Dhani merenggangkan anggota badan
yang hampir beku kerana duduk di bilik berhawa dingin bersama hujan yang turun
dengan lebat. Mika menggosok perutnya yang berbunyi.
“Lapar gila. Nak makan dulu?”
“Bosan makan kafe. Lepas Venus nak?”
Dhani memandang Kai yang merenung kearah hujan tanpa riaksi.
“Aku lagi bosan lepak Venus tahu? Subway la”
Dhani mencebik. “Setuju?” Mika
menyoal Kai. “Boleh kami join?”
Mereka berdua menoleh. Kai hanya
mengerling. Nisa memberi senyuman bersama Hannah disebelah yang diam sahaja.
Dhani dan Mika berpandangan. “Nak…join?”
Nisa mengangguk. Lama mereka tak
keluar bersama. Ini masa untuk rapatkan Kai dengan Hannah. Mika mencuit lengan
Kai yang buat tak dengar. Dia memberi isyarat untuk memberi jawapan. Kai
melepaskan helaan.
“It’s
okay. Mari Nisa. Kita makan di kafe”
“Tapi…..”
Hannah menarik tangan Nisa. Dia tahu
Kai cuba mengelak untuk bersamanya walau apa cara sekalipun. Semakin Kai tahu
mengenai perasaanya, semakin lelaki itu menjauhkan diri. Hannah tak mahu
memalukan diri sendiri lagi.
Kai hanya memandang Hannah yang
sudah menapak pergi. Mika menggeleng. Dhani menolak bahu Kai, geram. Memang Kai
boleh jadi sangat kejam jika dia mahu. Mereka sendiri tak mampu bercakap
apa-apa.
“Aku bagi kau 5 minit untuk kejar
Hannah. Sebelum aku lebamkan mata kau”
Dhani memandangnya serius. Mika
hanya jadi pemerhati. Dihadapanya sekarang adalah lelaki yang dalam diam
mencintai Hannah dan lelaki yang Hannah cintai namun takkan mungkin
mencintainya.
“Aishhh” Kai menggosok rambutnya
dengan rasa sebal sebelum berlari mendapatkan Hannah yang semakin jauh. Dia
menarik lengan Hannah, memberi kejutan kepada gadis itu.
“Marilah” dia bersuara tanpa
sebarang perasaan. Berkelip-kelip Hannah memandang Kai. Dia masih terkejut
apabila Kai mengajaknya. Terasa seperti bermimpi. “Marilah Hannah”
Suara Nisa menggembalikan dirinya
yang jauh melayang. Hannah mengangguk dengan rasa kekok. Kai menggosok belakang
leher sebelum bersama-sama kembali kepada Dhani dan Mika yang sedang menunggu.
Mika memberi senyuman melihat wajah
Kai yang nampak sangat terpaksa. Dia hanya mampu menepuk bahu kawanya itu
dengan tawa kecil. “Kau okay?”
Kai sekadar mengangguk. Tiba di
perkarangan parkir, telifonya berbunyi. Kerutan jelas kelihatan melihat nama
pemanggil yang tertera. Hannah yang hendak memasuki kereta, menghentikan
perbuatanya apabila melihat Kai menjawab panggilan seseorang.
“Abang Kai!”
Kaget sekejap dibuatnya. Ini bukan
suara Amal. Lagipun, Amal tak pernah memanggilnya abang. “Amal pengsan dekat
perhentian bas. Boleh abang ambil dia sekarang?”
Kai tergamam. Amal pengsan? Dia
segera mendapatkan Mika di tempat duduk pemandu. “Kenapa?” temanya itu
memandang hairan. Wajah Kai yang tidak berdarah membuatkan dia risau.
“Amal pengsan”
Tanpa sempat Mika berkata apa-apa,
Kai sudah berlari kearah kereta dan hilang sekelip mata. Hannah masuk ke dalam
kereta dengan pelbagai perasaan. Dia lihat wajah Kai tadi. Dia lihat kerisauan
yang Kai tunjukkan. Memang dia cemburu sekarang. Demi Amal, Kai sanggup
tinggalkan mereka semua.
Nisa memegang lengan Hannah. “Aku
cakap pada kau. Jangan salahkan aku kalau Kai terlepas di depan mata kau
sendiri”
Hannah hanya diam. Perlukah aku
cemburu? Memang Amal adik Kai namun mereka tiada hubungan darah. Melihat dari
cara Kai tadi membuatkan Hannah terasa hati. Dia tak pernah lihat Kai seperti
itu. Walaupun Kai nampak tak ambil kisah namun dia sentiasa memerhati Amal.
**************************************
“Kai”
Dia menoleh. Datin Nora berlari anak
sambil memegang tangan Kuzer. Wajahnya cukup menggambarkan perasaan ketika ini.
Hampir luruh jantung sebaik mendapat panggilan daripada Kai sebentar tadi. Amal
sudah pulih sepenuhnya. Kenapa tiba-tiba boleh pengsan?
“Ma”
Tangan Kai dipegang erat. Dia cuba
mengawal rasa cemasnya ketika ini. Kuzer disebelah mengurut belakang mama untuk
menenangkan dia. Setiap perkara membabitkan Amal pastinya akan membuatkan mama
tak senang duduk.
“Kenapa boleh sampai pengsan? Apa
yang berlaku?”
Kai tak punya jawapan yang pasti.
Sedikit-sebanyak, semua ini berpunca daripadanya juga. “Kai”
Suara along menyedarkan dia semula.
“Kai tak tahu, ma. Tiba-tiba kawan Amal telifon cakap dia pengsan”
Datin Nora mengurut dadanya yang
berdegup kencang. Kuzer sedikit risau. Janganlah mama pula yang sakit sebab
risaukan Amal. “Mama duduk dulu. Harith ada didalam untuk rawat Amal”
Kuzer membawa mama untuk duduk
dikerusi yang sediakan. Kai duduk disebelah. Melihat mama yang masih risau, dia
mengenggam tangan mama. “Papa?”
Dia bertemu mata dengan along. “Meeting. Dia akan datang selepas habis
semuanya”
Kai mengangguk. Mama sudah menyandar
kepala di dinding hospital. Kuzer hanya mampu melepaskan nafas yang sesak. Dirinya
juga risau namun dia harus berlagak kuat demi mama. Sebagai anak sulung, dia
harus menjadi dahan untuk mama bertahan.
“Along yakin Amal tak apa-apa.
Mungkin dia keletihan”
Kuzer cuba memujuk. Mama hanya mengangguk,
lemah. Dia tahu mama tidak mendengar apa-apa. Mindanya sudah berada didalam
Bilik Kecemasan yang masih menyala itu.
Kuzer turut memerhati pintu berwarna
putih itu. Sebaik tiba di tempat kejadian, jantungnya seolah-olah berhenti
melihat Amal yang sudah longlai dipangku oleh Una. Ini kali kedua dia melihat
Amal seperti itu. Hatinya bagai dihempap batu besar. Kadangkala, dia hairan
perasaan sendiri. Siap Amal padanya? Adakah hanya sebagai adik?
Lampu yang tiba-tiba tertutup itu
membuatkan mereka bertigas bergegas bangun. Kuzer terlebih dahulu mendapatkan
Harith yang keluar sambil menanggalkan mask
di muka.
“Macam mana, Rith? Kenapa dengan
Amal?”
Harith memberi senyuman yang tak
mampu dibaca. “Jangan risau. Amal cuma keletihan. Dia sepatutnya hanya perlu
berehat di wad tapi aku nak pastikan kesihatan dia. Aku dah periksa semuanya,
Alhamdulillah. Semuanya okay”
Kuzer meraup wajah dengan rasa lega.
Datin Nora mengucapkan rasa syukur mendengar berita yang disampaikan. Kai sudah
mampu bernafas dengan betul.
Doktor Harith memegang bahu Kuzer.
Dia memberi senyuman semangat. Amal sangat bertuah. Dia mempunyai keluarga yang
sangat menyayangi dirinya. Walaupun mereka tiada hubungan darah.
“Aku akan bawa dia ke wad VIP. Amal
hanya perlu rehat yang cukup. Tadi aku kesan suhu dia sedikit tinggi. Mungkin
akibat dibasahi hujan tadi. Nanti aku suruh nurse
berikan ubat”
Kuzer mengangguk. Dia menyalam
tangan Harith. Syukurlah, dia punya sahabat seperti Harith. Terlalu banyak budi
yang Harith berikan kepada keluarga mereka.
“Thanks,
Rith. Maaflah susahkan kau”
Harith sekadar menggeleng. “Aku dah
anggap Amal macam adik aku sendiri. Auntie
jangan risau ye”
Datin Nora mengangguk dengan
senyuman nipis. “Terima kasih, Harith”
“Saya harus minta diri dulu. Saya
akan jenguk Amal 3 jam dari sekarang”
Mereka mengucapkan terima kasih
sekali lagi dan melihat doktor Harith berlalu pergi. Datin Nora melepaskan
nafas lega. Syukurlah Amal tak apa-apa.
******************************************
Mata dibuka perlahan. Pemandangan
sedikit kabur. Tangan diangkat lalu menggosok mata. Keadaan sedikit demi
sedikit kembali sempurna. Putih. Itu yang terlintas di fikiran. Bunyi mesin
yang sangat hampir membuatkan dia kebingungan.
“Hmm”
Dia
bergerak sedikit namun tangan terasa berat disebelah kanan. “Amal! Sayang mama”
Suara itu membuatkan dia menoleh.
Mama memberikan senyuman yang begitu menenangkan. Amal memberi senyuman hambar.
Datin Nora segera memeluk anak gadisnya itu dengan erat.
“Risaunya mama dengan kamu. Macam
mana kamu boleh pengsa?”
Mama merenggagkan peluka namun masih
mengusap pipinya dengan lembut. Amal hanya memerhati tanpa jawapan. Datin Nora
sedikit risau. Kelakuan Amal tak ubah seperti 3 tahun lepas. Amal yang sangat
dingin. Amal yang hilang semua ingatanya.
“Amal”
Dia cuba memanggil. “Kenapa? Amal
kenal mama ‘kan?” lengan anaknya itu dipegang dengan rasa takut. Takkanlah Amal
hilang ingatan lagi? Ya Allah.
“Ma…ma” suaranya pecah. Datin Nora
mengangguk. Kelopak mata bergenang. Syukurlah Amal masih mengingatinya.
“Ye sayang. Mama disini. Kamu jangan
risau. Mama ada disini untuk kamu”
Rambut hadapan Amal diselak ke tepi.
Sekarang, barulah dia mampu menarik nafas lega melihat Amal tak apa-apa. Amal
Amal diam memerhati. Hati merasa
sebak tiba-tiba. Mama. Mama bukan mama Amal. Amal bukan anak kesayangan mama.
Kenapa? Kenapa takdir sangat kejam?
Datin Nora sedikit terperanjat
melihat Amal yang tiba-tiba menangis. Dia segera berdiri sebelum duduk dihujung
katil Amal. “Kenapa ni sayang? Apa yang kamu sedihkan?”
Amal hanya mampu menggeleng. Sukar
sekali untuk menerima kenyataan yang memeritkan ini. Sebab itukah mama cuba
merahsiakan kenyataan ini? Dada terasa sesak seolah-olah dihempap sesuatu. Dia
tidak mampu bernafas.
“Mama” airmata mengalir. Datin Nora
segera memeluk Amal dengan rasa risau. Kenapa Amal sedih sangat? Apa yang
berlaku?
“Kenapa sayang? Kenapa sedih sangat
ni?”
Amal menggeleng. Dia menangis lagi.
Terasa terlalu banyak bebanan yang ditanggung ketika ini. Datin Nora mengusap
belakang Amal dengan lembut. Tidak pernah dia melihat Amal menangis seperti
ini. Apa yang buat Amal sedih sangat?
“Amal….Amal….Amal…bukan anak mama.
Amal bukan anak mama”
Datin Nora tergamam. Dia
merenggangkan pelukan lalu mencari wajah Amal yang terlindung dek rambut
hadapanya. Terasa seperti tidak mampu bernafas apabila mendengar ucapan Amal
tadi.
“Apa…..apa kamu cakap?”
Amal mengetap bibir. Dadanya terasa
sesak. Dengan segala kekuatan, dia mengangkat muka memandang mama yang
nampaknya masih tidak faham.
“Amal bukan anak mama ‘kan? Sebab
itu Amal tidak berbintikan papa? Sebab itu Amal hilang ingatan?
Amal…bukan…anak….mama”
Datin Nora tergamam. Amal kembali
menangis. Datin Nora turut merasa sebak. Airmatanya mengalir perlahan walaupun
cuba ditahan sedaya mungkin. Dia kembali memeluk Amal. Pasti sukar untuk Amal
menerima kenyataan ini.
“Tak! Amal anak mama. Selama-lamanya
anak mama. Kamu anak mama!”
Walauapapun yang cuba mama cakapkan,
Amal lebih tahu. Kenyataan ini takkan mampu diubah. Walaupun beribu kali cuba
dinafikan, tiada sesiapapun yang mampu mengubahnya.
***********************************
“Mama?”
Kuzer sedikit hairan melihat mama
sendirian di luar bilik Amal sambil termenung. Seolah-olah, ada sesuatu yang
menganggu fikiranya sekarang ini. Datin Nora menoleh melihat Kuzer menghampiri
bersama 2 gelas kopi panas dari cafeteria hospital.
Senyuman hambar diberi. “Mana Kai?”
Kuzer mengambil tempat disebelah
mama. “Dengan papa. Uruskan tentang Amal”
Datin Nora mengangguk. Dia mengambil
kopi yang dihulur sebelum menghirup sedikit. Pelbagai perkara yang berada di
mindanya ketika ini. Dia mengurut pelipis dengan perlahan.
“Mama pening ke? Nak along
picitkan?”
“Tak apa, sayang. Mama cuma penat
sikit je. Amal baru tidur semula tadi. Dia menangis teruk”
Wajah Kuzer berubah sedikit. Amal
menangis? “Kenapa Amal menangis?”
Datin Nora melepaskan keluhan.
Selama ini dia cuba merahsiakan mengenai Amal walaupun dia sendiri tahu rahsia
ini pasti akan terbongkar. Namun apabila Amal mengetahui semuanya sendiri dan
menangis sebentar tadi, hatinya bagai dihiris-hiris.
“Amal dah tahu semuanya. Dia tahu
yang dia bukan anak mama. Dia menangis teruk tadi, along. Sedih mama dengar.
Dia terkejut sangat agaknya. Itu yang sampai pengsan”
Kuzer terdiam. Dia sudah menduga
perkara ini akan berlaku samada cepat mahupun lambat sahaja. Sekarang, Amal
sudah tahu semuanya. Dia mengeluh berat.
“Apa kita nak buat sekarang, along?
Mama tak mahu kehilangan Amal. Mama dah anggap Amal macam anak mama sendiri”
Airmata diseka dengan rasa lemah.
Walaupun Amal bukan darah dagingnya tapi Amal sudah dianggap seperti anak
sendiri. Memandangkan dirinya memang inginkan anak perempuan. Bagaimana nanti
jika Amal dibawa pergi? Mampukah mereka menghalangnya?
“Sayang”
Mereka sama-sama menoleh. Kuzer
sedikit terkejut melihat papa dan Kai yang sudah berdiri berhampiran. Entah
bila mereka masuk ke dalam wad, dia sendiri kurang pasti. “Apa awak cakap? Amal
dah tahu semuanya?”
Datin Nora hanya mampu mengangguk
lemah. Datuk Megat Akashah mengambil tempat disebelah isterinya. Dia mengenggam
tangan si isteri dengan lembut. Pasti sukar untuk mereka menghadapi segala
kemungkinan selepas ini. Kai duduk disebelah Kuzer tanpa bicara.
“Bagaimana kalau ada orang ambil
Amal, bang? Dia anak saya. Anak saya!”
Datuk Megat Akashah hanya mampu
mengangguk. Dia mengusap lengan isteri dengan lembut. “Saya faham, sayang. Tapi
awak kena ingat. Amal bukan anak kita. Jika ibubapa dia datang untuk ambil dia,
kita harus lepaskan. Amal akan sentiasa menjadi anak kita”
Datin Nora meletakkan kepala di bahu
suami. Airmata diseka namun tetap mengalir. Dirinya benar-benar lemah apabila
membabitkan Amal.
“Abang
ingat waktu pertama kali kita jumpa dia? Sangat sukar sekali untuk Amal
bercakap. Saya masih ingat waktu dia memanggil saya mama dahulu. Awak tak mampu
bayangkan perasaan saya, bang. Gembira sangat”
Datuk
Megat Akashah hanya mampu mengangguk. Dirinya turut merasa sebak namun dia
harus tabah demi isteri tercinta. Datin Nora menghela nafas. “Bila dia senyum
sambil memanggil saya mama. Bila dia cium pipi saya bila saya masakkan makanan
kegemaran dia. Bila dia cakap dia juga sayangkan saya. Ini adalah perkara pAlyng
indah dalam hidup saya, bang. Dia adalah anak yang saya impikan selama ini”
“Abang
faham, sayang” hanya itu yang mampu dikatakan. Dia sendiri tak mampu memujuk
hati sendiri inikan pula hati si isteri.
Kuzer menghela nafas. Mama kelihatan
sangat sedih. Dia mampu memahaminya. Amal sudah dianggap seperti adik sendiri.
Adik perempuan yang sangat dilindungi dan disayangi. Namun benar kata papa.
Jika ada yang berhak datang untuk mengambil Amal, mereka harus membenarkanya.
Kenyataanya adalah mereka tidak punya hak ke atas diri Amal.
*************************************
Buah epal merah yang dikupas mama
sebentar tadi dikunyah dengan berselera. Seronok apabila dimanja oleh mama
seperti sekarang. Walaupun selalunya mama memang selalu memanjakan dirinya.
“Nak lagi?”
“Emmm”
dia mengangguk dengan senyuman riang. Datin Nora turut tersenyum. Amal
kelihatan lebih tenang berbanding semalam. Mungkin semalam dia masih terkejut.
“Bertuah sungguh badan. Kalau macam
ni, along pun nak sakit”
Kuzer menongkat dagu diatas meja
sudut ditepi katil dengan wajah cemburu. Amal memberi sengihan. “Mama takkan
layan along macam ni. Amal anak kesayangan mama”
Suasana tiba-tiba jadi sunyi. Epal
yang tadi dikunyah dengan berselera tiba-tiba sahaja terasa pahit. Kuzer
memandang Amal yang tunduk sedikit. Tiba-tiba gadis itu mengangkat semula wajah
dan memberi senyuman.
“Amal nak lagi”
Datin Nora segera memotong buah epal
ditangan. Amal memerhati dengan pelbagai perasaan. Apa perasaan mama jika mama
tahu dia sudah bertemu dengan keluarga kandungnya? Adakah mama akan terasa hati
kerana dirinya merahsiakan semua ini?
“Assalamualaikum”
Suasana yang sepi sebentar tadi
diselamatkan dengan kehadiran papa bersama Kai yang baru habis kelas. Amal
segera memberi senyuman yang terasa dipaksa.
“Semuanya disini? Patutlah papa
telifon PA kamu tadi, dia cakap kamu ambil cuti setengah hari”
Kuzer memberi senyuman. “Tuan puteri
ni. Telifon along sebab nak suruh belikan epal. Ada apa-apa berlaku di syarikat
ke, pa?”
Datuk Megat Akashah hanya
menggeleng. Dia gembira apabila mereka sekeluarga mampu berkumpul seperti ini.
“Nah. Makan ini”
Belum sempat Amal mencapai epal yang
dihuluar mama, epal tersebut terlebih dahulu disambar. Amal menarik muka masam
melihat Kai mengunyah disebelah mama tanpa rasa bersalah.
“Itu Amal punya!”
“Sedap. Mama potong untuk Kai juga”
Datin Nora hanya mampu menggeleng
dengan tawa kecil. “Mana adil. Mama, jangan bagi Kai. Semua itu along beli
untuk Amal”
Kai buat muka tak berperasaan sambil
mengambil sepotong lagi epal didalam pinggan. Amal mendengus, geram. Rasa nak
cekik batang leher lelaki itu pun ada. Kai memberi senyuman, mengejek.
“Manja!”
“Amal tak manja. Kai yang manja!”
dia menjelir lidah sebelum segera mengambil potongan epal yang baru. Kai
tersenyum nipis. Amal masih seperti dahulu. Syukurlah.
“Sudahlah tu. Kairil, AmAlyna!”
suara papa kedengaran tiba-tiba. Bila papa memanggil nama penuh, mereka sudah
faham sepenuhnya. Kai berlalu duduk disebelah Kuzer sambil sempat mengambil
sepotong lagi.
“Papa ada perkara nak beritahu kamu
semua”
Semua kepala menoleh kearah papa.
Begitu juga mama. Datuk Megat Akashah memandang setiap wajah anak-anaknya
sebelum mengukir senyuman. “Papa ingat nak bawa kamu melancong ke Langkawi.
Mahu?”
Suasana sepi untuk beberapa ketika
sebelum Amal bersuara dengan rasa teruja. “Serius? Betul ke, pa?”
Papa mengangguk. “Sudah lama kita
tak bercuti bersama. Along, uruskan cuti kamu secepat mungkin. Kita akan pergi
bulan hadapan”
Amal hampir tersedak epal yang
ditelan. Dia cepat-cepat mengambil air yang diberi mama. “Makan elok-elok,
sayang”
Sengihan diberi sebelum kembali
memandang papa. “Bulan hadapan?”
“Papa dah rancang semuanya. Selepas
apa yang berlaku, mungkin kita perlukan percutian ini untuk tenangkan semuanya”
Suasana kembali sunyi. Amal
menggigit bawah bibir tanpa bicara. Datin Nora turut berhenti mengupas epal
dengan perasaan berat hati. Mungkin juga ini adalah percutian terakhir mereka
sebagai sebuah keluarga yang lengkap.
“Kelas?” Kai tiba-tiba bersuara. “Papa
akan uruskan dengan Pengarah kolej. Jangan risau” Kai sekadar mengangguk. Benar
cakap papa. Mereka sememangnya memerlukan percutian seperti ini.
“Tak apa ke, pa? Banyak projek yang
masih pending sekarang” Kuzer
memandang, risau. Walaupun dia ingin bercuti namun mengenangkan kerja yang
bertimbun di pejabat membuatkan kegembiraanya mati.
“Biarlah. Keluarga lebih penting,
long. Kamu jangan lupa tentang itu!” tegas Datuk Megat Akashah mengingatkan.
Kuzer mengangguk. Itu prinsip yang papa terapkan padanya. Walauapapun yang
berlaku, samada berjaya ataupun tidak, hanya keluarga sahaja yang benar-benar
ikhlas berada disamping kita. Kuzer tak pernah lupa tentang itu.
Amal menoleh kearah mama yang
memberi senyuman gembira. Amal turut tersenyum. Pelbagai perasaan yang dialami
ketika ini sejak mengetahui hakikat itu. Banyak lagi perkara yang harus
diselesaikan. Biarlah, dia yang selesaikanya sendiri. Amal tak mahu melukai
keluarga ini lagi.
***************************************************
“Arghh.
Rasa nak tercabut semua sendi aku sekarang”
Dhani melabuhkan punggung disebelah
sebelum menghirup mineral sejuk berhampiran. Mika hanya tersenyum. Sekali
sekala mengeluarkan peluh seperti ini sememangnya diperlukan. Ianya juga dapat
membantu menghilangkan stress yang mereka hadapi.
“Kai ada call kau? Macam mana agaknya Amal sekarang?”
Mika menjungkit bahu. Mereka lost contact sejak Amal dimasukkan ke
hospital. Bukanya taktahu mood Hannah
yang terus berubah apabila Kai terus meninggalkan mereka sebaik tahu Amal
pengsan hari itu. Helaan nafas dilepaskan.
Kadangkala dia hairan sebenarnya.
Apa agaknya yang Hannah nampak pada Kai sehingga dia tak nampak lelaki-lelaki
yang setia memandangnya? Dia menoleh ke arah Dhani yang sedang mengesat peluh
disebelah. Ini salah satu contoh sebenarnya. Dhani sukakan Hannah sejak
semester 1 lagi. Tapi memandangkan Hannah menyukai Kai, Dhani pendamkan
perasaan sendiri.
“Yok,
gerak. Kejap lagi kelas”
Dia mencapai beg dan disandang ke
belakang. Mereka berjalan meninggalkan gelanggang. “Macam mana projek kau? Aku
setengah nyawa sekarang ni. Tidur pun teringatkan kerja yang tak habis”
Mika ketawa, kecil. “Tapi sempat
pula kau pergi Venus semalam?” kening di jungkit. Macamlah aku tak tahu jadual
kau, Dhan! Dhani menayang gigi tanpa rasa bersalah.
“Aku perlu tenangkan minda aku ni”
Mika mengangguk sambil buat muka
menyindir. Dhani ketawa, segan. Apabila kembali memandang ke hadapan, kelihatan
kumpulan pelajar perempuan yang sedang berbisik sesama sendiri. Kerutan sedikit
kelihatan.
Apa pula gosip mereka hari ini? Nampak
serius benar? Mereka berjalan melintasi kumpulan perempuan itu. Kerana terlalu
asyik berbual, mereka langsung tidak menyedari kehadiran 2 lelaki itu.
“Aku nampak dekat tempat parkir
kereta tadi. Kai datang dengan seorang perempuan. Dengar kata, budak junior kita”
“Serius? Cantik tak? Course apa?” seorang lagi menyoal.
“Entah. Tak pernah nampak mereka
berbual pun sewaktu dekat kolej. Bila yang mereka bersama?”
“Betul tu. Kai bukan jenis berkawan.
Dia dengan sukan ataupun Mika dan Dhani sahaja. Macam mana perempuan tu boleh
tawan hati Kai?”
“Tapi aku dengar itu adik dia”
perempuan berkaca mata itu berbicara, membuatkan semua kepala memandang ke
arahnya.
“Adik?!”
Mika menggeleng. Dahsyat sungguh
kaum wanita. Semuanya mereka tahu walaupun tak diberitahu dan tiada
kena-mengena dengan mereka. Dhani masih dalam keadaan terkejut bercampur
hairan. Apa yang mereka cakapkan?
Jeritan seorang pelajar membuatkan
mereka semua menoleh. Mika tergamam melihat Kai hadir bersama Amal menyusuri
koridor kolej yang dipenuhi pelajar lain. Dengan tenang dia membawa beg Amal
dengan wajah tiada berperasaan.
Rahang Dhani hampir jatuh melihat
adengan mustahil yang dipamerkan dihadapanya ketika ini. Biar benar? Sejak bila
Kai bertukar? Dia menoleh memandang Mika yang turut sama terkejut.
Mereka mendengar bisikan pelajar
yang semakin kuat. Amal kelihatan sangat tidak selesa namun Kai hanya buat tak
dengar. Mika dan Dhani membawa kaki melangkah menghampiri 2 beradik itu.
Senyuman diukir apabila berhenti berhadapan mereka berdua.
“Aku bermimpi atau Kai hantar Amal
ke kolej hari ni?”
Dhani memberi sengihan, menyakat.
Amal menunduk wajah sedikit. Ini semua salah lelaki disebelahnya ini. Beria-ia
hendak menghantarnya walaupun ditolak berkali-kali. Amal sendiri taktahu apa
yang tak betul pada Kai hari ini.
“Beg” dia menghulur beg yang dipegang.
Amal segera mengambil. Dia terasa sangat kecil apabila melihat pandangan
membunuh pelajar disekeliling. Kai tak guna! Bersusah-payah dia cuba
menyembunyikan kenyataan. Semuanya tiada gunanya lagi.
“Amal ‘kan?”
Amal memandang lelaki berkulit putih
seperti cina dihadapanya. Kagum sekejap melihat dia tersenyum yang membuatkan
matanya turut tersenyum. Comelnya. Kawan Kai ke?
“Saya Dhani. Ini Mika. Kami kawan
abang awak”
Tangan yang dihulur, ditepis Kai
dengan kasar. Dhani tergelak. Mika menggeleng dengan senyuman. Protective sungguh abang seorang ini.
Mentang-mentanglah adik dia memang comel.
Kai menoleh ke arah Amal yang masih
berdiri kaku disebelah. Dia mendengus. Aishh
budak ni. Tak ada kelas ke? Boleh temenung gaya tunggu kekasih pula dekat
sini.
“Cik Amalina” dia bersuara, sinis.
Amal tersedar. “Huh? A..apa?”
“Tak ada kelas ke? Nak duduk sini
sampai bulan jatuh ke riba?” Kai menjungkit kening. Amal melihat jam di tangan.
Alamak! Kelas hampir nak mula.
Dia segera menggalas beg sebelum
berlari dengan tergesa-gesa meninggalkan mereka bertiga. Kai menggeleng. Tak
berubah perangai kelam-kabut tu. Dia kembali memandang 2 sahabat dihadapanya
ini yang memberi sengihan penuh bermakna.
Kai mengurut belakang leher dan
berlalu melintasi mereka. Mika dan Dhani berpandangan sebelum berlari
mendapatkan Kai yang cuba berjalan lebih laju. “Kau ada penjelasan untuk kami
sekarang!”
******************************
Amal meletakkan kepala diatas meja
sebaik kelas Organizational Behaviour ditamatkan.
Kepalanya berpusing mendengar penjelasan daripada Pn Asmiza sebentar tadi. Puan
kalau boleh bercakap, memang terlupa bahawa kelasnya hanya 2 jam sahaja.
Namun bukan itu yang memenatkan.
Menghadapi renungan membunuh senior sewaktu
ke tandas sebentar tadi serta soalan daripada classmate yang bertubi-tubi yang membuatkan dirinya sangat letih
sekarang ini. Sebaik mereka tahu Kai adalah abangnya, masing-masing cuba
menyampaikan rahsia hati dan berharap Amal menjadi orang tengah.
Amal terkejut apabila wajah Una
bertentang denganya didalam keadaan yang sama. Una memberi senyuman. Amal
membalas seikhlas mungkin. “Baru lepas balik berperang ke?”
Una ketawa kecil. Satu kolej heboh
apabila Amal hadir bersama Kai pagi ini. Dirinya sendiri terkejut kerana Amal
akhirnya mahu membongkarkan rahsia perhubungan mereka sekarang. Selepas ini,
tiada apa lagi yang perlu dirahsiakan.
Amal melepaskan keluhan berat. Macam
mana nak menghadapi hari-hari mendatang? Hari ini sahaja terasa seperti semua
kekuatanya sudah tiada. Una masih tersenyum. Pasti banyak yang berada di dalam
fikiran Amal sekarang. Bukanya dia tak lihat classmate mereka yang berusaha untuk mengambil hati Amal
memandangkan mereka tahu Kai adalah abangnya.
“Kenapa kau pengsan hari itu? Kau
sakit ke?” Una mengubah topik. Sebenarnya, dia mahu bertanya sewaktu mereka
bertemu awal pagi tadi. Tapi, Una tak mahu buat Amal stress.
“Doktor cakap aku stress. Banyak
fikir sangat” dia mengangkat kepalanya. Una mengikut. “Aku beritahu mama yang
aku dah tahu semuanya. Kenyataan bahawa aku bukan anak mereka”
Amal telan air liur yang terasa
berpasir. Setiap kali mengingatkan hal itu, hatinya masih dihiris pilu.
Sehingga sekarang dia masih mencuba untuk menerima kenyataan yang perit ini.
Una memandang, bersimpati. Terbayang
diwajah sewaktu Amal menangis teruk hari itu. Dengan hujan yang turun lebat
sekali. Kali pertama melihat Amal meninggal sehingga sukar untuk bernafas.
Kemudian, dia tiba-tiba pengsan didalam pelukanya. Memang dramatik sangat.
“Apa mama kau cakap?”
“Aku tetap anak dia. Dia dah anggap
aku macam anak dia” Una lihat Amal yang tidak berperasaan. Pastinya, semua itu
tak mampu memujuk Amal yang sudah terluka. Una bertambah kasihan.
“Apa rancangan kau sekarang? Kawan
kau tu tentu dah beritahu keluarga kandung kau sekarang ini”
Mungkin. Dia sendiri tak pasti. Jika
mereka tahu siapa dirinya yang sebenar, mengapa tiada seorang pun yang
mencarinya? Adakah mereka benar-benar inginkan dirinya pulang?
“Entahlah. Aku tak tahu apa nak buat
sekarang. Banyak persoalan dalam minda aku sekarang ni sebenarnya. Semuanya
perlukan jawapan daripada mereka”
Una mengangguk. Dia menepuk lembut
bahu Amal. “Take your time. Jangan
terburu-buru. Sekarang, mari kita isi perut dulu. Aku dah dengar bunyi kpop
sekarang ni”
Amal ketawa mendengar. Una memberi
sengihan. Dia bangun mencapai beg yang disangkut di belakang kerusi sebelum
sama-sama keluar dari bilik khuliah yang sudah lengang itu.
********************************************8
“Jadi, Amal dah tahu semuanya?”
Dhani menyoal sebaik mereka duduk di
kafe untuk menjamu selera. Kai mengangguk. Dia mengetuk meja perlahan tanpa
reaksi.
“Kemudian?” Mika disebelah menyoal.
Kai mengangkat muka memandang 2 sahabat yang sabar menanti jawapanya.
“Keluarga kandung Amal masih belum
ditemui. Mungkin tak akan ada apa-apa perubahan. Dia masih keluarga aku”
Mika dan Dhani mengangguk tanpa
sedar. Sebab itu ke Amal pengsan? Tentu kenyataan sebenar sangat mengejutkan
sehingga Amal tak mampu menghadapinya. “Aku sebenarnya ada benda nak beritahu
kau”
Dhani tiba-tiba bersuara. Mika dan
Kai memandangnya tidak berkelip. Dhani mengetap bibir, serba-salah. Dia memang
menunggu Kai kembali ke kolej untuk membuka cerita sebenarnya.
“Ada budak kelas kita beritahu. Hari
Amal pengsan tu, sebelum itu, dia di datangi seorang perempuan. Rasanya sebaya
dengan Amal. Lepas mereka berbual, baru Amal berubah”
Suasana sunyi seketika walaupun kafe
riuh dengan pelajar yang sedang menjamu selera. Kai diam. Dia tak pernah tahu
tentang itu. Apa sebenarnya yang Amal sembunyikan daripada mereka? Mika
mengurut dagu sambil berfikir. Banyak kemungkinan sebenarnya.
“Siapa beritahu kau?”
“Rizal. Waktu itu, dia taktahu lagi
Amal adik kau. Lepas kau buat scene tadi,
dia cerita dekat aku. Kau….taktahu ke?”
Dhani memandang Kai yang nampak
seperti tidak tahu apa-apa. Helaan nafas dilepaskan. Dia memandang Mika.
Serba-salah pula bila menceritakan semua ini. Kai sememangnya sukar diduga. Dia
tak pasti apa yang Kai rasa sekarang.
“Aku rasa…..ada perkara yang Amal
sembunyikan daripada keluarga kau. Mungkin dia tak mahu kalian tahu kerana
sebab-sebab tertentu”
Sebab apa? Kai masih diam. Otaknya
mulai bergerak sebelum tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. “Riz ada cakap
perempuan tu macam mana?”
Dhani diam sekejap. Dia cuba
mengingati cerita yang Rizal beritahunya. “Tak tinggi sangat. Rambut panjang ke
bahu. Dia tak nampak sangat sebab jauh”
Mesti dia! Fikiranya melayang
sewaktu mereka di hospital dahulu. Gadis misteri yang dilihat berbual dengan
Amal sewaktu di hospital. Kai yakin mereka adalah orang yang sama. Waktu itu,
Amal juga nampak kurang selesa dengan kehadiranya.
“Apa kau nak buat sekarang?” Mika
menyoal. Kai memandangnya. “Aku perlu tahu siapa perempuan itu dahulu”
Mika mengangguk. Dhani sekadar memerhati.
Dia berharap tiada perkara besar yang Amal cuba sembunyikan daripada Kai dan
keluarganya.
***************************************
Suasana di meja makan sunyi tanpa
bicara. Hanya kedengaran bunyi sudu dan garfu yang berlaga dengan pinggan. Mama
masih menceduk lauk ke dalam pinggan Amal walaupun nasi telah habis.
“Nak nasi lagi?”
Amal menggeleng. Perutnya akan pecah
jika dia menjamah nasi lagi. “Kamu ni kurus sangat. Nanti orang ingat mama tak
beri kamu makan pula”
Senyuman terukir. “Amal kena jaga
badan, ma. Takkanlah nak gemuk semata-mata nak beritahu orang yang mama beri
Amal makan dengan cukup?”
Datin Nora mencuit hidung Amal.
“Nakal!”
Amal ketawa kecil sebelum menyuap
lauk terakhir untuk malam ini. Dia kemudian menghirup sirap yang dibuat oleh
ibu Siti. Dia memandang Kai yang hanya diam dihadapan. Sewaktu mereka pulang,
Kai langsung tak bercakap apa. Entah kenapa, Amal rasa seperti Kai marahkan
sesuatu.
“Kai”
Mama tiba-tiba bersuara, membuatkan
lelaki itu mengangkat muka. “Hannah ada cakap apa-apa kepada kamu untuk gathering keluarga kita dan dia?”
Suasana bertambah sepi. Kai
menghentikan suapan lalu meletakkan sudu dan garfu semula. Dia menghela nafas.
“Ada”
“Kamu tak beritahu mama?”
Kai menghirup sisa air didalam gelas
sebelum menjawab. “Antara Kai dan Hannah. Kami takkan berakhir seperti apa yang
mama dan auntie inginkan. Tak
mungkin”
Amal lihat wajah mama berubah
sedikit. Dia juga sudah berhenti menjamah makanan didalam pinggan. Wajah serius
mama memang menaikkan bulu roma. Mungkin kerana mama jarang sekali hilang
kawalan. Sebab itulah apabila sesekali mama marah, memang menakutkan.
“Kamu kenal Hannah sejak kecil? Apa
yang kamu mahu lagi? Hannah berubah sepenuhnya untuk menjadi gadis yang kamu
ingini. Kenapa kamu tak cuba beri dia peluang?”
Mampu dirasa suasana yang semakin
tegang. Papa masih tenang menjamah makanan tanpa ingin masuk campur. Along pula
bangun membawa pinggan ke sinki. Mereka semua berpura-pura tidak terlibat dalam
suasana tegang ini.
“Berpuluh kali Kai beritahu. Hannah
hanya seorang adik. Tak pernah lebih. Kenapa mama tak habis-habis suruh Kai
bersama Hannah? Apa yang mama mahu sebenarnya?”
“Kairil Adam!” papa menegur apabila
suara Kai naik satu tangga. Amal mengetap bibir. Hannah? Dia macam pernah
dengar nama itu.
Kai mendengus. Puas dia beritahu
mama. Namun mama buat tak dengar. Sekarang, mama mahu menyalahkan dirinya yang
tidak mengikut rancangan mama dan auntie.
“Berhenti jodohkan kami. Kai tak mahu jadi anak derhaka. Biar Kai pilih masa
depan Kai sendiri”
Tegas dia menuturkan tanpa berganjak
sedikit. Datin Nora terdiam. Dia tahu, tidak sepatutnya dirinya memaksa Kai
seperti ini. Namun, jauh disudut hati, dia tahu hanya Hannah sahaja yang sesuai
bersama Kai.
“Mama hanya mahu kamu cuba mengenali
Hannah”
Kai mengetap bibir menahan
kemarahanya ketika ini. Setiap kali Hannah dibangkitkan, suasana diantara
dirinya dan mama akan menjadi tegang. Please,
ma. Jangan sampai Kai benci Hannah selepas ini.
“Sudahlah. Jangan bahaskan lagi hal
ini. Kalau Kai tak mahu, kita ikutkan sahaja. Saya juga taknak memaksa. Mulai
sekarang, awak jangan bangkitkan lagi hal Hannah. Saya tak mahu sebabkan hal
ini, kita sesama keluarga pula bergaduh”
Suara tegas papa membuatkan semuanya
diam. Kai bangun menolak kerusi sebelum berlalu. Nasi di pinggan juga tidak
dihabiskan. Amal memandang wajah mama yang murung. Dirinya sendiri tak pasti
apa sebenarnya yang mama cuba lakukan.
“Nora” papa bersuara, perlahan. Mama
memandang, sayu. “Jangan paksa anak kita ikut apa yang kita mahukan. Mereka
bukan budak kecil lagi. Lagipun, ini tentang masa depan Kai sendiri. Kalau ada
jodoh, pasti tidak kemana. Kalau awak terus memaksa, Kai mungkin akan semakin
jauh dari kita”
Kelopak mata mama bergenang. Amal
mengenggam erat tangan mama dengan rasa sebak. Benar cakap papa. Kai bukan
jenis yang boleh dipaksa. Dirinya mampu jadi sedingin ais antartika jika dia
mahukan. Amal pernah melihat itu. Jadi, dia berharap Kai tidak melayan mama
seperti itu.
“Betul tu, ma. Along faham mama
mahukan yang terbaik untuk dia. Tapi Kai yang terlalu menyayangi mama pun tak
mampu ikuti permintaan mama. Mungkin dia punya sebab tersendiri. Mama jangan
risau. Along akan cakap dengan dia nanti”
Kuzer memberi senyuman menyakinkan.
Mama kelihatan lebih tenang berbanding tadi. Mujurlah tiada ucapan yang berbisa
dikeluarkan tadi. Papa pula pantas memotong daripada keadaan jadi lebih teruk.
Mata beralih kearah Amal yang sedang
memujuk mama. Dia menghela nafas. Along tahu Kai punya sebab yang kukuh kenapa
dia menolak Hannah, ma. Tapi kalaulah Kai juga tahu sebab itu. Kuzer hanya
mampu menggeleng.

along memang best hehehe....dapat bace rasa hati Kai cam bace kitab gitu....sesak la plak dada neh bila tgk Amal sedih2 cenggitu, Kai plak dah ade cite2 nak jadi detective conan 2 ...hmmmm
ReplyDelete