Saturday, 5 October 2013

143 Bab 7

            Selesai mandi dan tukar pakaian, dia menapak turun ke bawah. Tv terpasang diruang tamu namun tiada siapa yang melihat. Kepala digeleng. Nak bagi siapa tengok? Kaki dibawa ke hadapan tv dan dia menutup.
            Apabila menoleh semula, Amal kaget sekejap melihat Kai tertidur diatas sofa dengan nyenyak. Patutlah tak nampak orang. Dia atas sofa. Penat agaknya sampai tertidur dekat sini.
            Entah kenapa, ada sesuatu yang menariknya menghampiri lelaki itu. Amal tunduk sedikit. Hmmm. Apa yang buat semua pelajar gila bayang dengan wajah ini? Dia berfikir sejenak. Tapi kalau difikirkan, Kai memang ada sesuatu yang menarik orang. Disebalik wajah yang sememangnya tampan. Mengenali Kai, Amal tahu lelaki ini sangat mengambil berat walaupun sentiasa tunjukkan wajah tak berperasaan.
            Kai dengan along memang berbeza. Along lebih ceria dan mudah mesra dengan sesiapa sahaja. Mungkin juga kerana dia adalah abang sulung. Along sangat mengambil berat sehingga kadangkala berlebihan. Kiranya, selepas mama, Amal terpaksa menghadapi tahap risau along pula.
            Kai pula jenis pendiam. Kalau bertemu saudara-mara pun, dia hanya berbual dengan sepupu lelaki sahaja. Ada juga sesekali dia berbual dengan yang lain. Namun kebanyakan masanya dihabiskan dengan mendengar lagu ataupun bersendirian.
            Amal senyum sendiri. Namun merekalah segala-galanya. Mempunyai 2 orang abang yang menyayanginya. Amal tak mahu meminta lagi. “Amal!”
            Tubuh berdiri tegak seperti dilibas sesuatu. Dia melihat mama menjengul dari dapur dengan kerutan. “Buat apa tu? Kacau Kai ke?”
            “Tak! Tak ma. Amal tak buat apapun” jantung terasa hendak terkeluar. Sejak bila mama ada dekat situ? Datin Nora menggeleng.
            “Kamu lapar ke? Mama tengah masak ni. Tunggu sekejap ye?”
            Wajah bercahaya tiba-tiba. Pantas dia berlari mendapatkan mama di dapur. Lengan mama dipaut. Sudah lama tidak merasa masakan mama dan melihat mama memakai apron seperti sekarang.
            “Mama masak apa hari ni? Sedapnya!”
            Datin Nora tersenyum. “Ayam masak merah dengan sayur campur. Kamu nak makan apa hari ini?” rambut Amal dibawa ke belakang telinga. “Ayam masak merah. Cukuplah. Amal nak rasa masakan mama je”
            Pinggang mama dipeluk. Datin Nora mengelak. “Mama busuk ni. Nanti lekat bau dekat kamu pula”
            “Ala, tak busuk pun. Mama Amal ni sentiasa wangi. Macam pakai perfume je” pipi mama dikucup sekejap. Datin Nora ketawa. Amal memang pandai ambil hati. Manja pula tu. Kerana itulah, dia jatuh sayang kepada gadis ini.

***************************************

            Kai mendengus sambil membawa beg berisi bekal makanan yang dipesan oleh mama. Beria-ia mama menyuruhnya menghantar bekal kepada gadis itu. Walaupun sudah berulang kali dia memberitahu supaya buat taktahu sahaja kerana mereka bukan ada kena-mengena.
            Kaki berhenti dihadapan pintu wad untuk pesakit VIP. Ini pun kerana permintaan mama yang mahukan dia mendapat rawatan terbaik. Malah, mama sendiri mahu doktor Harith untuk merawat gadis itu.
            Menghela nafas, pintu wad ditolak. Dia melangkah masuk dan melihat katil yang kosong dan siap dikemas. Kai memandang sekeliling yang kosong. Kemana pula dia ni? Beg diletak diatas meja kopi berhampiran sebelum berjalan membuka pintu bilik air. Kosong!
            Aishh. Mana pula dia menghilang? Larikan diri ke? Keadaan pun lemah lagi. Bukanya dia boleh berjalan jauh. Dia berlalu keluar dan memandang koridor yang legang. Langsung tak nampak kelibat gadis itu.
            Berlari anak, Kai turun ke bawah menuju ke receiptionist. Nafas termengah sedikit apabila dia bertemu dengan jururawat yang bertugas.
            “Pesakit dekat wad VIP. Dimana dia?”
            “Oh. Dia ke taman hospital. Ingin ambil angin katanya”
            Kai mengucapkan terima kasih sebelum berlari pula ke luar hospital. Mungkin kerana petang, ramai juga pesakit yang keluar untuk mengambil angin segar.
            “Waaaaa. Cantiknya kakak lukis!”
            Dia menoleh. Kelihat kumpulan kanak-kanak sedang bertepuk tangan melihat gadis itu melukis sesuatu di buku lukisan miliknya. Kai memegang pingang yang terasa sengal akibat berlari tadi.
            Suka betul menyusahkan orang! Kalau mama ada, tentu lagi panik. Dia mendengus, geram. Sejak gadis ini hadir, kehidupan mereka sekeluarga juga turut berubah. Mama yang inginkan anak perempuan, sudah menganggap dia seperti anak sendiri. Kai sendiri hairan. Macam mana mama boleh cepat sangat jatuh hati dengan perempuan tu?
            “Nah. Hadiah untuk kamu” dia bersuara, lembut. Kaki Kai berhenti tiba-tiba. Dia terkejut mendengar gadis itu bersuara. Selama ini, dirinya hampir pasti gadis itu bisu.
            “Betul? Terima kasih kakak!”
            Sekali lagi dia bagai dihempap sesuatu melihat gadis itu mengukir senyuman sambil menggosok kepala budak lelaki itu. Kai memegang dadanya yang berdegup kencang. Kali pertama juga lihat dia tersenyum.

************************

            “Aku tengok sendiri dengan mata aku ni, Hannah. Aku ni siap pakai cermin mata lagi. Tak mungkinlah aku silap”
            Nisa masih ingin menyakinkan dirinya ketika mereka berdua sedang menukar pakaian di tandas. Hannah buat tak dengar. Sejak berjumpa pagi tadi, Nisa terus memberitahunya dengan apa yang dilihat semalam.
            “Itu adik dialah, Nisa”
            Nisa mendengus. Bukanya dia tak tahu Amal bukanya adik betul Kai. Sebab itu dia berbulu lihat mereka berdua. Lebih-lebih lagi bila lihat cara Kai layan gadis itu. Mungkin Hannah sekadar hendak sedapkan hati sendiri. Namun hati Nisa tak mungkin menipu.
            “Adik yang tiada hubungan darah? Adik yang boleh kahwin? Adik yang tak tahu dari mana asal-usul dia?”
            Tangan yang sedang mengikat tali kasut terhenti tiba-tiba. Nisa mendengus. Kadangkala dia sakit jiwa dengan sikap Hannah. Bertahun teman baiknya ini mengejar Megat Kairil Adam yang digilai ramai. Tapi lelaki itu langsung tak menoleh pun.
            “Mereka memang rapat. Kuzer pun rapat dengan Amal. Cubalah berfikiran positif sikit, Nisa. Aku tak mahu rosakkan hubungan mereka adik-beradik”
            Nisa memeluk tubuh dengan rasa sebal. Hannah berdiri tegak semula dan melihat cermin. Rambut yang diikat kuda, dirapi. Setelah berpuas hati, dia menarik tangan Nisa untuk keluar. Hari ini adalah hari untuk latihan kelab.
            “Kadangkala aku geram juga dengan kau ni. Kau berubah banyak untuk samakan dengan taste dia. Tapi lelaki tu, sikit pun tak heran”
            Hannah hanya mendengar. Dia tahu Nisa inginkan yang terbaik untuknya. Tapi hati orang tak boleh dipaksa. Apa lagi yang harus dilakukan?
            Mereka tiba di gelanggang. Kelihatan semua ahli sudah menunggu. Hannah bertemu pandang dengan Amal. Gadis itu memberi senyuman kekok. Hannah membalas seikhlas mungkin. Siapa dirinya untuk menipu diri. Walaupun hatinya sakit namun dia sabarkan. Hannah cuba untuk memahami siapa Amal disamping Kai walaupun dia sering terluka kerana gadis itu.
            “Baiklah. Buat bulatan. Kita akan buat warming up dulu” dia memberi arahan. Ahlinya menurut tanpa banyak soal. Nisa membantu untuk menjaga kumpulan dibelakang. Tak lama kemudian, dia mendengar mereka mengira sementara seorang berada di tengah bulatan untuk guide.
            Hannah bertemu pandang dengan Nisa yang menjuih bibir di belakang Amal. Dia hanya mampu tersenyum. Tak tahu apa yang Nisa marahkan sangat dengan Amal. Walaupun mereka tidaklah serapat mana namun mereka pernah bertemu kalau keluarganya dan keluarga Kai buat gathering. Dari pemerhatianya, Hannah tahu Amal gadis yang baik. Kalau tidak, takkanlah uncle Kasha dengan auntie Nora nak ambil dirinya buat anak angkat.
            Sesi memanas badan berakhir dengan pantas. Hannah kembali berdiri dihadapan mereka. “Baiklah. Hari ini kumpulan A dan B akan bermain untuk 30 minit. 5 minit rehat”
            Nisa sudah mengagihkan bits untuk kedua-dua pasukan. Hannah menyarung tali wisel di leher. Dia berterima kasih dengan kelab ini. Bolehlah lepaskan tension dengan kerja projek yang tak pernah habis.
            “Kau taknak main ke?” Nisa menyoal sementara menunggu mereka semua berlatih untuk 5 minit pertama. Hannah menggeleng.
            “Siapa nak jadi referee?”
            “Aku boleh. Pergilah main. Kau lawan pasukan Amal”
            Hannah menoleh. “Kenapa dengan kau? Apa yang kau tak puas hati dengan dia?” Hannah menyoal, hairan.
            “Aku buat demi kebaikan kau, Hannah. Kau nak lelaki yang kau kejar kena curi depan mata sendiri?”
            Hannah melepaskan keluhan. Tiba-tiba, Nisa meniup wisel di leher Hannah. Semua ahli menoleh kearah mereka. Hannah juga terkejut. “Kak Hannah nak join kumpulan A. Boleh ke?”
            Ahli kumpulan A segera memberi senyuman sambil mengangguk. “Boleh kak. Marilah join kami”
            Hannah memandang Nisa, meminta bantuan. Nisa segera menolaknya masuk ke dalam court. “Akak jadi GA. Okay?”
            Bits dihulur. Hannah yang serba-salah, mengambil juga. Dia lihat Nisa memberi senyuman sambil mengenyit mata. Hannah menghela nafas, berat. Apa yang kau cuba lakukan ni, Nisa?

************************

            “Gerak kaki!”
            Wisel berbunyi lagi. “Lebih 3 saat”
            Langkah berhenti. “Halangan. Bola pihak lawan”
            Pittt. Dia menoleh kearah referee. “Bola bounce
            Amal melepaskan bola kepada pihak lawan. Dia bertemu pandang dengan Una yang memberi pandangan hairan. Amal mengukir senyuman paksa dan kembali ke posisi. Permainan kembali diteruskan.
            “Mal”
            Dia menoleh melihat Una menghampiri. “Kau okay?”
            “Kau jaga tempat kau. Aku okay” dia segera berlari ke arah bola.  Nafas turun-naik kerana kepenatan namun digagahkan diri. Dia menjaga kak Hannah yang ditinggalkan seorang. Suasana sedikit kecoh apabila bola masih tidak dibaling namun kak Nisa masih tidak meniup wisel.
            “Akak!”
            Bola dibaling kearahnya. Amal melompat terlebih dahulu dan tertolak kak Hannah dibelakang. Dia mampu mendengar suara terkejut pemerhati apabila kak Hannah jatuh diatas gelanggang.
            “Hannah!”
            “Akak!”
            Amal menoleh. Kelihatan kak Hannah memegang kakinya. Amal segera tunduk. “Kak. Maafkan kak. Amal tak nampak”
            “Kau ke tepi!” tubuhnya ditolak kasar. Amal jatuh dan tanganya terseret diatas gelanggang. Semua orang mula mengerumuni kak Hannah dan dia berganjak menjauhi. “Amal!”
            Una melutut di tepi memegang bahu. “Kau tak apa-apa?”
            Amal menggeleng. “Aku rasa kaki kak Hannah terseliuh” matanya masih melihat kak Hannah yang dikerumuni. Dia masih mampu mengukir senyuman walaupun dala kesakitan.
            Una mendengus dan kembali memandang Amal. Mata sedikit terbeliak apabila melihat siku Amal berdarah. Mungkin sebab ditolak tadi. “Kau cedera ni!”
            Amal kembali tersedar. Dia membelek tanganya yang baru terasa pedih. “Aku bawa kau jumpa MA”
            “AmAlyna!” suara kak Nisa membuatkan mereka menoleh. Dia lihat kak Nisa menapak ke arahnya dengan wajah bengis. Panggg. Semua orang bagai disampuk apabila melihat peristiwa tadi. Una disebelah juga tergamam.
            “Aku tengok kau dari tadi lagi. Ada je perkara kau buat nak halang dia. Kenapa? Apa yang kau tak puas hati hah?”
            Pipi terasa perit. Amal tergamam kerana dia terlalu terkejut. Una segera sedar. “Apa ni kak? Amal baru je tadi jaga kak Hannah. Bila pula dia sengaja nak cederakan kak Hannah?”
            Nisa mendengus. Dia sengaja merancang semua ini. Amal perlu diajar untuk sedar diri. Kalau Hannah tak mampu buat, biar dirinya yang lakukan. “Kau diam! Dasar junior. Kau sedar diri sikit. Itu senior kau. Jangan nak berlagak!”
            Una mengetap bibir. Nisa segera berlalu dan mengajak Hannah untuk menerima rawatan. Amal yang baru sedar, memegang pipinya yang masih perit. “Amal! Pipi kau!”
            “Aduh” pipi yang disentuh tiba-tiba dirasa seperti arus elektrik yang mengalir. Una segera menarik tanganya. “Pipi kau merah gila Amal”
            Amal hanya diam. Dia memaksa diri untuk bangun walaupun terasa perit. Una memaut lengan Amal dengan rasa kasihan. Apa yang tak kena dengan kak Nisa hari ni? Macam tak suka je dengan Amal.
            “Mari. Aku bawa kau jumpa MA. Kita kena rawat kau”
           
***********************************

            Suasana menjadi semakin kekok apabila mereka berada di Bilik Rawatan. Kak Nisa masih memberi jelingan. Nasib baiklah ada Una. Bolehlah kurangkan sedikit rasa tak selesa ketika ini.
            Una menyapu ubat yang diberi dengan berhati-hati. Sesekali dia lihat wajah Amal berubah menahan sakit. “Tahan sikit ye”
            Amal hanya tersenyum. Nasib baiklah ada Una. Terasa disayangi juga. Una menghela nafas. Pipi Amal masih bertanda. Macam mana ni? Dia menoleh kearah kak Nisa yang sedang berbual dengan kak Hannah.
            “Ehem!” dia segera menguatkan suara. Amal memandang. Dia juga tahu kak Nisa dan kak Hannah menoleh ke arah mereka.
            “Pipi kau ni masih ada kesan tapak tangan. Nanti kau balik, apa yang kau nak beritahu mama dengan papa kau? Ada orang tampar kau?”
            Amal terdiam. Dia mengusap pipi yang sudah kurang sakitnya. Namun seperti yang Una cakap.  Macam mana nak sembunyi kesan ni?
            “Mungkin ada orang lupa agaknya. Parents kau pemilik kolej ni. Bila-bila masa je boleh keluarkan student yang sanggup tampar anak mereka”
            Kepala diangkat pantas. Dia memandang Una yang memberi senyuman. Macam mana Una boleh tahu? “Macam mana juga kau nak beritahu abang kau? Megat Kairil Adam yang digilai ramai tu? Tentu dia takkan lepaskan orang yang buat adik kesayangan dia macam ni!”
            Dia lihat wajah kak Nisa berubah. Kak Hannah sekadar menundukkan muka. Una mencebik. Tahu pun takut. Sesuka hati je nak tampar anak orang! Geram pula bila fikirkan balik. Amal ni pula jenis lembut. Kalau aku, memang free kena tampar balik!
            “Sudahlah. Nanti aku cakap aku jatuh”
            Una berpura-pura ketawa. Dia memusingkan pipi Amal menghala ke arah kak Nisa. “Amal nak cakap kesan ni sebab dia jatuh? Akak rasa boleh dipercayai ke alasan tu?”
            Kak Nisa hanya diam. Amal menarik tangan Una dengan keluhan. Dia tahu Una sekadar mahu melepaskan rasa geramnya ketika ini. “Marilah Una. Aku dah okay”
            Dia turun dari katil dan berlalu kearah kak Hannah. “Amal betul-betul minta maaf, kak. Amal tak ada niat pun nak cederakan akak”
            Tanganya ditarik kasar. Una semakin sakit hati. Kenapalah Amal ni baik hati sangat? “Jomlah. Bukanya dia ada kesan tapak tangan macam kau pun. Biar dia jawab sendiri dengan parents kau nanti”
            Amal mengikut Una yang menariknya dengan kasar. Rasa bersalah menjengah bila lihat wajah kak Nisa tadi. Tentu kak Nisa tak sengaja. Mungkin tadi dia dalam keadaan terkejut.

*******************************

            Tangan yang ingin menekan loceng terasa berat dengan tiba-tiba. Aishhh. Nak buat macam mana ni? Telifon dikeluarkan. Dia melihat menggunakan skrin. Memang jelas kelihatan kesan tapak tangan. Kalau mama nampak, mesti kecoh. Kalau along nampak, kak Nisa takkan boleh hidup dengan tenang.
            Itu belum lagi papa dengan Kai. Aduhhh. Apa nak buat ni? Rambut yang diikat tadi, dilepaskan. Dia menarik rambut di ke tepi pipi untuk menyembunyikan kesan buat sementara waktu.
            Loceng dibunyikan. Tak lama kemudian, kelihatan ibu Siti membuka pintu. “Bu” dia bersuara, perlahan. Ibu Siti tergamam apabila Amal menyelak rambut disebelah kananya.
            “Ya Allah. Siapa buat kamu macam ni?”       
            Amal meletak jari telunjuk di bibir. Ibu Siti mengawal perasaanya ketika ini. Hanya ibu Siti sahaja yang boleh dijadikan rakan subahat. “Ibu ada ais tak? Kalau mama nampak, keadaan akan jadi lebih teruk”  
            Ibu Siti masih tergamam. Memandangnya Amal berkulit putih, kesan itu memang nampak sangat jelas. “Amal nak beritahu ibu tak? Bukan sekadar Datin, ibu pun tengah marah sekarang”
            Amal mengetap bibir. Melihat wajah serius ibu membuatkan dia tak berani. “Nanti Amal ceritakan. Ibu boleh tolong Amal. Sebelum yang lain nampak. Amal tak mahu kecoh-kecoh”     
            Ibu Siti memeluk tubuh dengan wajah tak puas hati. Tapi dia anggukan juga kerana Amal berjanji untuk bercerita. Siapa yang berani buat Amal macam ni? Datin sendiri tak pernah naik tangan. Malah, sesiapa didalam keluarga ini tidak pernah menyentuh Amal. Nafas turun-naik menahan marah.
            “Ikut ibu”
            Tangan ditarik kasar. Amal yang terkejut hanya menurut. Ibu Siti membawa Amal masuk ke dalam bilik. Kuzer pulang awal hari ini. Dia perlu berhati-hati agar tidak terserempak dengan anak sulung Datin.
            Amal duduk di katil sementara ibu Siti membuka almari dan kemudian mengeluarkan first aid bersaiz kecil yang sentiasa disimpan. Dia kemudian duduk disebelah Amal tanpa bicara. Amal sekadar memerhati. Pertama kali lihat ibu Siti seperti ini. Marahkah dia?         
            Kapas putih yang diambil, disampukan ke pipi dengan iodine. Amal menahan rasa perit. Boleh tahan juga penangan kak Nisa. Rasa nak senyum pun tak mampu sekarang.
            “Sakit?” ibu Siti bersuara, perlahan. Amal mengangguk. “Siapa yang berani buat kamu macam ni?” wanita itu menyoal, geram. Sesuka hati tampar anak orang!
            “Salah faham je, bu” Amal menjawab. Dia tak mahu memanjangkan cerita. “Salah faham sampai tampar kamu? Salah faham apa, Amal?”
            Amal diam sekejap. Ibu Siti meletakkan kapas yang telah digunakan ke tepi dan melihat pipi Amal. Kesan itu akan ambil 1 atau 2 hari untuk hilang. Keluhan dilepaskan. “Baik kamu ceritakan semuanya sebelum ibu beritahu Datin”            
            Kepala diangkat pantas. Ibu Siti menayang wajah serius. Amal hilang punca. Nampaknya, ibu Siti lebih menakutkan daripada yang lain. Tanpa punya pilihan, dia menceritakan semuanya. Sesekali wajah ibu Siti berubah namun akhirnya dia hanya mampu mengeluh.
            “Sebab itu je? Kenapa sampai tampar kamu?”
            “Dia terkejut agaknya. Benda dah jadi, bu. Sudahlah. Amal tak mahu panjangkan cerita. Lagipun, Hannah anak kawan baik mama”        
            Ibu Siti mendengus tak puas hati. “Ibu tak marahkan Hannah. Budak perempuan itu yang buat ibu geram. Kenapa yang pergi tampar kamu? Depan orang ramai pula tu. Kalau along kamu tahu ni….”
            Ayat tidak dihabiskan. Ibu Siti hanya kembali menggeleng. Amal mengetap bibir. “Ibu tolong Amal ye. Jangan beritahu sesiapa. Amal tak mahu buat kecoh”           
            Tangan ibu Siti dipegang sambil membuat wajah kasihan. Ibu Siti mengeluh, berat. Dia tahu Amal tak mahu mengeruhkan keadaan. Tapi, hatinya geram setiap kali melihat kesan di pipi Amal.            
            “Kamu ni baik sangat, Amal. Jangan sampai orang buli kamu pula”
            Amal memberi senyuman. Dia tahu ibu Siti sudah mengalah. Lengan wanita itu dipaut dan kemudian kepala dilentok di bahunya. “Tak apa. Ramai lagi yang sayang Amal dalam dunia ini”
            “Budak bertuah!”
            Ibu Siti tersenyum nipis. Amal sentiasa tahu untuk memujuk hatinya. Kerana itulah, dia jatuh sayang kepada gadis ini. “Biarkan dulu ubat itu. Kalau perit lagi, beritahu ibu. Biar ibu tekap dengan ais pula”    
            Amal mengangguk. Dia rasa bertuah sangat disayangi oleh ramai orang termasuklah ibu Siti. “Malam ini, Amal kena duduk bilik. Ibu tolong ye?”                   
            Dia mengangkat muka semula untuk memandang ibu Siti. Wanita itu mengangguk walaupun kelihatan tak puas hati. Amal memberi senyuman sebagai tanda terima kasih.

*****************************

            “Jadi, sepanjang hari kau memerap dalam bilik? Mama kau tak pelik pula?”
            Amal menghirup vitagen oren yang dibeli sambil menggeleng. Una kerut dahi. Aneh sungguh. “Ibu tolong cover untuk aku”
            Sengihan diberi dengan rasa bangga. Una mencebik. Patutlah. Ada rakan subahat rupanya. Mereka berjalan menyusuri koridor yang semakin legang. Waktu khuliah sudah tamat 10 minit yang lepas.
            Una mengerling kearah Amal. Kesan sudah hilang sepenuhnya. Nasib baik. Dia menarik nafas lega. “Tapi aku peliklah”
            Kali ini, Amal pula memandangnya. “Apa?”
            “Macam mana kau tahu Kai abang aku?”
            Bila ingatkan semula, memang terkejut juga. Rasanya, Amal tak beritahu sesiapa mengenai hubunganya dengan Kai. Macam mana Una boleh tahu?
            Temanya itu memberi sengihan. “Waktu Kai tiba-tiba tarik kau dahulu. Aku dah syak sesuatu. So, aku jalankan siasatan sendiri. Bukan susah pun” dia menjungkit bahu. Amal hanya mampu melepaskan tawa dengan rasa kagum.
            “Kau memang ada bakat jadi detektif. Menakutkan”
            Una ketawa kecil. “Sebab aku berkawan dengan perahsia macam kau”
            Amal menayang gigi. Una mencebik sebelum turut tersenyum. “Pandai sungguh kau simpan rahsia. Patutlah kau pandang sebelah mata je Kai tu. Abang sendiri rupanya”
            Bahu Amal dipaut. Memang kagum sangat bila tahu semuanya tentang Amal. Namun Una juga tahu sebab Amal rahsiakan semua itu. Semua kenyataan itu takkan mengubah pandanganya tentang siapa Amal sebenarnya.
            Mereka berjalan kearah pintu pagar sambil berbual. “Alyn!”
            Suara itu membuatkan kedua-duanya menoleh. Amal tergamam melihat Farah berdiri di tengah-tengah kawasan pintu pagar sambil memegang sampul surat berwarna koko dengan airmata yang mengalir membasahi pipi. Una memandang Amal yang kaget.
            “Alyn” dia memanggil lagi. Kaki dibawa walaupun rasa gementar menguasai diri ketika ini. Sehingga sekarang, semua ini sukar sekali untuk dipercayai. Sangkaanya memang benar. Alyn belum mati! Alyn sahabatnya masih hidup dan berdiri dihadapanya ketika ini!
            “Fa…Farah” suara sedikit tersekat apabila Amal sedar daripada rasa terkejut. Dia tergamam semula apabila Farah terus berlari dan memeluknya dengan erat. Una disebelah juga terkejut.
            “Alyn” dia memanggil dengan esakan kecil. Amal terdiam. Farah rindukan Alyn ke? Macam mana Farah tahu kolej aku?
            Seketika kemudian, Amal merenggangkan pelukan. Dia melihat Farah menyeka airmata. Helaan nafas dilepaskan. “Kenapa? Ada sesuatu yang berlaku ke?”
            Pandangan sedikit kabur namun dia mampu melihat. Senyuman sebak diukir. Terasa seperti bermimpi. Benarkan semua ini? Aku tak mimpi ke? Farah berharap semuanya adalah realiti. Amal semakin risau.
            “Farah” lengan gadis itu digoncang lembut. Farah kembali tersedar. Senyuman semakin mekar. “Memang betul tekaan saya. Awak memang Alyn. Awak belum mati. Makcik Sarah tipu! Awak masih hidup”
            “Apa?” kali ini suara Una kedengaran kerana terkejut. Farah mengangguk. Dia kemudian menghulurkan sampul yang dipegang kepada Amal.
            “Saya ambil DNA awak dan pakcik Hussain. Hampir 2 minggu juga saya tunggu. Hasilnya memang menggembirakan. Awak adalah Alyn!”
            Amal terdiam. Una menekup mulut dengan mata semakin besar. Walaupun dia tak berapa faham apa yang ditulis namun keputusan yang dinyatakan sudah cukup memberitahu semuanya. Una memandang Amal yang masih membisu.
            “99.9% sama” Una bersuara dengan rasa tidak percaya. Farah mengangguk. Alyn adalah Amal. Rasa hatinya memang tepat. Mereka adalah orang yang sama.
            “Amal!” Una cuba mengerakkan Amal yang masih tidak memberi reaksi. Amal menoleh. Ternyata, dia sangat bingung sekarang ini. “Kau okay tak?”
            Dia kembali memandang slip yang diberi sebelum mengangguk. Una semakin risau. Amal benar-benar okay ke? Farah mengetap bibir dengan rasa cemas. Amal nampak bingung? Dia tak suka ke dengan kenyataan sebenar ni?
            “Aku….saya….tak…..hmmm
            Una mengangguk. Bahu Amal ditepuk lembut. Pasti semua ini memberi kesan mendalam untuk Amal sekarang. “Farah”
            Gadis itu memandangnya. Una memberi senyuman nipis. “Boleh awak beri Amal masa? Banyak perkara yang perlu difikirkan sekarang. Tolong jangan paksa dia. Boleh ‘kan?”
            Farah segera mengangguk. Dia faham Amal pasti dalam dilemma. Cukuplah jika dia tahu Amal adalah Alyn. Sahabat baiknya masih belum mati. Tangan Amal digenggam erat. Farah mengukir senyuman apabila Amal memandangnya.
            Tapak tangan dibuka semula. Seutas rantai silver yang diberikan Farah berada ditanganya ketika ini. “Ini milik awak. Rantai persahabatan. Walauapapun yang berlaku, saya nak awak tahu yang saya gembira awak masih hidup”
            Farah memberi senyuman semangat. Amal mengangguk. Rantai tersebut digenggam erat. “Terima kasih”

*******************************

            Diri benar-benar rasa tidak bermaya ketika ini. Kaki melangkah tanpa tahu kemana arah yang harus dituju. Berita yang dibawa benar-benar mengejutkan dirinya. Terasa dunianya kelam tiba-tiba. Dia berperang dengan perasaan sendiri. Samada gembira mahupun sedih. Amal taktahu apa yang harus dilakukan olehnya sekarang.
            Una yang mengekori dibelakang hanya mampu membisu. Dia mahu memberi Amal ruang sendiri namun dalam masa yang sama, dia turut merasa risau. Kerana itu dia mengekori Amal dari belakang.
            Pandangan terasa semakin kabur. Airmata mulai mengalir dari hujung mata. Keluhan berat dilepaskan. Terasa sesuatu yang menekan dadanya ketika ini. Nafas juga seperti sukar untuk dilepaskan.
            Kaki berhenti tiba-tiba. Amal merenung ke atas untuk menghalang airmata daripada mengalir. Dia tersedak beberapa kali. Una merapatkan diri. Bahu Amal dipegang lembut. Dirinya turut sebak melihat Amal cuba sedaya-upaya menahan perasaanya ketika ini.
            “Mal”
            Mata Una sudah bergenang. Amal memberi senyuman terpaksa. “Memang benar tekaan aku. Aku bukan anak mama dan papa. Aku anak angkat. Aku bukan anak kandung mereka. Mereka bukan along dan Kai”
            Bibir diketap. Una hanya mampu menangis. Amal menelan air liur yang terasa perit. Hatinya bagai dihiris satu demi satu. Terlalu perit sehingga dia tak mampu bernafas ketika ini.
            “Mereka bukan keluarga aku, Una. Mereka bukan keluarga aku”
            Una mengeggam erat bahu Amal yang sudah menangis teresak-esak dihadapanya. Una turut menangis. Kali pertama lihat Amal seperti ini. Dia taktahu apa yang harus dilakukan sekarang untuk memujuk Amal yang terluka.
            “Sabar, Amal. Mungkin ada hikmah semua ini. Kau jangan menangis macam ni. Aku takut sangat”
            Amal masih menangis. Dia perlukan luahkan segala perasaanya ketika ini. Hujan yang tiba-tiba turun seolah-olah mengerti perasaanya ketika ini. Kenyataan yang terlalu perit untuk diterima. Mereka tiada hubungan darah. Mungkin sebab itulah, semua orang cuba merahsiakan semuanya termasuklah Kai.
            “Aku yang berangan. Aku ingat aku punya segala-galanya didunia ini. Aku ingat aku orang pAlyng bertuah kerana punya keluarga yang menyayangi aku. Rupa-rupanya, semua itu hanya mimpi”
            Una memeluk Amal dengan erat. Tangisan Amal semakin kuat. Una terasa hatinya bagai dijerut melihat keadaan Amal sekarang. Tentu sukar buat Amal untuk menerima semua ini. Tiada sesiapapun yang mampu memahami perasaan Amal ketika ini.
            Amal membenamkan kepala di bahu Una. Dia masih ingin menangis namun diri sudah merasa lelah. Dia sudah penat untuk menangis. Semakin dia menangis, semakin hatinya terasa berat. Mata dipejam sambil cuba mengawal pernafasan.
            Mama bukan mama Amal. Papa juga. Along dan Kai bukan abang-abang Amal. Kenapa? Kenapa mama bawa Amal dalam keluarga mama? Kenapa mesti Amal yang lalui semua ini, ma? Kenapa mama dan papa tak boleh jadi keluarga Amal yang sebenar? Kenapa?
            Biar beribu soalan sekalipun, kenyataanya tetap sama. Tiada apa lagi yang perlu disoal jika semuanya sudah terbukti. Una mengusap belakang Amal untuk menenangkan temanya itu. Amal sedikit tenang berbanding tadi namun tiada siapa tahu apa yang didalam hatinya ketika ini

2 comments:

  1. alaaaa...sedih la pulak...cam ne la reaksi keluarga angkat amal ni ye pasni...kesiannyaaaa

    ReplyDelete