Tuesday, 30 April 2013

:) Bab 9



                “Hai”
            Dia berlari sedikit melihat gadis itu berdiri tidak bergerak ditempatnya. Semakin hampir, semakin wajah yang mengukir senyuman berubah menjadi wajah yang penuh kerutan. Thea dihadapanya sekarang kelihatan sangat lain.
            “Awak” dia sedikit mengah. Thea sekadar memerhati. Walaupun masih letih dengan apa yang berlaku, dia tak mahu membatalkan penggambaran. Seminggu mereka tidak bertemu. Jauh disudut hati, dia rindu.
            “Awak...mask..kenapa?”
            Thea memegang mask yang dipakai. “Selsema” dia menjawab, perlahan. Q memandang dengan wajah risau. “Awak tak beritahu saya pun”
            “Sekarang saya beritahu”
            Q mengeluh. Sikap berdikari Thea kadangkala membuatkan Q risau. Dia tahu Thea tak mahu menyusahkan sesiapa namun kadangkala Thea harus berlajar untuk bergantung kepada orang lain.
            “Macam mana Indonesia? Seronok?” dia cuba mengubah arah perbualan mereka. Q mengangguk. Kemudian dia menghulur beg yang dibawa. “Hadiah awak. Ada teddy bear untuk Tirah juga”
            Thea kaget sekejap. Pertama kali dia mendapat hadiah daripada seorang lelaki. “Thanks” dia mengucapkan dengan rasa kekok. Tak sangka Q mengingati dirinya walaupun sibuk dengan kerjanya.
            “Jadi, hari ni kita nak buat apa?”
            Mereka memandang PD yang berada di belakang kamera. Dia segera menghulur cue card kepada mereka. Q mengambil dan membaca.
            “Tahniah. Anda berdua akan berpindah masuk ke rumah baru hari ini. Sila beli barang keperluan untuk menghias rumah anda”
            Q memandang Thea yang turut mengerut dahi. Dia ketawa, kekok. “Kita baru 20” dia bersuara sambil menggaru kepala. Thea mengangguk. Keadaan ini pasti kekok untuk mereka. Q menghulur semula card tersebut kepada PD sebelum menoleh ke arah Thea.
            “Awak okay ke?”
            Bolehkah dia menolak? Ini sebahagian daripada ‘tanggungjawab’ mereka sebagai suami isteri. Thea hanya mengangguk. “Nasib baiklah saya bawa kereta hari ini. Senang sikit kita nak bawa balik barang-barang”
            “Kereta?”
            Q mengangguk. “Mari” dia berjalan terlebih dahulu dan Thea mengekori di belakang. Q kemudian berhenti di sebuah kereta pesona hitam yang diparkir berhampiran. Dia menoleh dan kemudian mengukir senyuman.
            “Inilah kereta kita untuk sementara waktu” dia memberitahu. Thea hanya mengangguk. Kereta kita? Perkataan itu kedengaran masih asing di telinga. Q kemudian membuka pintu di tempat duduk Thea dan Thea masuk ke dalam.
            “Kita nak pergi mana? Tesco?” dia menyoal sebaik mereka berdua masuk ke dalam kereta. Thea hanya mengangguk. Q tak banyak soal. Wajah Thea kelihatan letih. Biarlah Thea berehat sekejap. 

******************************************
 
            “Thea. Thea” perlahan dia menggerakkan Thea yang terlena. Gadis itu membuka sedikit mata. Q memberi senyuman.
            “Kita dah sampai Tesco”
            Thea mengangguk. Dia membetulkan rambut yang menutupi sebahagian mata sebelum merapikanya. “Mungkin kita harus makan dulu. Awak perlukan tenaga”
            Dia menarik tangan Thea dengan lembut sebelum menutup pintu kereta dan mengunci. Tangan Thea digenggam kerana risau kalau tiba-tiba Thea pengsan dibelakangnya.
            “Saya boleh jalan sendiri” dia bersuara, perlahan. Thea kurang selesa apabila Q memegang tanganya seperti ini. “Saya taknak awak pengsan. Learn to lean on me, Fathea. I am your friend and your husband too
            Thea terdiam. Dia malas ingin berbalas kata dengan Q sekarang. Badanya benar-benar merasa lemah. Seharusnya, dia perlu berehat seminggu supaya badanya pulih semula namun Thea abaikan semua itu. Kalaulah mama tahu.
            Mereka memilih food court yang berada di tingkat paling atas. Kehadiran mereka bersama kamera yang mengekori menarik perhatian pengunjung yang ada. Ditambah pula dengan kehadiran Q. Thea mendengar dengan jelas jeritan suara perempuan yang nyata terkejut.
            Q memilih meja yang kosong sebelum menyuruh Thea duduk. “Stay here. Saya akan belikan sesuatu yang panas untuk awak”
            Thea melihat Q berlalu ke kaunter jualan yang berhampiran. Tubuhnya sudah tidak mampu menampung lagi namun digagahkan juga. Ditambah dengan demam yang dirasa. Thea hanya mahu berbaring dan tidur diatas katil sahaja sekarang ini.
            “Bagi saya bubur ayam satu” dia meminta kepada jurujual yang bertugas. Dia mengangguk dengan senyuman sebelum menyediakan pesanan yang diminta. Q merenung kearah Thea yang sudah meletakkan wajah di meja. Hati menjadi risau. Thea nampak sangat tak sihat. Sepatutnya dia berehat dirumah.
            “Abang Q ‘kan?” Q menoleh. Beberapa orang gadis sudah menghampirinya dengan senyuman. Q segera membalas dengan anggukan. Mereka menjerit sedikit membuatkan pengunjung di food court menoleh.
            “Abang nampak lagi handsome dari dalam tv” Q tersenyum. “Terima kasih” dia memandang kearah jurujual yang masih tidak kelihatan.
            “Itu isteri abang ke? Dalam rancangan tu?” mereka menyoal. “Ye”
            “Dia nampak tak sihat? Sakit ke?” mereka menyoal lagi. Q cuba untuk semesra yang boleh walaupun sedikit kekok. Dia tidak pernah ditegur seperti ini kecuali ketika bersama dengan pengawal peribadi mereka.
            “Dia demam sikit. Abang nak belikan bubur untuk dia”
            “Awwwww” mereka bersuara, sedikit kuat. Q hanya tersenyum, kekok. “Ini buburnya” dia menoleh kearah jurujual yang sudah kembali. Q menarik nafas lega.
            “Kalian umur berapa?” dia menyoal sambil memegang mangkuk bubur. “15”
            “14”
            Q mengangguk. “Jangan ponteng sekolah” mereka mengangguk. “Kamu ke sini, mak bapak tahu ke?” dia menyoal. “Tahu” mereka menjawab, pantas.
            “Okaylah. Kita jumpa lain kali ye”
            “Baik. Bye Bye” Q memberi senyuman sebelum berlalu menghampiri Thea. Dia meletakkan bubur tersebut diatas meja dan kemudian memandang Thea.
            “Thea” dia memanggil, lembut. Thea membuka mata dan bangun bersandar di kerusi. “Makan sikit” dia bersuara. Thea menggeleng. “Saya tak lalu”
            “Awak kena paksa. Atau kita batalkan saja penggambaran hari ni?”
            Mata dibuka sedikit luas. Dia tak mahu menyusahkan sesiapa. Perlahan Thea mengangguk. Dia mengambil sudu sebelum menjamah sedikit bubur yang dibeli. Kosong. Dia tak merasa apa-apa.
            Q yang memandang, semakin risau. “Awak okay tak ni? Saya risau tengok awak macam ni”
            “Saya okay” dia menjawab, perlahan. Q hanya mampu melihat bersama keluhan berat. 

*********************************************************

            “Awak tak perlu bawa semua itu. Saya boleh angkat semuanya”
            Thea menggeleng. Dia terasa lebih segar berbanding tadi. Tak salah rasanya mahu membantu Q. Lagipun, rumah ini bakal dikongsi oleh mereka berdua.
            “Saya angkat barang dapur je”
            Pintu dibuka. Thea memberi salam sebelum melangkah masuk. Dia tergamam melihat ruang dekorasi dalaman yang nampak sangat chick dan sesuai sekali dengan jiwa mereka yang masih muda. Kagum sekejap dia ditengah-tengah ruang tamu memerhati sekeliling kawasan rumah.
            Semuanya lengkap. Ruang tamu dengan sofa, tv dan set home theater. Mereka juga ada balkoni yang mempunyai pemandangan yang sangat indah. Thea berlalu ke dapur. Dia sekali lagi kagum. Semuanya lengkap. Ini sememangnya rumah idaman semua orang.
            Thea meletakkan beg plastik diatas meja sebelum berlalu. Dia melihat pintu rumah terbuka namun Q tidak kelihatan. Thea membawa masuk barang-barang terakhir sebelum menutup pintu rumah. Dia kemudian berlalu untuk melihat bilik-bilik.
            Rumah mereka ada 3 bilik. 1 master bedroom dan 2 bilik tetamu. 2 bilik air dengan satu berada di bilik utama. Thea menjenguk melihat Q berada di bilik utama. “Awak buat apa?” dia menyoal, hairan. Q menoleh selepas meletakkan gitar yang diangkut dari asrama.
            “Lepas ni kita boleh susun barang-barang kita disini”
            Thea mengangguk. Rasa kekok masih ada tapi tidak seperti dahulu. Dia semakin selesa dengan Q jadi semua ini tidak menjadi masalah. Lagipun, mereka bukan akan tinggal secara betul disini. Ini semua hanyalah signifikan sahaja.
            “Awak bawa apa dari rumah?” Q menyoal apabila melihat Thea meletakkan kotak berisi barang miliknya. “Gambar” dia membuka kotak tersebut dan mengeluarkan bingkai gambar yang diletakkan di meja solek di dalam biliknya.
            Q duduk disebelah Thea sambil memandang bingkai gambar yang dibawa. Dia tersenyum melihat gambar Thea yang menarik tocang Tirah dan adiknya itu menarik muka masam. Thea nampak nakal didalam gambar ini.
            Dia beralih ke bingkai ke dua. Gambar Thea bersama seorang wanita. Pasti ini gambar mama Thea. Dia meneka. Gambar ketiga adalah gambar mereka bertiga. Q baru tersedar. Tiada langsung gambar papa Thea. Malah sepanjang mereka berjumpa, dia tak pernah mendengar Thea menyebut mengenai papanya.
            Perhatianya teralih apabila mendengar bunyi berhampiran. Q menoleh. Dia melihat Thea mengeluarkan beberapa novel Bahasa Inggeris. “Awak minat novel?” dia menyoal. Thea mengangguk. “Saya suka baca karya Judith McNaught. Tapi karya novelis lain pun saya baca”
            Q mengangguk. Satu lagi perkara yang dia tahu mengenai Thea. Dia bangun membetulkan kameja yang dipakai sebelum mengeluarkan barang-barangnya pula. Gambar poster MARS untuk album mereka dahulu dibuka.
            “Tengok ni” Thea memandang. Dia kemudian tersenyum. “MARS?” dia mengusik. Q tersenyum. “Now you know us huh?”
            Thea sekadar menguntum senyum. Q bangun sambil memerhati sekeliling. Dekat mana tempat yang sesuai nak tampal benda ni? “Awak nak buat apa?”
            “Tampal”
            Wajah Thea berubah. “No” dia bersuara, sedikit kuat. Q menoleh bersama kerutan. Thea bangun menghampiri. “Bagi saya” dia meminta. Q semakin hairan. “Kenapa?”
            “Adalah. Bagi saya”
            Q menggeleng. Bukan semudah itu. “Awak taknak gambar MARS dalam rumah?” dia menyoal, terkejut bercampur rasa tidak percaya. “Bukan itulah”
            Thea sedikit resah. Dia sudah ada idea mengenai gambar ini. Tapi biarlah itu jadi rahsia dan hadiah untuk hari jadi Q yang bakal tiba 2 minggu lagi. Akhirnya Q mengalah. Thea tersenyum sebelum kembali ke kotaknya semula.
            Q kembali mengeluarkan barang-barang lain yang dibawa. Kemudian dia ternampak kamera polaroid yang dicampak oleh Dhani ketika mengemas tadi. Idea tiba-tiba datang. “Thea”
            Gadis itu memandang. Sepantas kilat dia menangkap gambar dalam keadaan Thea yang terkejut. Beberapa saat kemudian, gambar tersebut keluar. Thea tergamam. Q melihat gambar Thea yang nampak comel kerana terkejut. Thea bangun menghampiri.
            “Saya tak sedialah. Bagi sini”
            Q mengelak pantas. Dia menggeleng. “No. This is my memory. Our first day in our house. Awak dah ambil poster MARS tadi”
            Thea mendengus. Q memberi senyuman, nakal. Mulai sekarang, dia mahu merakam setiap perkara dan reaksi Thea sepanjang berada didalam rumah ini. Q mengambil selotape dan melekatkan gambar Thea di dinding berhampiran katil. Senyuman puas terukir bersama anggukan.
            Q kemudian bangun menghampiri Thea. Dia duduk disebelah gadis itu yang terlalu fokus mengeluarkan barang-barang. “Thea” dia memanggil.
            “Mari tangkap gambar bersama. Kita tak pernah ada gambar bersama”
            No. Saya tak cantik” dia menolak, pantas. “Come on. Bukan senang awak nak bergambar dengan Q tahu?”
            Thea mencebik. Lelaki ni kadangkala overly confident sehingga menakutkan. Thea melihat Q sudah bersiap sedia untuk menangkap gambar mereka. Tangan kiri dihala keatas sambil tersenyum.
            “1, 2,...”
            Tangan Q tiba-tiba memaut bahunya. Thea yang terkejut, menoleh. Kemudian, gambar mereka dirakam. “Awak” dia bersuara, tak berpuas hati. Q hanya ketawa. Dia melihat hasil yang keluar. Aneh. Mereka nampak seperti pasangan yang betul.
            See. You look beautiful” dia menayangkan gambar tersebut. Iyalah tu. Gambar yang menunjukkan Q tersenyum dan dia memandang wajah Q seolah-olah orang yang mabuk cinta. Arghhh. Kenapa lelaki ni suka ambil gambar pelik-pelik?
            “Satu lagi koleksi” dia bangun untuk melekatkan gambar tersebut di dinding. Thea tak mampu membantah. Lagipun, hanya untuk koleksi mereka sahaja. Selesai, Q menoleh.
            “Theaaaa”
            “Ya Allah, Qhalid Rayyan. Berhenti panggil nama saya boleh?” Thea menyoal, geram. Q ketawa. Entah kenapa, nama Thea sangat suka dipanggil. Seperti nama Thea sememangnya digunakan untuk dia memanggil.
            “Saya lapar. Dari pagi tadi tak makan” dia mengadu sambil memegang perut yang nipis. Thea menghela nafas. “Baiklah, tuan putera” dia bangun meninggalkan kerja mengemasnya.
            “Awak nak masak apa?” Q menyoal dari dalam bilik. Thea menjuling mata. “Kari ayam” dia menjerit sedikit. Q terdiam. Kari ayam? Dia kemudian tersenyum. Walaupun Thea nampak macam tak ambil tahu tapi Thea tetap cuba mengenalinya. Kalau tak, takkan Thea tahu kari ayam tu makanan kegemaranya? 

********************************************************

            Selesai makan, Q terlebih dahulu menuju ke ruang tamu. Beria-ia Thea menolaknya yang ingin membantu membasuh pinggan. Katanya, dia harus berehat. Silly Thea. Awak yang harus berehat sebenarnya. Akhirnya Q mengalah.
            Dia kemudian duduk disofa dan membuka tv. Memandangkan mereka didalam rumah, tiada jurukamera yang ada kerana kamera sudah dilekatkan di dinding dan beberapa tempat strategik didalam rumah mereka. Keadaan ini sedikit menyenangkan dan tidak menganggu.
            Selesai membasuh dan mengelap semuanya, Thea membuka apron yang dipakai dan disangkut di tempatnya semula. Setelah berpuas hati dengan tahap kebersihan dapur, barulah Thea ke ruang tamu dan melihat Q sedang bersandar sambil menonton tv.
            Thea kemudian berlalu semula ke bilik mengambil novel yang dibawa bersama cermin mata sebelum kembali ke ruang tamu. Dia sudah disebelah Q sebelum membuka mukasurat pertama.
            “Hari ni kerja pukul 8 lagi?”
            Dia mengangguk. Paradise karya Judith McNaught sememangnya dicari sejak dulu lagi. Mujurlah Nas terjumpa dan membeli untuknya. “Tak cuti? Awak tak sihat ‘kan?”
            “Saya dah cuti waktu Tirah sakit dulu”
            Q terdiam. Kehidupan Thea takkan mungkin dapat difahami. Dimana papa Thea? Kenapa Thea yang bekerja setiap malam menampung kehidupan? Mama Thea kerja apa? Terlalu banyak persoalan yang tak mampu disoal.
            “Awak ni sibuk mengalahkan saya” dia membebel, perlahan. Thea menoleh. Kemudian tersenyum. “FYI, jadual awak dikosongkan untuk bertemu saya. Kalau tak, kita takkan dapat berjumpa”
            Q ketawa. “FYI, awak harus buat perkara yang sama. Tak gitu?”
            Thea tergelak. Q tersenyum. Thea nampak comel dengan cermin mata tanpa kaca yang dipakai. Macam budak-budak. “Awak tak pernah rasa letih ke?” dia menyoal, tiba-tiba. Q diam sekejap. Dia mengenang segala jerih-perih yang dilalui sewaktu menjadi trainee. Kemudian mereka debut dan jadual yang diatur hanya membenarkan mereka tidur 2 jam sehari.
            “Mestilah. Tapi kami melakukan perkara yang kami inginkan. Tak semua orang boleh buat jadi kami rasa kami sangat bertuah”
            Thea mengangguk. Dia menutup novel dan meletakkan ia di atas meja kopi. Thea kemudian menoleh kearah Q dan bersila memandangnya. Kaget sekejap Q dengan tindakan Thea. “Ke...napa?”
            Tell me about MARS. Kenapa ramai orang minat kumpulan awak?”
            Q tersenyum. Jadi, Thea dah mula tertarik? Selama ini pandang sebelah mata pun tak. “MARS berdiri kerana satu sebab. Menggembirakan hati peminat yang menyokong kami. Kebanyakan lagu MARS memerlukan kami menari tapi ada beberapa lagu balada yang turut digemari. Awak tentu kenal ahli MARS kan?”
            “Dhani, Mika dan Acap?”
            Q mengangguk. Dia menggosok kepala Thea dengan rasa bangga. “Bagus budak ni” Thea tarik muka. Q ketawa.
            “Mungkin MARS digemari kerana charm ahli masing-masing. Dhani sebagai ahli bongsu, bertindak menjadi maskot comel kami. Mika, sebagai visual walaupun sikap sebenarnya sangat berbeza”
            Thea ketawa kecil. “Acap pula.....” Q diam. Macam mana nak terang pasal budak ni? “Dia hanya suka main game. Tapi diatas pentas, dia ada karisma yang mengkagumkan”
            Perlahan dia mengangguk. Mereka berbeza watak namun mampu bergabung dibawah satu nama demi mengejar impian masing-masing. “Q?”
            Q terdiam. “Saya?” Thea mengangguk. “Biar saya terangkan”
            “Qhalid Rayyan ataupun Q. Lebih dikenali sebagai leader. Ibarat abang yang menjadi tunjang ahli yang lain. Juga seorang composer disebalik lagu-lagu MARS yang hits”
            Thea tersenyum melihat Q yang tergamam. “Seorang lelaki yang sangat mengambil berat. Suka tersenyum walaupun di atas pentas, dia mempamerkan wajah yang dingin. Seorang lelaki yang jauh berbeza daripada apa yang ditunjukkan diatas pentas”
            Dia memandang Q yang tak terkata apa-apa. Thea pantas mengambil kamera polaroid berhampiran dan merakam gambar Q. Kemudian, barulah lelaki itu tersedar. Thea memandang hasil yang berjaya dirakam.
            Yes. Not bad” dia berbicara, sendiri. Q ingin mengambil namun segera dilarikan. “No No. Ini memori saya. Hari pertama di rumah kita”
            Q memandang. Rumah kita? Hati terasa berbunga mendengar pengakuan daripada Thea sendiri. Jadi, Thea dah mulai menerima hakikat? Dia senyum sedikit. Melihat Thea sekarang, Q akui terlalu banyak perubahan yang terjadi. Namun dia selesa dengan Thea yang sekarang berbanding Thea yang dahulu. 

**************************************

            “Berikan tepukan yang gemuruh untuk MARS”
            Jeritan peminat dibawah menggamatkan suasana. Mereka berempat tersenyum sambil melambaikan tangan. Q sempat mengambil tisu yang dihulurkan oleh Tish dan dibahagikan kepada ahli yang lain.
            “Baiklah” Q bersuara. Hari ini adalah fanmeeting bersama peminat MARS. Konsepnya sedikit berlainan kerana kali ini mereka mengadakan fanmeeting yang seperti sebuah konsert.
            Semua ini adalah untuk membalas jasa peminat yang tidak mampu menghadiri konsert namun sentiasa menyokong MARS.
            “Terima kasih kerana hadir di fanmeeting kali ini. Mika ada sesuatu nak beritahu peminat?”
            Mika tersenyum. “I” dia menunjuk kearah diri. “Love” bentuk hati dibuat. Suasana semakin gamat. “You all”
            Mereka ketawa bersama peminat. Q menggeleng. Mika sentiasa bijak mengambil hati peminat mereka. “Mika sentiasa sayangkan peminat”
            “Sampai masuk mimpi” Dhani menambah.
            “Masuk bilik mandi pun buat konsert konon untuk peminat” Acap bersuara, selamba. Suasana gamat sekali lagi. Q turut ketawa sambil menggeleng.
            “Peminat dan Mika macam pasangan kekasih. Betul tak?”
            Mic dihala kearah peminat dibawah pentas. “Betul” jeritan bergema. Mika mengangguk dengan rasa puas. “Terima kasih” dia menunduk sedikit tanda berterima kasih.
            “Baiklah. Untuk game seterusnya. Akan lebih rileks sedikit. Kami akan menjawab segala persoalan daripada peminat didalam balang ini. Siapa yang bertuah dipilih, akan diberi peluang untuk naik dan bersalam dengan kami semua”
            Mereka ketawa melihat keterujaan peminat dibawah. Seorang krew membawa balang berisi kertas persoalan daripada peminat yang hadir.
            “Baiklah. Kita lihat siapa yang kena” Q mengacau sedikit kertas didalam balang sebelum mengambil kertas yang bertuah.
            “Farah Adeeba. Boleh saya tahu yang mana satu?”
            Mereka mencari disebalik kelibat peminat. Kemudian, satu tangan diangkat. Lampu spotlight segera dibawa kepadanya. Dia tersenyum dan sedikit menjerit.
            “Baiklah. Soalan awak. Untuk......Mika”
            Suasana menjadi riuh melihat dia termalu-malu. Mika segera turun dan menarik tangan Farah Adeeba untuk naik ke atas pentas. Perlakuan Mika membuatkan peminat menjerit, teruja.
            “Apakah soalan awak untuk saya, cik Farah?” mereka ketawa. Q menggeleng. Nakal. “Apa ciri-ciri wanita yang bakal jadi pemilik hati abang?”
            “Ooooo” mereka bertiga menyakat. Peminat ketawa. Mika mengambil mic dengan senyuman. “Orang yang menerima saya sebagai Mikail Haikal dan bukanya Mika dari MARS. Seorang gadis yang punya senyuman yang comel dan semestinya peminat setia MARS”
            “Auwwww” Mika ketawa dengan rasa malu. “Baiklah. Cik Fara boleh bersalam dengan Encik Mikail”
            Peminat ketawa lagi. “Kita cari yang seterusnya pula” Q mengacau lagi. Semua yang berada dibawah mempamerkan wajah penuh berharap agar soalan mereka terpilih.
            “Persoalan daripada Cik Sara Imani. Untuk.....Q?”
            Mereka ketawa. Q turut tergelak. “Dimana Cik Sara?” dia mencari di kalayak peminat. Q tergamam. Sara. Wajah kaku sekejap namun Q tidak mahu menunjukkan yang dia terlalu terkejut.
            “Silakan naik. Q, jemput peminat kau” Mika bersuara. Q segera turun ke pentas dan membawa Sara naik.
            “Ya. Soalan untuk leader kita yang paling handsome” Acap, Dhani dan Mika bangun. Suasana riuh semula. “Apa soalan Cik Sara untuk Encik Qhalid Rayyan?”
            Q tersenyum bersama gelenggan. Sara turut tergelak. “Apa yang buat awak tertarik dengan isteri awak?”
            “Wooooooo” mereka bertiga pula menyampuk. Peminat sedikit kecoh. Q menelan air liur yang terasa tersekat. Dia tak sangka Sara menyoal soalan ini.
            “Sedihnya. Tiada siapa nak tanya kita pasal isteri” Acap berjalan ke hujung pentas dan duduk dengan wajah sedih. Peminat menjerit lebih kuat. Q serba-salah. “Untunglah ada isteri” Dhani pula menambah, selamba.
            Q ketawa, kekok. “Jawablah Q” Mika memberi sengihan. Q mengambil mic dengan rasa gementar. “Saya banyak berlajar daripada dia. Disebalik sikap yang kurang mesra dan jarang bercakap, dia ada sisi homour yang mengkagumkan. Kesimpulanya....saya selesa dengan dia”
            “Ahhhhhh” gamat dengan suara peminat. Q bersalam dengan Sara yang hanya tersenyum. “Gembira bertemu awak, abang ipar” dia bersuara, perlahan. Q tersenyum. Abang ipar? Not bad. Dia senang dengan status itu.
            “Baiklah. Jangan patah hati. Q mungkin sudah berpunya. Tapi kami bertiga masih kosong”
            Mika cepat menyelamatkan keadaan. Q menghampiri Dhani yang hanya tersenyum. “Kau okay?” dia menyoal, tanpa menoleh. Q hanya mengangguk. 

p/s : sorry for the late entries. I just finish struggling with my final. FINALLY. It's done.
p/s/s : jangan risau. selepas ini, entry akan lebih kerap. :)

xoxo

2 comments:

  1. waaaaaa....bagus2....x sabar menanti n3 selanjutnya....nak tau sgt2 ape riaksi Q bila dia tau Thea admitted masa dia dok kat Indonesia ari 2...x sabar la...

    ReplyDelete