamu anak mama! Mama sayang kamu
macam nyawa mama sendiri. Kenapa kamu sanggup tinggalkan mama? Kamu berjanji
takkan tinggalkan mama!”
“Nora!” Datuk Megat Akashah bersuara
keras. Dia lihat wajah Amal yang menahan semuanya. Didalam hal ini, Amal adalah
mangsa. Dirinya adalah yang pAlyng teruk terluka. Soalan Nora hanya akan
melukai Amal lebih dalam lagi.
Blouse
biru pemberian mama dicengkam erat. Amal menghela nafas. Dirinya masih
bertahan walaupun mama sudah break sepenuhnya.
Along memandang sayu. “Kamu anak mama. Kamu anak mama! 3 tahun mereka tak
mencari kamu. Kenapa tiba-tiba mereka datang dan minta kamu semula? Kenapa? Apa
yang mereka nak?”
“Sabar Nora. Jangan begini. Kasihan
Amal” tubuh kurus isterinya itu dipeluk erat. Datin Nora menangis di bahu
suaminya. Sungguh dia merasa tidak adil. 3 tahun adalah masa yang lama. Amal
adalah anaknya. Tapi tiba-tiba anak kesayanganya ini akan diambil semula oleh
keluarganya. Kejamnya mereka! Bagaimana dengan dirinya? Bagaimana dengan
perasaan sayang ini?
Kai mendengus apabila melihat
keadaan jadi semakin tidak terkawal. Dia bangun menghampiri Amal. Walaupun dia
tahu mama tidak seharusnya seperti ini namun Kai memahami kenapa mama seperti
ini. Didalam hal ini, tiada siapa yang bersalah sebenarnya.
“Bangun”
Amal mengangkat muka memandang Kai. Apabila
melihat Kai yang sangat hampir, semua perasaan seolah-olah membuak-buak untuk
keluar. Bibir diketap lebih kuat. Amal tak mahu menangis. Dia sudah berjanji
dengan diri sendiri.
“Bangun!” kali ini suaranya lebih
tegas. Kai menarik lengan Amal untuk sama-sama berdiri. Sempat dia mengenggam
tangan gadis itu sebelum menoleh kearah mama yang masih menangis teresak-esak.
Kai mengeluh, berat. Keadaan jadi semakin tidak terkawal.
“Kai bawa Amal keluar dulu”
Dia bertemu mata dengan papa. Lelaki
itu sekadar mengangguk, lemah. Kai memandang along yang kaku disebelah. Dia
menggeleng. Sepatutnya along lebih matang daripada mama. Sepatutnya, along yang
membawa Amal keluar.
Tapi mungkin along juga seperti
mama. Bukan bermakna dia tidak menyayangi Amal namun Kai tahu hanya dirinya
sahaja yang masih tenang ketika ini. Papa juga kelihatan terganggu walaupun dia
cuba berlagak tabah ketika ini.
Dia menoleh kearah Amal yang
merenung permaidani tanpa berkelip. Ini lagi seorang! Cuba untuk sembunyikan
perasaan tanpa sedar bahawa dia melukai hatinya sendiri. “Ikut aku” tangan Amal
ditarik keluar daripada rumah yang seperti dilanda garuda ketika ini.
***********************************************
Kereta diberhentikan di bahu jalan.
Keadaan jalan yang sedikit lengang membuatkan suasana diantara mereka juga
menjadi kekok. Amal masih membisu sejak dirinya dibawa keluar dari rumah tadi.
Kai sendiri taktahu kemana dia hendak pergi sehinggalahnya mereka berada
disini.
Hampir 9 malam. Amal masih tidak
bersuara. Hanya tunduk sahaja. Bunyi nafas yang kedengaran sahaja yang membuatkan
Kai yakin Amal masih bernyawa. Sebenarnya, dia sendiri taktahu kenapa dirinya
membawa Amal pergi. Mungkin kerana tak mahu keadaan menjadi lebih tegang.
“Lapar?” dia menyoal setelah tak
tahan dengan suasana sunyi yang mencengkam mereka ketika ini.
Amal menggeleng. Selera makanya mati
apabila memikirkan perkara ini. Kai menghela nafas memegang stereng kereta.
Kemudian, tubuh disandar di kusyen kereta. “Berikan mama masa. Dia akan terima
semua ini perlahan-lahan”
Angguk. Kai menurunkan cermin kereta
memandang kearah jalan raya yang masih sibuk dengan kereta yang lalu-lintas.
“Ayah kau. Kau ingat dia?”
Amal menoleh. Seketika kemudian,
mereka bertemu pandang. “Perempuan yang datang jumpa kau dekat kolej hari yang
sama kau pengsan. Keluarga kau?”
Kai lihat Amal terkejut mendengar
soalanya. Pasti Amal tak menduga orang lain akan mengetahui rahsia ini.
“Ma…macam…mana…..”
“Aku mungkin nampak tak ambil-berat.
Tapi aku lihat semua gerak-geri kau. Banyak kisah kau yang aku tahu. Aku hanya
nak lihat sejauh mana kau mampu simpan semua itu”
Amal kembali terdiam. Kai menghela
nafas. AmAlyna Imani. Itu nama yang mama sendiri pilih. Nama yang ingin diberi
kepada anak perempuan mama. Aneh, beberapa bulan yang lepas gadis ini adalah
Amal yang mereka kenal. Tapi sekarang sudah berbeza. Amal terasa sangat jauh
walaupun secara kasarnya, dia masih milik
mereka.
“Kai”
Suara itu tiba-tiba kedengaran. Kai
menoleh. Amal mengetap bibir. Dia seperti ingin berkata sesuatu namun mahu
difikir terlebih dahulu. “Betulke apa yang Amal buat? Keputusan yang Amal ambil
ini tepat ke?”
Melihat wajah itu jujur menyoal, dia
kehilangan kata. Jantung tiba-tiba berdetak laju. Kai menelan air liur. Apa
maksud semua ini?
“Mama atau ayah. Amal tak boleh
pilih kedua-duanya ke?”
Fokusnya kembali. “Ikut kata hati
kau” perlahan dia menutur. Amal menghela nafas. Dia sendiri keliru dengan kata
hatinya sekarang ini. Terlalu banyak diminda sehingga terasa kepala seperti
hendak pecah.
“Amal takkan boleh dapat
kedua-duanya”
Airmata akhirnya menitis. Dia tidak
perlu berpura-pura lagi. Entah kenapa, Amal tak malu untuk menangis dihadapan
Kai ketika ini. Jujurnya, dia sangat penat dengan apa yang berlaku sekarang
ini. Sekelip mata, hidupnya yang tenang seolah-olah dilanda taufan yang sangat
kuat. Kenyataan yang sangat memeritkan namun harus diterima kerana itulah
dirinya yang sebenar.
Kai menghela nafas. Dia taktahu
bagaimana hendak memujuk Amal. Selalunya, Along yang akan ambil-alih. Tangan
kiri diangkat dengan teragak-agak. Kemudian, dia mengusap kepala Amal dengan
lembut. Ini sahaja yang disuruh hatinya ketika ini.
“Walauapapun yang berlaku, kami
tetap keluarga kau. Along dan aku tetap abang kau. Mama dan papa juga. Sayang
kami takkan berubah kerana kami ikhlas terima kau dalam hidup kau. Sebenarnya,
kami dah bersedia sejak dahulu lagi. Jika ditakdirkan kau tak memilih kami
sekalipun, kami tetap mahu kau bahagia”
Amal mengesat airmata namun esakan
kecil masih kedengaran. Kai menarik tanganya semula. Sungguh kekok kerana
selalu, dia adalah abang yang dingin dan sukar menunjukkan perasaan. Namun,
hatinya takkan mampu melihat Amal menangis seperti ini.
“Kai” suara itu kedengaran lemah.
Kai menoleh sambil cuba mengawal degupan hati yang sangat tidak normal ketika
ini.
“Amal nak pindah”
Seperti batu besar yang menghempap
diri. Seperti dia baru mendengar khabar yang membuatkan guruh
sambung-menyambung. Seperti dia kehilangan separuh jiwanya. Kai memandang Amal,
tidak berkelip.
“Amal nak jaga ayah. Amal nak jadi
anak yang baik. Ayah jatuh sakit sebab rindukan Amal. Cukuplah Amal buat ayah
sedih. Amal taknak ayah sakit sebab Amal”
Kai masih diam. Dia menyandar tubuh
di kusyen. Sekarang, dirinya pula yang seperti along. Amal nak pindah? Amal nak
tinggalkan rumah dan mereka sepenuhnya?
Amal mengetap bibir melihat reaksi
Kai ketika ini. Dia tahu ucapanya tadi ibarat halilintar selepas taufan.
Walaupun perbuatan ini dirasakan sangat kejam namun Amal mahukan yang terbaik
buat mereka. Amal tak mahu melukai sesiapa lagi.
**********************************
Pintu bilik utama dibuka perlahan.
Apabila mereka kembali, suasana rumah seperti dilanda garuda. Sunyi-sepi. Ibu
Siti juga tidak kelihatan. Pasti dia sudah mendengar segala-galanya. Amal
gagahkan diri untuk masuk ke dalam bilik.
Kata Along, mama hanya berada
didalam bilik tanpa mahu keluar. Keadaan mama juga nampak lemah. Amal semakin
rasa bersalah. Kerana memilih mama, dia hampir kehilangan ayah. Sekarang
apabila memilih ayah, dia kehilangan mama. Kalau diikutkan hati, dia seperti
hendak gila sekarang ini.
Kaki diatur perlahan menghampiri
katil. Kelihatan mama berbaring membelakangi dirinya. Amal menghela nafas.
Melihat mama seperti ini, hatinya bagai dicarik-carik. Mama tak bersalah.
Dirinya yang harus bersyukur kerana diberi peluang berada dibawah lindungan
kasih mama. Kerana itu, dia menjadi lupa mengenai siapa diri ini. Kerana
kasih-sayang mereka, Amal lupa dirinya.
“Ma….”
Perlahan dia menutur. Dia cuba
menahan rasa sebak. Jika dirinya menangis, mama pasti akan lebih teruk. Tangan
diangkat perlahan-lahan lalu memegang tangan mama. Rasa sebak menyesakkan dada
ketika ini.
“Amal minta maaf, ma. Amal minta
ampun dengan mama. Amal terima semuanya tapi tolong jangan begini. Pandang
Amal, ma. Amal lukai mama. Amal kecewakan mama. Amal tak kenang budi. Amal
terima ma. Tapi jangan alihkan pandangan dari Amal. Amal takkan mampu terima”
Dia melutut disebelah katil dengan
linangan airmata. Dirinya akan mati jika dibenci mama. Dia takkan punya sebab
untuk hidup lagi jika mama tidak mahu memandangnya.
“Amal minta ampun, ma. Amal minta
ampun”
Dalam kesukaran untuk bernafas dan
menangis, dia menutur. Otaknya terasa seperti hendak pecah ketika ini. Hatinya
bagai diperah-perah tanpa belas ihsan.
Datin Nora mengetap bibir menahan
tangisan. Mendengar Amal merayunya seperti ini. Hati ibu mana yang tidak
tersentuh. Walaupun Amal bukan darah dagingnya. Amal tetap anaknya sampai
hujung nyawa. Hati seorang ibu ibarat sudah mati apabila anak itu akan dibawa
pergi tanpa dirinya mampu melakukan apa-apa.
Perlahan dia menoleh melihat Amal
melutut sambil menundukkan wajah. Airmatanya menitis jatuh diatas permaidani.
“Amal”
Tubuh anak kesayanganya itu dipeluk
erat. Mereka menangis lebih kuat. Datin Nora mengeratkan pelukan walaupun dia
turut sama menangis. “Amal minta maaf. Amal minta maaf”
Datin Nora sekadar menggeleng
kepala. Belakang kepala Amal diusap lembut. Dia merenggangkan pelukan sebelum
mengesat airmata Amal yang berlinang. Dirinya takkan mampu menjauhkan diri
daripada Amal. Dia sendiri tidak sedar sejak bila Amal dianggap seperti nyawa
sendiri.
“Shhhh.
Jangan menangis. Mama tak marah kamu. Tiada apa yang perlu mama maafkan.
Kamu tak buat salah langsung. Kamu anak mama yang sangat baik. Tak pernah
sekalipun kamu sakitkan hati mama. Jangan minta maaf, Amal”
Amal semakin sebak mendengar ucapan
mama. Dia turut mengesat airmata mama. “Amal tetap anak mama ‘kan? Mama tetap
mama Amal ‘kan?”
Hati Datin Nora bagai disiat-siat.
Ya Allah. Beratnya dugaan-Mu untuk hamba yang kerdil ini. Aku memohon
bantuan-MU, Yang Maha Esa. Datin Nora menghela nafas, cuba mengawal perasaanya
ketika ini. Dengan cukup sukar, dia mengukir senyuman.
“Ye, sayang. Kamu tetap anak mama.
Mama tetap mama kamu. Walauapapun yang berlaku, rumah ini adalah rumah kamu.
Keluarga ini adalah keluarga kamu. Tiada apa yang berubah”
Amal mengangguk. Terima kasih Ya
Allah kerana mempertemukan aku dengan mereka yang sangat baik ini. Tiada kata
yang mampu aku ucapkan dengan pemberian yang sangat bermakna ini. Aku sangat
bertuah. Aku bertuah disayangi mereka tanpa perbezaan. Aku bertuah disayang
seperti keluarga sendiri oleh mereka. Aku takkan mampu membalas jasa mereka
selama-lamanya.
“Betul cakap mama. Amal tetap adik
manja along. Takkan berubah!”
Mereka menoleh melihat along yang
sudah berdiri di muka pintu dengan senyuman. Kai disebelah memandang tanpa
perasaan namun Amal mampu membaca perasaanya yang sama.
“Anak papa ni sentiasa manja. Suka
sangat menangis” tiba-tiba papa mengusap kepalanya dengan lembut. Amal kembali
sebak. Tangan yang tiba-tiba digenggam erat membuatkan Amal kembali memandang
mama dihadapanya.
“Mama sayang Amal. Sayang
sangat-sangat” dahinya dikucup lembut. Hatinya terasa hangat dengan
kasih-sayang mama. Mama mengukir senyuman.
“Terima kasih kerana sudi menjadi
anak mama. Terima kasih kerana memilih mama menjadi mama Amal. Mama sayang
Amal”
Pelukan dierat. Papa mengusap
rambutnya dengan lembut. Kuzer dan Kai memandang dengan pelbagai perasaan.
Mungkin kenyataanya lain namun bagi mereka, Amal tetap keluarga. Amal tetap
adik kesayangan mereka. Tiada apa yang berubah.
***************************************
“Amal”
Farah bangun menghampiri setelah
dari tadi dalam keadaan serba tak kena. Semalam, dia mendapat panggilan
daripada Amal. Keluarga angkatnya sudah mengetahui semuanya. Walaupun mereka
seperti sukar untuk menerima kenyataan itu namun keadaan sedikit pulih.
Sekarang, Amal mahu memberitahu pakcik Hussain pula.
Senyuman hambar diberi. Farah
memandang dengan rasa kasihan. Amal kelihatan letih dan tidak bermaya. Ditambah
pula dengan lingkaran gelap dibawah mata. Pasti semua ini sangat sukar untuk
dirinya sekarang.
“Ayah macam mana? Dia dah semakin
sihat ‘kan?”
Farah mengangguk. Tangan kanan Amal
dipegang lembut. Amal hanya memandang. “Awak yakin? Saya tak kisah jika awak
perlukan masa”
Bibir mengukir senyuman menyakinkan.
Sudah terlalu lama masa diberikan. Jika ayah tidak jatuh sakit, pastinya dia
masih leka dengan dunia yang bukan miliknya itu. Perlahan, Amal mengangguk.
“Cepat atau lambat, saya harus
hadapinya juga. Makcik Sarah dan kak Lisa pun ada didalam ‘kan?”
Farah mengangguk lagi. Dia risau
sebenarnya. Hubungan makcik Sarah, Lisa dan Amal tidak baik langsung. Namun
memandangkan Amal sudah hilang ingatan, pastinya dia tidak tahu mengenai itu.
Farah khuatir jika ibu dan kakak tiri Amal itu melakukan sesuka hati mereka dan
mengambil kesempatan diatas keadaan Amal sekarang.
Amal menghela nafas. Jantungnya
berdegup seolah-olah sedang berlari 100 meter ketika ini. Semalaman dirinya
tidak mampu tidur kerana memikirkan hari ini. Banyak perkara yang difikirkan
sehingga memberi tekanan kepada diri sendiri. Namun dia juga sedar. Dirinya
takkan mampu lari lagi. Samada masalah ini dihadapi sekarang ataupun ia akan
terus menghantuinya.
“Marilah. Semuanya harus kembali ke
tempatnya semula”
Farah mengikut di belakang. Dia
berharap semuanya akan berjalan lancar walaupun hatinya kuat mengatakan
sebaliknya. Pintu wad dibuka. Amal masuk dengan tenang dan menghampiri katil
ayah. Dia mendengar suara makcik Sarah yang sedang berbual dengan ayah ketika
ini. Kehadiran mereka segera disedari Lisa
yang sedang duduk dikerusi sambil membaca majalah.
“Pakcik” Farah bersuara disebelah
Amal yang hanya berdiri kaku dihujung katil. Suasana menjadi sunyi seketika.
“Eh, Amal. Tak sangka kamu disini.
Farah beritahu kamu yang menolong pakcik sewaktu dihantar ke hospital ini.
Terima kasih ye”
Senyuman ayah membuatnya hatinya
bagai dihiris-hiris. Melihat ayah yang kelihatan cengkung, hatinya bagai
diperah seperti kain basah. Lebih memeritkan lagi apabila dia langsung tidak
mengingati lelaki yang merupakan nyawanya ini. Helaan nafas dilepaskan.
“Farah ada perkara hendak diberitahu
sebenarnya” dia akhirnya bersuara dengan kekuatan yang dipaksa. Lisa mengerut
dahi sambil memeluk tubuh. Dia mengesan sesuatu yang tidak kena. Sejak melihat
Amal, hatinya sentiasa tidak tenteram. Wajahnya yang sangat mirip dengan Alyn
membuatkan dia turut membenci gadis itu.
“Perlu ke kamu beritahu dia
sekarang? Pakcik kamu ni baru pulih. Tak boleh tunggu sehingga dia benar-benar sihat
ke?”
Suara makcik Sarah kedengaran tegas
dan dingin. Amal menelan air liur. Melihat wajah makcik Sarah yang menjeling
kearah mereka membuatkan dirinya sedikit takut. Makcik Sarah kelihatan tidak
menyukainya sejak kali pertama bertemu. Tapi, kenapa?
“Ini Alyn!”
Suasana diantara mereka seperti
dilanda garuda. Pakcik Hussain memandangnya tidak berkelip. Amal hanya berdiri
kaku menahan rasa. Lisa tergamam. Makcik Sarah hampir terlepas sudu yang
dipegang. Farah menghela nafas.
“Alyn tak mati, pakcik. Ini Alyn.
Anak kesayangan pakcik. Kawan baik Farah. Dia hilang ingatan dan dijaga oleh
sebuah keluarga yang sangat baik. Dia bukan mirip Alyn. Dia adalah Alyn!”
Dengan sekali nafas, Farah menutur
semuanya. Mereka bertiga masih didalam keadaan terkejut. Pakcik Hussain
tiba-tiba memegang dadanya. Amal yang terkejut, segera menghampiri.
“Ayah!” tangan yang sudah berkedut
itu dipegang dengan rasa risau. “Sakit ke? Nak Amal panggilkan doktor?”
Pakcik Hussain menoleh. Melihat Amal
yang risaukan dia. Mendengar Amal memanggilnya ayah. Sekali pandang, dia merasa
seperti Alyn hidup semula. Tapi, Farah beritahu Amal adalah Alyn.
“A….Alyn?” dia menyoal,
teragak-agak. Amal mengangguk, lemah. “A….Alyn?” kali ini, mata ayah sudah
berkaca. Amal mengetap bibir namun masih mengangguk.
“Alyn, anak kesayangan ayah?”
Airmatanya tumpah. Amal mengusap
pipi ayah dengan lembut. “Ya, ayah. Ini Alyn, anak kesayang ayah”
“Allahuakbar”
Segenap ruang hanya kedengaran
esakan daripada seorang ayah yang terlalu merindui anaknya. Amal hanya mampu
menangis tanpa esakan didalam pelukan ayah yang erat. Farah yang menjadi
pemerhati turut mengesat hujung mata.
“Ayah ingat kamu sudah meninggal,
sayang. Kereta yang kamu naiki terbakar teruk sehingga ayah sendiri tak dapat
mengenali kamu. Ketika itu, ayah sangat sedih. Kenapa ayah tak kenal anak ayah
sendiri? Kenapa Alyn tak beri apa-apa petunjuk untuk tenangkan ayah bahawa Alyn
benar-benar sudah pergi?”
“A….amal minta maaf”
Belakang ayah diurut lembut. Hatinya
bagai dicucuk-cucuk mendengar ayah menangis. Pastinya ayah sangat merindui
dirinya. Selama ini, dia sangat mementingkan diri. Dirinya memilih keluarga
angkat berbanding keluarga sendiri. Dia mengambil kesempatan diatas keadaan
dirinya untuk melupakan semua kenyataan yang diketahui. Semuanya dilakukan
untuk melindungi diri sendiri tanpa mengetahui bahawa ada orang lain yang
menderita kerana kehilanganya. Ada orang lain yang sentiasa merindui walaupun
dirinya dikhabarkan sudah meninggal dunia. Ada orang lain yang masih percaya
bahawa dia masih hidup didunia ini.
“Ayah rindukan kamu sayang. Jangan
tinggalkan ayah lagi”
Amal hanya mampu mengangguk dengan
linangan airmata yang semakin laju. Walaupun dia masih tidak mengingati apa-apa
tentang kehidupan sebelum kemalangan namun itu bukan alasan untuk terus
melarikan diri. Amal yakin kasih-sayang ayah akan mampu membantunya mengingati
semua itu.
************************************
“Jadi, kamu lakukan ujian DNA secara
senyap-senyap?”
Ayah menyoal setelah keadaan sedikit
tenang. Mereka hanya bertiga di wad sementara makcik Sarah dan Lisa meminta
diri untuk keluar sekejap. Farah mengangguk. Dia juga tidak menyangka semua
ini. Namun apa yang pasti, dia sekadar mengikut kata hati sahaja.
“Tapi….kenapa? Kamu tak percaya yang
Alyn sudah meninggal?”
Farah memandang Amal yang memegang
erat tangan pakcik Hussain. Senyuman diukir. “Jauh disudut hati Farah, ada sesuatu
yang menyakinkan Farah bahawa Amal masih hidup. Waktu bertemu Amal dahulu,
Farah ingatkan Farah jumpa hantu sebenarnya. Mereka sangat mirip sehingga Farah
rasa Alyn mungkin ada kembar yang tak kita ketahui”
Dia melihat 2 beranak itu tersenyum
sedikit. “Tapi apabila Farah dengar kisah Amal, Farah sedar yang dia bukan
Alyn. Sehinggalah Amal buka cerita tentang kemalanganya 3 tahun lepas. Semuanya
terlalu kebetulan jadi Farah buat keputusan itu”
Pakcik Hussain mengangguk. Dia
berterima kasih kepada Farah untuk itu. Kerana keyakinan itulah, dirinya
kembali bertemu Alyn. Kerana rasa tak putus asa Farah, Alyn kembali ditemui.
Patutlah sejak bertemu, hatinya kuat mengatakan Amal adalah anaknya.
“Sebenarnya, Farah dan beritahu Amal
lama tentang keputusan itu. Tapi Amal perlukan masa untuk terima semuanya.
Maafkan Amal, ayah. Amal ambil masa untuk kembali ke pangkuan ayah. Amal minta
maaf kerana tak bersama ayah selama ini”
Keadaan kembali sedih. Pakcik
Hussain menggeleng. Pipi Amal diusap dengan senyuman lembut. “Ayah bersyukur
dengan takdir ini. 3 tahun ayah hilang Alyn. Ayah bagai orang gila sebenarnya.
Alyn yang diambil dari ayah secara tiba-tiba. Ayah rasa hidup aku gelap
sepenuhnya. Syukurlah kamu selamat. Syukurlah kamu dipertemukan dengan Farah. Terima
kasih, sayang”
Tanganya digenggam erat. Amal
mengukir senyuman dengan rasa sebak. Semuanya sudah kembali ke tempat asal
semula. Ini adalah keluarganya. Mereka ada orang-orang yang disayangi dirinya.
Terlalu banyak luka yang diberi. Amal tak mahu menambahnya lagi. Cerita 3 tahun
lepas akan dibiarkan berlalu. Amal hanya mahu melihat masa hadapan sahaja.
“Farah cakap kamu dijaga oleh sebuah
keluarga yang sangat baik. Keluarga yang kamu ceritakan dahulu ke?”
Amal diam sekejap. Dia hampir
terlupa tentang mereka. Keluarga yang menyayanginya. Keluarga yang menjaga
dirinya. Dia kemudian mengangguk. Terasa hatinya sedikit kosong mengenangkan
mereka yang harus dilepaskan demi keluarga ini. Amal sedar dia takkan mampu
memiliki kedua-duanya. Itu sekadar mementingkan diri sahaja.
“Ayah harus bertemu mereka untuk
ucapkan terima kasih. Mereka menjaga kamu dengan sangat baik. Ayah yakin mereka
sememangnya keluarga yang sangat baik. Ayah terhutang budi dengan mereka
sekeluarga”
Senyuman nipis diberi. Selepas ini,
semuanya harus dilupakan dan dia harus memulakan semula. Amal harus melupakan
semua yang dimiliki dahulu dan cuba mencari semula ingatanya yang hilang
sekarang. Dia harus menerima hakikat bahawa keadaan tidak akan seperti dahulu
lagi.
“Ayah berehatlah. Doktor cakap ayah
harus banyak berehat. Amal tak mahu ayah jatuh sakit lagi”
“Rindunya ayah dengar bebelan kamu.
Setiap hari pasti kamu akan ingatkan ayah untuk makan ubat dan tidak terlalu
kuat bekerja. Tak sangka perkara remah itu sebenarnya yang ayah rindu sewaktu
ayah kehilangan kamu dahulu”
Dia lihat mata ayah kembali berkaca.
Amal menghela nafas. Dia mampu melihat kesedihan ayah. Dia mampu melihat
penderitaan ayah. Semua itu kerana kehilangan dirinya. Tubuh lelaki itu
dibaring dengan perlahan-lahan. Selimut kemudian ditarik sehingga ke paras
dada.
“Ayah jangan risau. Amal takkan
kemana-mana lagi. Amal akan sentiasa disisi ayah. Ayah berehatlah. Nanti Amal
bawakan makanan ye?”
Ayah mengangguk seperti anak kecil.
Amal tersenyum sedikit sebelum dia melihat ayah mulai lena dengan tenang. Wajah
ayah direnung lama. Garis kedutan tua sudah mulai kelihatan. Ayah nampak lebih
berusia berbanding usia. Mungkin kerana kesedihan yang dialaminya yang
membuatkan badan tidak mampu menampung beban itu lagi.
*******************************
Pintu wad ditutup dengan
berhati-hati untuk tidak mengejutkan ayah yang sudah nyenyak. Badan terasa
sengal kerana duduk terlalu lamu. Amal menggerakkan tubuh badan untuk
menghilangkan rasa lenguh. Badan juga barus berasa letih selepas apa yang
berlaku. Tanpa sedar, hari sudah menginjak ke malam hari.
“Penatnya” Farah disebelah turut
sedang merenggangkan tubuhnya. Amal tersenyum. “Macam mak nenek”
Farah mencebik. “Banyak sangat drama
tadi. Habis airmata saya. Esok mesti bengkak. Habislah saya”
Dia mengurut bawah mata sambil
berpura-pura risau. Amal ketawa kecil sambil menggeleng. Bahu teman itu dipeluk
tiba-tiba. Farah kaget sekejap memandangnya. Amal memberi senyuman mesra.
“Terima kasih untuk semuanya. By the way, berhentilah bahasakan diri
saya dan awak. Geli pula aku dengar”
Farah tergamam. Dia seolah-olah
bermimpi sekarang. Amal ketawa semula. Tangan yang memeluk bahu Amal tadi
ditarik semula. Dia berdiri tegak tiba-tiba sebelum menghulur tangan kea rah
Farah yang masih kaku.
“Apa yang kau pandang macam nampak
hantu?” Amal tersenyum sedikit. “Maafkan aku kerana tak tunaikan janji. Maafkan
aku kerana buat kau tunggu lama untuk kembali. Maafkan aku kerana buat kau
bazirkan airmata. Maafkan aku juga kerana buat kau sedih dan terpaksa menjaga ayah
aku”
Amal lihat Farah masih tergamam. Dia
melangkah untuk mendekatkan jarak mereka sebelum tubuh itu dipeluk lembut. “Aku
rindukan kau, Farah. Terima kasih kerana mengenali aku terlebih dahulu”
Ucapan itu seolah-olah meruntuhnya
semua. Dia terasa seperti baru bangun daripada sebuah mimpi ngeri yang sangat
panjang. Airmata mengalir laju. Tubuh Amal dipeluk dengan erat bersama esakan
yang memenuhi ruang koridor ketika ini.
Amal mengusap belakang Farah untuk
menenangkan dirinya. Dia tersenyum mendengar esakan Farah yang semakin kuat
sambil mengeratkan lagi pelukan. Pasti penat untuk Farah lalui semua ini. Jika
tiada Farah, pasti semua ini tidak berlaku. Amal menghela nafas. Betapa
bertuahnya hidup ini. Samada Amal mahupun Alyn, mereka mempunyai rakan baik
yang merupakan anugerah terbaik untuk mereka.
Seketika kemudian, pelukan
direnggang. Farah masih teresak kecil namun airmatanya sudah kering. Amal
ketawa kecil. Dia mengesat bekas-bekas airmata di pipi Farah. Tak sangka Farah
akan menangis seteruk ini. Dia seolah-olah melepaskan semua beban yang terbuku
dihati.
“Teruknya kau nangis. Nasib baik tak
ada orang lalu. Kalau tak, tentu dia orang pelik tengok kau menangis tadi”
Bahu Amal ditolak lembut. Amal
ketawa lagi. Seorang sahabat seperti Farah ibarat sebiji permata disebalik
pasir yang jernih. Walaupun hanya seorang namun ianya sudah cukup memadai
untuknya.
“Kalau kau berani tinggalkan aku
lagi, siaplah! Aku akan pastikan kau tak hidup dengan tenang lagi selepas ini
kerana biarkan aku risaukan kau”
Amal mengangguk dengan pantas. Farah
tersedak sedikit namun turut tersenyum. Amal menyinting lengan baju sebelum
mempamerkan gelang persahabatan yang diberi Farah dahulu.
“Terima kasih sebab masih simpan
gelang ini”
Farah turut menunjukkan gelang yang
sama. Kali ini, mereka sama-sama tersenyum. “Semuanya sudah kembali seperti
biasa”
Amal menghela nafas. Sekarang, hanya
tinggal diri sendiri untuk menerima semua ini walaupun masih didalam keadaan
kekok. Amal yakin dia mampu laluinya. Lagipun, inilah kehidupan dirinya sebelum
kemalangan. Jika dia mampu lakukan dahulu, dia pasti mampu lakukan sekarang
juga.

BEST.
ReplyDelete