“Mari”
Tangan ditarik untuk mereka turun
setelah sampai di perhentian yang diingini. Amal memandang sekeliling. Mereka
dimana? Tiba-tiba rasa takut. Walaupun dia rasa Farah bukan orang jahat tapi
rasa curiga harus ada.
Farah menoleh mengukir senyuman. Dia
bersyukur sangat bila Amal setuju untuk bertemu dengan pakcik Hussain. Sudah
hampir 2 minggu pakcik Hussain ditahan di dalam wad kerana diserangnya jantung.
Mungkin kehadiran Amal mampu merubah segalanya.
“Kita dah hampir ni. Mari”
Amal menurut walaupun dia masih
ragu-ragu. Mereka berjalan untuk 10 minit sebelum Farah tiba-tiba berhenti di
hadapan sebuah hospital. Peluh yang menitis, dilap dengan pelbagai persoalan.
Senyuman semakin besar. Ini kejutan
untuk pakcik Hussain yang dianggap seperti ayah sendiri. Amal menurut Farah
sehinggalah mereka masuk ke dalam hospital berkenaan. Bau ubat menyapa hidung
dengan pakaian berwarna putih dimana-mana sahaja.
Mereka membelok ke kiri dan menunggu
lif untuk tiba. Amal memandang Farah yang nampak gembira. “Kita nak jumpa
siapa?”
Farah menoleh. “Surprise”
Lif dibuka. Mereka sama-sama masuk
sebelum Farah menekan butang 7. Amal masih diam walaupun banyak yang ingin
ditanya. Sudahlah tiba-tiba bawa dirinya naik bas. Kemudian, datang ke hospital
pula. Beberapa minit kemudian, mereka tiba di tingkat 7.
Farah masih menarik tanganya dan
berjalan menyusuri koridor dan kemudian berhenti dihadapan wad bernombor 701.
Amal memandang bersama kerutan. “Dia mesti gembira”
Pintu wad dibuka. Teragak-agak Amal
masuk. Itupun kerana ditarik oleh Farah. Mereka masuk dan bau ubat semakin
kuat. “Pakcik”
Amal menghampiri Farah yang menegur
seseorang dengan ceria. “Farah. Buat apa dekat sini? Kau ‘kan kerja?”
Wajah lemah namun ceria itu menyapa
pandang. Jantung seperti berhenti berdegup. Mereka berpandang sekejap. Amal tak
mampu ungkapkan perasaan sekarang ini. Seolah-olah ada sesuatu yang hati
sendiri cuba beritahu namun dia tak faham.
“Kenalkan. Amal. Inilah Pakcik
Hussain yang saya cerita”
Suasana sepi untuk beberapa saat.
Amal menelan air liur. Lelaki yang mungkin sebaya papa itu memandangnya tidak
berkelip sebelum dia melihat matanya berair. Amal kaget sekejap. Kenapa? Kenapa
hati dia rasa sakit sangat sekarang ini?
“A….Alin” perlahan dia memanggil
sambil cuba menahan airmata. Amal tergamam. Dia kaku tidak bergerak. “Anak
ayah”
Hati rasa sayu. Lelaki ini pasti
sangat merindui anaknya. “Alin. Ayah rindu kamu. Mana kamu pergi selama ini?
Alin tak sayang ayah ke?”
Farah mengesat airmata yang laju
mengalir. Amal menoleh. Dia turut rasa ingin menangis namun semua ini
membuatkan dia keliru. “Dia bukan Alin, pakcik. Alin dah meninggal. Tapi, muka
mereka sama ‘kan? Sama sangat sampai Farah ingat Alin hidup semula”
Amal mengetap bibir menahan rasa.
Pakcik Hussain nampak kecewa namun dia mengangguk. “Ya. Alin dah meninggal.
Patutnya pakcik yang pergi dulu. Bukanya dia”
Kaki tiba-tiba melangkah sendiri.
Amal sendiri tak pasti apa yang dilakukan olehnya sekarang ini. Apabila dia
berdiri berhampiran pakcik Hussain, tangan bergerak dan menyeka airmata yang
berbekas di pipi. Pakcik Hussain kelihatan terkejut.
Senyuman diberi untuknya. Farah yang
melihat turut terkejut. “Alin beruntung ada ayah dan kawan yang sentiasa
menyayangi dia walaupun dia dah meninggal”
Pakcik Hussain memegang tanganya dan
memejam mata sekejap. Terasa seperti Alin hidup semula. Alin yang disayangi
lebih dari nyawa sendiri. Alin yang merupakan zuriatnya bersama wanita yang
dicintai. Alin, anaknya.
Mata dibuka semula. Dia lihat Amal
tersenyum. Hati rasa dihiris semula. Mereka sangat serupa sehingga dia merasa
terlalu perit. Amal mengingatkan dirinya bahawa Alin sudah meninggal. Ya Allah.
Dugaan apakah yang kau beri ini?
Farah menghela nafas, cuba menahan
airmata yang sekali lagi ingin mengalir. Dia kemudian tersenyum. “Inilah
kejutan yang Farah cakap hari tu. Terkejut tak?”
Mereka sama-sama menoleh. Amal
menarik tanganya semula. Pakcik Hussain tersenyum. Kejutan yang membuatkan dia
sangat bersyukur. “Macam mana Farah jumpa Amal?”
Gadis itu menghampiri katilnya.
“Dekat hotel tempat Farah kerja part-time.
Waktu itu, rasa macam nampak hantu sebab dia orang serupa sangat. Tapi bila
tahu nama dia, Farah tahu dia bukan Alin”
Pakcik Hussain mengangguk. Amal dan
Farah bertemu pandang. Senyuman diukir. “Nama anak, Amal?” dia menyoal. Amal
mengangguk. “Muka Amal sama sangat dengan Alin. Maafkan pakcik. Pakcik ingatkan
Alin yang hidup semula”
Amal menggeleng bersama senyuman.
“Pakcik boleh anggap saya macam anak pakcik. Jika pemergiaan Alin buat pakcik
dan Farah sedih, biarlah kehadiran saya menggembalikan semula kegembiraan
pakcik dan Farah”
Farah dan pakcik Hussain sama-sama
tersenyum. Dadanya terasa lapang tiba-tiba. Mungkin ada hikmah mereka
dipertemukan seperti ini. Amal tak pasti namun dia selesa dengan pakcik Hussain
dan Farah. Seolah-olah, mereka adalah keluarga.
“Pakcik dah makan? Saya ada bawakan
buah untuk pakcik. Nak?”
Pakcik Hussain mengangguk. Seleranya
terbuka sebaik melihat wajah Amal sekarang. Dia rasa sangat gembira kerana dia
mampu menganggap Amal adalah Alin. “Susahkan kamu je, Farah. Hari-hari datang
sini. Kamu letih nanti”
Farah hanya tersenyum. Pakcik Hussain
dah dianggap macam ayah sendiri. Sejak Alin meninggal, dia rasa
bertanggungjawab untuk menjaga ayah kepada sahabat baiknya ini.
“Duduklah, Amal. Penat kamu berdiri”
Kerusi ditarik. Amal duduk sementara
Farah ketawa. Amal memandang pakcik Hussain yang nampak gembira. Namun rasa
kasihan menjengah apabila melihat tubuhnya yang sedikit cengkung. Pasti kerana
sakit ini.
“Pakcik sakit apa?” dia mulai
berbual sementara Farah mengupas buah epal yang dibawa. “Biasalah orang tua.
Pakcik mengadu sakit dada, budak bertuah ni terus hantar pakcik kesini. Jadi,
terpaksalah pakcik ‘menginap’ dekat sini hampir 2 minggu”
Amal tersenyum. “Sebab ayah kau ni degil.
Dia pernah diserang sakit jantung tapi masih nak buat kerja berat”
Farah tergamam. Dia menekup mulut
yang lancar berbicara. Senyuman Amal masih dibibir. “Tak apa. Aku dah anggap
pakcik Hussain macam ayah aku. Its okay”
Pakcik Hussain dan Farah
berpandangan. Kemudian, mereka sama-sama tersenyum. “Amal ada berapa beradik?”
“3. Ada 2 abang dan saya bongsu.
Satu-satunya perempuan”
Pakcik Hussain mengangguk. Terbayang
wajah Alin ketika ini. “Masih ada ayah dan ibu?” dia menyoal lagi. Amal
mengangguk.
“Papa ada syarikat. Mama pula buka
butik”
Farah memerhati sahaja. Dari cara
Amal, dia mampu menganggak bahawa gadis ini hadir daripada keluarga yang
berada. Namun, tak pernah sekali pun dia meninggi diri. Kata orang, anak adalah
hasil didikan ibubapanya. Pasti ibubapa Amal pun orang yang baik.
********************************************
“Baru balik, ma?”
Kuzer menunggu sebaik terserempak
mama di tangga. Datin Nora tersenyum. “Banyak client tadi. Letih betul. Mama rasa mama dah tualah, along. Tak
larat dah nak kerja”
Anak sulungnya itu tersenyum. “Papa
dan along berbuih mulut suruh mama berhenti. Mama yang tak mahu. Buat apa mama
dekat butik lagi? Serahkan pada pekerja. Mama duduk rumah goyang kaki je”
“Along ni” lengan anaknya itu
ditampar lembut. Kuzer hanya ketawa. Dia kasihan lihat mama balik kerja dengan
wajah letih. Bukanya papa tak mampu menyara mereka sekeluarga namun mama
seorang wanita yang berdikari. Lagipun, butik adalah impian mama dari muda.
Sebab itulah, papa tak menghalang.
“Kai dengan Amal dah balik?”
Kuzer mengangguk. “Kami dah dinner. Mama dah makan ke?”
“Mama makan tadi dengan auntie Lily. Katanya, Kai tak mahu dinner dengan Hannah. Budak bertuah tu.
Pening kepala mama dibuatnya”
Wajah Kuzer berubah sedikit. Keluhan
dilepaskan. Ini satu lagi masalah. Kai dan Hannah. Dia sendiri tak mampu nak
beri pendapat. Kuzer tahu perasaan dan hati ini tak boleh dipaksa. Nasib
baiklah, mama juga tak mendesak. Kai bukan boleh dijangka. Adiknya nan seorang
tu memang pelik sedikit.
“Mama macam tak kenal dia. Kalau tak
katanya, tak juga sampai bila-bila. Apalah yang si Hannah tuh tak faham lagi?
Bukan Kai seorang je dalam dunia ni”
Datin Nora hanya mampu mengeluh. Dia
dah pening memikirkan anak kesayangan itu. Suaminya juga sudah memberi amaran
untuk tidak masuk campur. Tapi itulah. Hatinya teringin bermenantukan Hannah.
Bolehlah mengeratkan lagi hubunganya dengan Datin Lily.
“Along nasihatkanlah budak tu. Degil
sangat”
Kuzer kembali tersenyum. Nasihatkan
Kai? Buang masa je. Budak tu buat semua benda ikut kepala sendiri. Mana nak
dengar cakap orang? Kairil Adam paling tak suka jika dipaksa buat benda dia tak
suka. Dia akan lebih memberontak.
“Iyalah. Mama berehatlah. Nampak
letih sangat ni. Risau along”
Demi menjaga hati ibu, dia
bersetuju. Datin Nora sekadar tersenyum. “Jangan lupa hujung minggu ni. Along
harus tolong mama”
“Along dah uruskan dengan kak Nurul.
Mama jangan risau. Semuanya okay”
Pipi anaknya itu dipegang lembut. “Thanks, sayang”
Kuzer tersenyum. “Baiklah. Mama nak
tengok princess sekejap. Baru boleh
lena dengan tenang” mama kembali bersemangat. Kuzer menggeleng. Amal adalah
racun dan penawar untuk mama. Dia sedar mama terlalu menyayangi Amal.
“Mama jangan lupa rehat pula” pipi
mama dikucup lembut. Datin Nora mengangguk. “Nak jumpa Nana ke?”
Kuzer mengangguk. Dia harus memujuk princessnya itu pula. Semalam merajuk
kerana date mereka terpaksa
dibatalkan kerana dia punya meeting tergempar.
“Kalau tak sibuk, ajaklah dia dinner dekat sini. Along ni pun satu.
Mama nak bincang soal kahwin, selalu je mengelak. Sampai bila nak macam ni?”
Dia menayang gigi putihnya dengan
tawa yang seakan-akan dipaksa. Datin Nora menggeleng. Tak faham betul
budak-budak zaman sekarang. Katanya cinta tapi bila nak mengikat dengan cara
halal, macam-macam hal. Sibuklah. Belum sampai serulah. Pening kepala
memikirkanya.
“Along dengan dia sama-sama sibuk,
ma. Tengoklah nanti. Bukan senang doktor nak ambil cuti panjang. Mama jangan
risau. Along jaga nama baik mama dan papa”
“Iyalah. Mama percaya along. Balik
jangan lewat sangat. Papa tak ada dekat rumah ni”
Datin Nora menapak naik ke atas
sementara Kuzer turun ke bawah untuk bertemu dengan kesayangan hatinya pula.
Pintu bilik Amal diketuk 3 kali.
Sekejap sahaja pintu itu dibuka. Senyuman terukir melihat wajah ceria
menyapanya ketika ini. “Mama baru balik?”
Datin Nora mengangguk. Dia masuk ke
dalam bilik Amal. Perkara pertama yang dilihat adalah gambar Polaroid mereka sewaktu majlis hari jadi
Kai yang dilekat di hujung katil. Dia melabuhkan punggung diatas katil Amal
yang dikemas.
“Kenapa mama balik lambat sangat?
Amal ingat nak dinner dengan mama
tadi”
“Mama minta maaf ye? Banyak kerja
sangat tadi. Amal dinner dengan along
dan Kai ‘kan?”
Amal mengangguk. Kasihan pula lihat
wajah mama yang letih. “Mama rehatlah. Esok nak kerja lagi”
Datin Nora mengangguk. Dia memegang
tangan Amal. “Mama lupa nak tanya Amal. Macam mana kolej? Semuanya okay?”
“Okay. Amal masuk kelab bola jaring.
Setiap hari Rabu petang, Amal akan ada latihan dekat kolej. Amal masuk dengan
Una”
“Jangan sampai letih sangat ye?”
Amal mengangguk. Datin Nora menghela nafas. “Nanti ajaklah Una datang rumah.
Mama nak kenal juga dengan kawan anak mama ni”
Dia mengangguk lagi. “Mama pergilah
rehat. Lewat dah ni” jam pun dah menunjukkan pukul 10 malam. Kasihan lihat mama
yang berusaha nak menahan mata yang nampak hampir tertutup.
“Amal”
Dia memandang mama yang seolah-olah
ingin memberitahu sesuatu. Datin Nora mengusap pipi Amal dengan lembut.
Kasih-sayangnya tumpah buat gadis ini. “Mama sayang sangat dekat Amal tahu?”
Senyuman diukir. Amal mengangguk,
bersungguh. “Amal pun sayang sangat dekat mama. Kenapa ni, ma?”
Datin Nora menggeleng. Entah kenapa,
hatinya semakin tak sedap. Seolah-olah, dia mampu merasa Amal bakal dibawa
pergi tak lama lagi. “Along, Kai dan papa juga sayangkan Amal”
Amal ketawa kecil. Kenapa dengan
mama ni? Dia memeluk mama dengan lembut. “Mama Amal ni comel la. Amal tahu
mama, papa, along dan Kai sayang sangat-sangat dekat Amal. Mama jangan risau
ye?”
Datin Nora membalas pelukan Amal
dengan erat. Mata dipejam seketika ini. Kehadiran mama tidak diduga namun dia
sangat bersyukur. Siapa sangka, dia mampu menyayangi Amal seperti anak kandung
sendiri? Sehingga dia merasa takut untuk kehilangan gadis ini.
***************************************************
Teh ais kegemaran dihirup sedikit
sebelum kembali menyuap nasi lemak yang dibeli di kaunter 5 minit yang lalu.
Sambil mengunyah, dia memandang gadis dihadapanya ini.
“Jadi, apa perasaan kau sekarang?”
Karipap didalam pinggan, dijamah
dengan berselera. “Entahlah. Aku selesa dengan mereka. Alin bertuah kau tahu?”
Una sekadar mengangguk. Amal dah
bertemu dengan keluarga Alin yang dikatakan serupa denganya. Namun seperti ada
yang tidak selesai lagi disini. Walaupun Una sendiri tak pasti lagi.
“Aku tengok gambar Alin dari Farah.
Terkejut aku dibuatnya. Kami memang serupa sangat. Macam kembar”
“Entah-entah, kau memang ada kembar
tak?”
Amal tersedak karipap. Segera dia
menghirup sirap bandung yang tinggal separuh. “Apa kau cakap ni?”
Una menjungkit bahu. Semua
kemungkinan boleh berlaku. Lagipun, Amal sendiri mengatakan dia bukan anak
kandungnya ibubapanya yang sekarang.
Kau
dengar tak? Dia akan lunch dekat
sini. Arghhhh
Jarang
sangat boleh tengok dia. Aku dengar, dia memang ramai peminat.
Mereka
sama-sama memasang telinga. Apabila berpandang, kedua-duanya tersenyum.
“Siapa?” Una menyoal. Amal menjungkit bahu.
“Mana aku tahu” Una masih tersenyum.
“Kau tahu? Setiap sekolah, pastinya akan ada seorang lelaki yang menjadi idaman
semua pelajar perempuan. Mungkin dekat kolej ni pun ada”
Amal menjamah sedikit nasi lemak Una
dihadapanya. “Aku homeschool. Manalah
aku nak tahu?”
Una terkejut. “Serius?”
“Sebab aku tak sihat sangat sebelum
ini. Kolej ini pun lepas puas aku pujuk mama. Dengan backup papa dan along”
Matanya tidak berkelip. Una taktahu
tentang itu. Iyalah, Amal mana pernah bercerita. Difikirkan semula, Amal memang
tak pernah buka mulut pasal keluarganya kecuali persoalan yang tiba-tiba itu.
Suasana berbisik itu bertukar
menjadi jeritan kecil yang menarik perhatian semua orang. Mereka sama-sama
menoleh kearah jeritan itu. Tak lama kemudian, kelihatan 3 orang lelaki
menghampiri café yang membuatkan semua pelajar didalam café berbisik dan
tersenyum.
Amal tergamam. Eh? Kelihatan mereka
berbual sesama sendiri tak mempedulikan orang sekeliling sebelum memilih meja
kosong. “Kacaknya yang tengah tu. Macam pelakon Korea”
Una dipandang sekilas. “Mungkin dia
yang selalu classmate kita cakapkan
tu?” Amal menggeleng sebelum kembali menghirup airnya.
“Hai. Indahnya dunia bila ada senior macam tu. Rasa bersemangat sikit
nak datang kolej” Una menahan dagu menggunakan tanganya sebelum tersenyum
seperti berada diawang-awangan.
Karipap yang terakhir terasa seperti
tidak mampu ditelan ketika ini. Siapa sangka abang sendiri adalah idaman satu
kolej? Siapa sangka Kai yang dingin mampu tersenyum dan mencairkan hati ramai
perempuan? Amal menggeleng. Terasa seperti bermimpi ngeri ketika ini.
*************************************
“Hey”
Farah menoleh melihat Amal
menghampiri bersama 2 beg plastik plastic Tesco yang disinggahnya sebentar
tadi. Wajah Farah yang tidak berdarah membuatkan Amal mengerut dahinya.
“Kenapa?” senyuman masih dibibir
walaupun sedikit kekok. Farah menelan air liur. Tangan mengenggam akhbar hari
ini. Sungguh dia tak percaya dengan apa yang dilihatnya sebentar tadi.
Amal mengambil tempat disebelah
sebelum Farah menghulurkan akhbar yang diatas ribanya tadi. Amal mengambil dan
kemudian melihat gambarnya sekeluarga terpampar di dada akhbat. Patutlah Farah
terkejut. Suasana sunyi seketika.
“A….awak….Global….?”
Dia mengangguk. Tiada apa yang harus
disembunyikan apabila Farah dah tahu semuanya. “Saya tak sepatutnya bawa awak
kesini”
Rasa menyesal singgah. Apa yang kau
cuba lakukan, Farah Qistina? Betapa bezanya Amal dan kau. Semestinya dia bukan
Alin! Macam mana kalau keluarga dia tahu tentang ini?
“Kenapa? Sebab papa saya ada
syarikat terkenal? Atau sebab saya tak layak untuk berkawan dengan awak?”
Farah menoleh pantas. “Saya tak
layak untuk berkawan dengan awak, Amal. Sepatutnya saya tak bawa awak kesini.
Pakcik Hussain takkan anggap awak macam anak dia. Saya takkan anggap awak macam
Alin. Kalau ibubapa awak tahu, macam mana?”
Amal meletakkan beg plastik tersebut
diatas lantai sebelum menghela nafas. “Sebab itulah saya tak mahu awak tahu
siapa saya sebenarnya” dia bersuara, perlahan.
“Along, Kai dan saya lalui perkara
yang sama. Sebaik sahaja mereka tahu siapa kami, semuanya akan berubah. Bukan
semua orang mahu dikenali dengan apa pekerjaan papanya atau syarikat apa yang
keluarga mereka miliki”
Farah hanya diam. “Saya ikhlas
tolong awak. Saya ikhlas nak lihat pakcik Hussain gembira semula. Siapapun
saya, itu takkan mengubah apa-apa”
Tangan Farah dipegang. Mereka
berpandangan seketika. “Saya hanyalah Amal. Anggap saya sebagai Amal. Bukan
anak pemilik Global. Boleh ‘kan?”
Senyuman penuh pengharapan diberi.
Walaupun pertemuan mereka singkat namun Farah dianggap seperti kawan. Sama
seperti Una. Dia lihat betapa Farah menyayangi Alin. Betapa pakcik Hussain
merindui anaknya. Dia yang punya segala-galanya ini kembali sedar diri bahawa
hidup tidak seindah yang disangka. Masih ramai yang menderita dan kerana itulah
Amal bersyukur dengan keluarganya sekarang.
Farah menunduk sedikit muka. “Saya
minta maaf’ perlahan dia bersuara. Amal hanya ketawa, kecil. “Sudahlah. Kita
lupakan semua ini. Awak tak jenguk pakcik Hussain?”
Dia kembali sedar sebab dirinya
duduk disini daripada masuk untuk menjenguk pakcik Hussain. “Belum. Makcik
Sarah dengan Lisa ada didalam. Biarlah kita tunggu mereka balik dahulu”
Huh?
“Kenapa?”
Tak sempat dia menjawab, pintu wad
dibuka. Amal lihat 2 wanita keluar dengan wajah masam. “Lisa penatlah, ma.
Lepas ni jangan ajak Lisa jenguk ayah lagi. Bosan betul”
“Sabarlah. Itu suami mama. Lisa
jangan macam-macam. Nanti apapun Lisa tak dapat baru padan muka”
Lisa buat muka. Apalah yang mama
tunggu? Ayah tirinya itu hanya ada beberapa ekar tanah sahaja. Bukanya kaya
mana pun. Susah sangat ke nak suruh buat wasiat untuk serahkan semua hartanya
kepada mereka? Apa lagi yang orang tua tu tunggu?
“Hah? Tak balik lagi kamu?”
Amal melihat warnita bersanggul itu
menegur Farah. “Belum lagi. Farah nak jenguk pakcik sekejap”
Sarah buat muka. “Tak habis-habis.
Kamu ni tak ada kerja lain ke? Dia sihat je walaupun kamu tak jenguk dia
hari-hari”
Amal tergamam. Ini ke ibu tiri Alin?
Dia mengalih pandang kepada Lisa. Nampak angkuh.
“Oh mak!” Sarah memegang dada yang
hampir gugur melihat wajah itu disebelah Farah. Jantung seolah-olah berhenti
bernafas. Siapa dia ni? Takkanlah Alin tak mati lagi?
“Ma….” Lisa menggoyang lengan
mamanya. Dia sendiri terkejut lihat ‘jelmaan’ Alin sekarang. Hantu ke?
“Si…siapa….ka…kau?” Sarah menyoal,
ketakutan. Takkanlah Alin tak mati? Tapi, mereka sendiri yang melihat mayat
anak kesayangan suaminya itu. Kalau Alin mati, budak ni siapa?
“Ini Amal. Kawan Farah”
Sarah masih tak percaya. Sejak bila
budak Farah ni ada kawan yang mirip sekali dengan Alin? Selain Alin, rasanya
Farah tak ada kawan lain.
“Ini makcik Sarah. Ini pula Lisa”
Farah memperkenalkan mereka. Amal memberi senyuman, nipis. “Saya Amal”
Tangan dihulur. Makcik Sarah dan
Lisa masih memandangnya seperti nampak hantu. “Mama” Lisa menepuk bahu mamanya.
Amal memandang Farah yang menjungkit
bahu. “Sudah. Malas aku nak layan kau orang berdua. Mari Lisa”
Dia menarik tangan anaknya dengan
tergesa-gesa. Walaupun tahu Alin sudah tiada namun apabila melihat muka Amal
tadi, dia merasa takut. Mereka terlalu mirip sehingga membuatkan badanya
menggeletar.
“Abaikan. Mereka memang macam tu.
Berlagak! Alin je yang bertahan dengan mereka. Semuanya demi pakcik Hussain”
Amal mengangguk. Nampak macam
hubungan mereka tidak baik. Apa sebenarnya yang terjadi diantara Alin dengan
ibu serta kakak tirinya? Rasa macam sesuatu tak kena sebaik melihat mereka yang
nampak sangat terkejut sewaktu memandangnya tadi.
****************************
Suasana rumah agak sunyi. Papa masih
di luar negara dan mama dinner dengan
client lagi malam ini. Kai keluar
dari bilik kerasa rasa haus. Tiba di dapur, dia mengambil mineral kecil yang
disimpan sebelum berlalu ke ruang tamu.
“Tuan muda lapar ke?” dia ditegur
oleh ibu Siti yang kebetulan melintasi ruang tamu ketika ini. Kai menggeleng.
“Rumah sunyi sangat”
Ibu Siti tersenyum. Inilah suasana
biasa untuk keluarga Datuk Megat Akasha. Masing-masing sibuk dengan urusan
sendiri dan rumah akan sentiasa rasa sunyi.
“Tak berbual dengan along? Ibu baru
hantarkan kopi dekat bilik dia tadi”
Dia meneguk air mineral ditangan.
“Sibuk. Penuh dengan kertas kerja. Malas nak campur” tadi nak masuk bilik pun
susah. Ini pula nak berbual? Baik buat kerja lain. Dia tahu, along pun takkan
layan.
“Kalau macam tu, pergilah berbual
dengan Amal. Dia tengah ambil angin dekat luar tu. Tadi Amal balik hampir nak
Maghrib”
Kai sedikit terkejut. Bukan kelas
Amal habis tengah hari ke? Ke mana pula budak ni melencong? “Ibu nak buatkan
air. Tuan muda nak apa-apa ke?”
Dia menggeleng sebelum berlalu ke
luar. Kelihatan Amal sedang melihat sesuatu di telifon bimbit sambil kaki
menghayun buaian. Perlahan dia menghampiri gadis ini. Bila difikirkan balik, memang
ada yang tak kena. Jarang kelibat Amal ada waktu siang kecuali hampir malam.
Apa yang budak ni sembunyikan?
“Ehem”
Amal menoleh. “Oh mak!” telifon
segera disimpan dengan perasaan jantung yang seperti hendak terkeluar ketika
ini. Tanpa bicara, Kai mengambil tempat disebelah Amal. Suasana malam yang
sunyi dengan angin sejuk memang menyegarkan.
“Tengok apa tadi?” dia menyoal tanpa
menoleh. Amal kaget sekejap sebelum menggeleng pantas. “Nothing. Tak ada kena-mengena dengan sesiapa”
Kai menghela nafas. Entah kenapa,
dapat dirasa yang Amal sembunyikan sesuatu darinya. 3 tahun mengenali Amal. Dia
tahu Amal bukan pandai sangat berbohong.
“Macam mana dengan kolej? Rasanya,
tak ada sesiapa lagi yang tahu kita adik-beradik”
“Mungkin esok dia orang akan tahu.
Dah tengok akhbar hari ini? Ada gambar kita sekeluarga. Penat je cuba
sembunyikan hubungan ni”
Amal mengeluh. Bukan dia tak hargai
mempunyai keluarga seperti ini. Namun Amal hanya mahu berdikari tanpa orang
lain memandangnya sebagai anak Datuk Megat Akasha. Bukan mudah untuk mencari
kawan yang ikhlas jika mereka tahu siapa dirinya yang sebenar.
“Lambat-laun, orang akan tahu juga.
Tak selamanya kau boleh sembunyikan. Walaupun aku sendiri tak faham kenapa kau
nak buat macam tu”
Kai lihat Amal buat muka. Dia
mengukir senyuman nipis. “Lusa, kita harus teman mama untuk charity. Jangan lupa”
“Mama dah ingatkan. Itu acara tiap
bulan ‘kan?”
Kai mengangguk. Mungkin kerana
itulah, mereka tidak terlalu memikirkan mengenai status seseorang. Mama dan
papa mengajar untuk hidup bersederhana. Walauapapun terjadi, mereka harus
mendapat sesuatu dengan usaha sendiri. Tanpa bantuan papa terutamanya.
“Kai” dia bersuara, perlahan. “Hmmm”
“Amal bukan budak-budak lagi”
Kai menoleh. Kemudian ketawa,
menyindir. “Kau pasti?” Amal buat muka. Tahan je hati dengan perangai suka
menyakat dia ni.
“Amal juga tahu kita bukan
adik-beradik kandung”
Wajah Kai berubah. Terasa tidak
mampu menelan air mineral di kerongkong ketika ini. Amal menghela nafas, berat.
Setiap hari dia memikirkan hal ini. Namun Amal tak mahu melukakan mama dan
papa. Mereka pasti punya sebab untuk merahsiakan semua ini.
“Betul ‘kan?” kali ini dia menoleh
kearah Kai. Wajah lelaki itu masih tidak berperasaan seperti selalu. Amal sedikit
kecewa. Takkanlah Kai tak tahu? Mereka bukan budak-budak lagi!
“Kalau Amal tanya mama tentang
ibubapa kandung Amal, Kai rasa mama akan marah ke? Amal tak mahu buat mama
menangis”
Bibir diketap perlahan. Dia
sebenarnya serba-salah. Memang rasa hati membuak-buak untuk tahu siapa ibubapa
kandungnya. Dimana mereka tinggal. Kenapa dirinya diberi kepada keluarga ini.
Namun apabila melihat mama yang begitu menyayanginya, Amal tak sampai hati nak
bertanyakan soal ini. Takut kalau-kalau mama terluka.
Kai diam lagi. Dia taktahu jawapan
yang harus diberi. Mama sememangnya tak mahu mengungkit hal ini. Begitu juga
papa. Tapi seperti yang Amal cakap. Dia bukanya budak-budak. Mana mungkin dia
tidak melihat namanya yang berbinti orang lain dan bukanya papa.
“Kalau kau bukan anak kandung mama
dan papa, itu akan mengubah apa-apa ke? Mereka sayangkan kau macam anak
sendiri. Tak cukup lagi?”
Amal terdiam. Kai terasa hendak
ketuk kepala sendiri. Aishh. Lain aku
nak cakap, lain yang keluar. Rasa macam kasar sangat soalan tadi. Tambah pula
bila lihat wajah Amal semakin mendung.
“Kai taktahu dimana keluarga Amal?
Kenapa mereka tinggal Amal macam ni? Apa salah Amal? Mereka tak sayangkan Amal
ke?”
“Amalina Imani!” suaranya kedengaran
tegas. Amal menggigit bibir dengan pelbagai perasaan. Kai mendengus.
“Stop
it. Jangan nak seksa diri sendiri” bahu Amal dipegang erat. Amal masih
menundukkan wajah. Kelopak mata sudah bergenang. Tiada siapa mampu memahami
perasaanya ketika ini.
“Please.
Jangan bangkitkan hal ini. Kami semua sayangkan kau. Terutamanya mama. Biar
siapapun kau sebelum ini, kami langsug tak kisah. Kau adik aku. Anak perempuan
mama dan papa. Adik kesayangan along. Itu kenyataanya dan ia takkan berubah
sampai bila-bila”
Airmata gugur seperti air terjun
sebaik mendengar ucapan Kai. Dia menangis teresak-esak. Dada terasa berat
dengan pelbagai perasaan ketika ini. Amal tahu dia sentiasa mempunyai keluarga
yang menyayangi. Namun dia tak mampu menghalang diri daripada rasa ingin tahu
mengenai keluarga kandungnya. Bagaimana mereka? Adakah mereka benar-benar tidak
menyayanginya? Selagi semua itu tidak dijawab, hatinya takkan pernah tenang.
Kai menghela nafas. Perlahan tubuh
Amal ditarik ke dalam pelukan. Mendengar Amal menangis teresak-esak, hatinya
bagai dihiris sedikit demi sedikit.
“Amal bukan anak mama dengan papa.
Amal bukan adik along dengan Kai. Itu kenyataanya. Amal tak ada hubungan darah
dengan keluarga ini. Macam mana Kai suruh Amal lupakan semuanya? Macam mana?”
”Shhhh”
Belakang tubuhnya diusap lembut
sambil cuba memujuk. Setiap kali lihat Amal menangis, dia terasa tidak berdaya
langsung. Lebih-lebih lagi apabila mengenangkan bahawa dia tak mampu lakukan
apa-apa untuk memujuk gadis ini. Biarlah bahunya basah sekalipun. Kai mahu Amal
luahkan semua yang ditanggungnya selama ini.

hmmmmm.....banyak konflik nanti nehhhh
ReplyDeletesedihnya.
ReplyDelete