Tuesday, 1 April 2014

Writer's word

post signature 







 
Having a writer block is sooooo frustrating. I'm trying my best to keep my passion for writing. But it become more and more difficult right now. Praying hard to not abandon my first passion and this blog. 


I'm writing because i like to tell story to anyone that willing to read it. But it's hard as you become more adult and you have other commitment that much more important than this. I really hope that I can write because i like to write not because that its what i need to do. 


I really appreciate for all of you, readers who stay with this blog and continue to read my story even I, myself are not satisfied with it. Give me some time and courage to bring back my first passion and continue to give you more matured story that everyone can take a lesson from it. 


thank you. I love you guys :)
 

Sunday, 9 February 2014

143 ep 11

              “Arghhh”
            Stritttttt. Bunyi tayar kereta yang membingitkan telinga itu membuatkan jalan raya yang semakin sunyi itu berubah untuk seketika. Nafasnya turun naik dengan keadaan cemas yang berlaku sebentar tadi. Kenangan 3 tahun lepas berputar di minda.
            Tali pinggang keselamatan dibuka dengan segera sebelum dia tergesa-gesa membuka pintu dan keluar menghampiri gadis itu. Dia menarik nafas lega melihat gadis itu masih bernyawa walaupun dalam keadaan menggeletar ketika ini.
            Kai menghampiri sebelum menunduk sedikit. “Cik tak apa-apa?” dia menyoal, sedikit risau. Takut jika dia punya kecederan yang tidak mampu dilihat oleh mata kasar. Gadis itu kelihatan teragak-agak menurunkan tangan yang menutup telinganya sebelum kepala diangkat.
            Lisa tergamam. Dengan cahaya lampu jalan yang menyuluh lelaki itu ketika ini, sememangnya sama sekali dengan apa yang diimpikan selama ini. Dia adalah lelaki yang ditunggunya. Lelaki yang membuatnya jantungnya berdegup seperti orang gila.
            Kai memandang pelik. Apa kena minah ni? Terkejut sampai koma ke? Tapi dia masih bergerak. Apa yang dia pandang? Kai memetik jari dihadapan gadis itu. Dia kelihatan baru tersedar.
            “Awak tak apa-apa?”
            Lisa segera bangun namun kakinya yang masih lemah tidak mampu menampung badanya. Dia hampir terjatuh namun lenganya segera dipaut. Lisa menoleh. Kacaknya dia! Hati seperti ingin meloncat keluar ketika ini. Senyuman diukir dengan rasa berbunga.
            Kai menghela nafas sebelum membantu gadis itu berdiri dengan stabil. Dia memerhati tubuh gadis itu untuk mencari luka yang mampu dilihat. Syukurlah tiada apa-apa. “Awak nak ke hospital untuk lakukan pemeriksaan sepenuhnya?”
            Soalanya mengejutkan Lisa. “Oh. Tak apa. Saya okay. Awak tak langgar saya pun. Nasib baik sebenarnya”
            Kai mengangguk. Semuanya salah Amal. Kalau aku tak berangan tadi, pasti tak terjadi hal macam sekarang ni. Sudahlah aku baru nak pulih dari trauma sebab dia. Aishhh. Memang menyusahkan betul budak tu.
            “Hmm. Saya minta maaf kerana hampir melanggar awak tadi”
            Lisa menggeleng dengan senyuman. Dia seperti dipukau melihat lelaki yang sempurna ini. Semuanya cukup. Tinggi. Berkulit putih. Hidung yang mancung. Semua yang diimpikan ada pada lelaki ini. Adakah ini takdir mereka?
            “Ini kad saya. Jika awak alami apa-apa konkusi selepas ini, awak terus ke hospital. Saya akan uruskan bilnya”
            Kad berwarna emas itu diambil. Lisa melihat nama yang tertera pada kad tersebut. Megat Kairil Adam bin Megat Akashah. Sedapnya nama! Lisa tersedar apabila mendengar bunyi enjin kereta meninggalkan dirinya. Senyuman semakin lebar.
            Yes. Target sudah ditemui. Sekarang dia hanya perlu merangka rancangan untuk mendapat lelaki itu. Lisa takkan berputus asa selagi lelaki itu tidak menjadi miliknya!

***********************************************

            +aku ada dekat parkir+
            Amal bergegas keluar dari hospital mencari kereta milik Kai. Sebentar tadi, dia meminta pertolongan ibu Siti untuk menghantar pakaian baru untuk dirinya membersihkan diri. Amal sudah meminta izin mama dan papa untuk menjaga ayah sepanjang dia di hospital. Mujur mereka tidak kisah asalkan dirinya tidak mengabaikan kolej.
            Langkahnya terhenti melihat seorang lelaki sedang bersandar di pintu kereta seperti gaya seorang model sambil merenung langit yang pekat. Amal menghampiri dengan perlahan.
            “Hai”
            Kai menoleh. Amal memberi senyuman nipis dengan rasa bersalah. Kai menghela nafas. Amal nampak okay walaupun lingkaran gelap bawah mata sudah kelihatan. Selain itu, dia masih nampak seperti biasa. Kai sedikit lega.
            “Barang kau” dia menghulur beg baju yang diberi ibu Siti dengan kasar. Amal mengambil dengan ucapan terima kasih. Kai memeluk tubuh. Suasana sunyi memandangkan jam melawat sudah tamat.
            “Kau jaga sendirian ke?” dia menyoal. Kai cuba untuk tidak kedengaran risau. Amal menggeleng. “Sekali denga Farah. Banyak yang kami bualkan tadi. Farah cerita semuanya tentang Amal sebelum Amal hilang ingatan”
            Kai melihat  kegembiraan di mata Amal sewaktu berbicara tentang Farah. Kata Amal, Farah adalah kawan Alyn. Farah mengenali Amal yang mereka tidak kenali. Farah mengetahui semuanya tentang Amal sebelum kemalangan itu berlaku.
            “Kau….okay?” dia menyoal, sedikit ragu. Amal mengangguk. Dirinya harus lebih kuat untuk menghadapi semua ini. Jika tidak, keadaan akan menjadi lebih sukar untuk semua orang. “Ma…ma?”
            Kai menghela nafas. Dia sendiri tak pasti. Mama sedikit lain selepas Amal beritahu dia ingin berpindah ke rumah keluarga kandungnya semula. Malam ini adalah malam pertama mama tanpa Amal. Selalunya, mama akan menjenguk Amal di bilik terlebih dahulu sebelum tidur. Mama akan pastikan dia melihat Amal dahulu sebelum tidur tidak kira betapa lewat pun dia pulang.
            “Okay. Kau jangan risau. Pulihkan dahulu hubungan kau dengan keluarga kandung kau sekarang ini. Kau masih tak ingat apa-apa tentang diri kau sebelum kemalangan. Keadaan akan sedikit sukar. Tapi aku yakin Farah akan bantu kau”
            Amal mengangguk. Ya. Itu yang harus dilakukanya sekarang. Dia harus memandang terus ke hadapan tanpa menoleh lagi. Hidup harus diteruskan walaupun payah.
            “Oh ya. Amal baru tahu yang Amal ada ibu dan kakak tiri”
            Wajah Kai berkerut sedikit. Amal mengukir senyuman. Selama ini, dia hidup dikalangan abang-abang. Tidak dinafikan, Amal rasa teruja apabila mengetahui dirinya punya seorang kakak walaupun mereka tidak sedarah.
            “Mereka layan kau dengan baik?”
            Amal mengangguk. Walaupun sebenarnya makcik Sarah dan kak Lisa tidak menegurnya langsung namun Amal yakin dia mampu mengubah semua itu. Mereka adalah keluarganya. Pasti mereka terkejut dengan apa yang berlaku tadi.
            Kai menolak tubuh untuk berdiri. Dia memandang Amal. Hati sangat berat untuk meninggalkan gadis ini sebenarnya. 3 tahun mereka hidup seperti keluarga. Seperti mama, dia juga sukar untuk melepaskan Amal walaupun untuk kembali kepada keluarga kandungnya sendiri.
            “Jaga diri kau baik-baik. Jangan paksa diri untuk ingat semuanya. Kalau boleh, telifon mama sehari sekali. Dia akan merindui kau dan dia perlukan masa untuk lepaskan kau sepenuhnya. Kalau ada sesuatu berlaku, beritahu aku atau along. Kami masih abang kau”
            Amal mengangguk bersama rasa sebak. Dia menahan airmata walaupun kelopak mata sudah bergenang. Kai menghela nafas. Hatinya rasa sakit tiba-tiba. Seolah-olah ingin melepaskan sesuatu yang sangat disayanginya.
            “Along pesan untuk kau tak menangis. Jangan jadi cengeng kerana kami takkan disisi kau lagi. Berhenti jadi anak manja kerana kau punya keluarga untuk dijaga. Aku yakin kau boleh lakukanya”
            Amal mengangguk. Dia menunduk untuk menghalang Kai dari melihat dia menangis ketika ini. “Kau tahu yang kami sentiasa ada jika kau ada masalah. Jangan simpan semuanya sendiri seperti selalu. Walaupun aku suruh kau jadi kuat tapi kadangkala kau perlu lepaskan juga. Jadi, jika kau rasa kau tak mampu, kau boleh toleh ke belakang. Kami sentiasa ada”
            Kai melihat Amal mengesat airmatanya dengan esakan kecil. Hatinya turut sama merasa perit. Amal yang menjadi anak bongsu kesayangan mama dan papa. Amal yang menjadi adik kesayangan along dan dirinya. Sekarang, gadis itu harus berdiri diatas kaki sendiri. Sekarang, gadis itu harus berlajar untuk hidup sendiri sambil melindungi keluarganya.
            Amal tiba-tiba memandangnya dengan linangan airmata. Kai tergamam. Dadanya terasa seperti hendak pecah ketika ini. Kali pertama dia melalui perasaan seperti ini. “Kai. Amal…..Amal…..”
            Tanpa minda sempat berfikir logik. Tanpa minda memberi amaran merah. Hati terlebih dahulu membuat keputusan. Amal ditarik ke dalam pelukan. Dia sendiri tak pasti tindakanya ini kerana itulah yang ingin dilakukanya ketika ini.
            Amal tergamam. Dia mampu mendengar degupan jantung Kai yang laju. Dirinya masih terkejut dengan tindakan Kai sebenarnya namun jatuh disudut hati, dia merasa tenang. Amal merasa selamat dan tenteram.
            Kai menghela nafas. Benarkah apa yang aku rasa ini? Adakah semua ini dibolehkan? Setelah apa yang berlaku, inikah jawapan yang diberi oleh hati sendiri? Kai mengeratkan lagi pelukan. Dia sendiri tak faham apa yang berlaku sekarang. Namun apabila Amal sendiri tidak menolak, Kai juga tidak mampu berfikir dengan rasional.
            Amalina Imani. Apa yang kau dah buat pada hati aku?

*************************************************

            Baju-baju yang sudah dilipat kemas, diberi kepada mama untuk disusun didalam beg yang merupakan hadiah along sewaktu mereka bercuti di luar negara tahun lepas. Amal mampu melihat ibu Siti dan mama yang menahan perasaan sendiri namun dia berpura-pura tidak melihat kerana tidak mahu merosakkan semuanya.
            Apabila tidak mampu lagi, dia bangun menuju ke arah meja solek. Bingkai gambar yang disusun dengan teratur diatas meja itu dipandang sayu. Semuanya adalah gambar mereka sekeluarga. Ada juga gambarnya bersama along dan Kai. Betapa sukarnya untuk menerima hakikat bahawa dirinya pernah melalui semua kenangan gembira ini dan sekelip mata semuanya berubah. Dengan rasa lemah, dia mengambil semua bingkai gambar itu dan dimasukkan ke dalam beg berhampiran.
            Telinga kemudian mendengar esakan kecil. Amal menoleh melihat ibu Siti segera mengesat mata menggunakan hujung baju. Dia menghela nafas. Hari ini, Amal akan membawa ayah pulang ke rumah. Hari ini juga dia akan berpindah meninggalkan rumah ini. Sejak pagi tadi, suasana sudah muram. Walaupun along dan papa cuba untuk menceriakan semua orang namun mereka juga kelihatan terlalu berusaha. Along dan papa sanggup mengambil cuti untuk menemani dirinya hari ini.
            Dia bangun menghampiri semula 2 wanita yang sangat disayanginya itu. Amal menghela nafas melihat mama yang sedang meyusun bajunya tanpa memandang kearahnya. Tangan mama digenggam, menghentikan perbuatanya. Mama mengangkat muka memandang. Amal memberi senyuman segembira mungkin.
            “Tak perlu banyak sangat. Farah cakap pakaian Amal masih ada di rumah sana. Mereka tak sampai hati nak buang walaupun sudah 3 tahun”
            Mama hanya mengangguk. “Kamu pilihlah baju mana yang kamu nak bawa. Biar mama susunkan”
            Amal lihat mama memaksa diri untuk tidak menangis. Hatinya semakin pilu. Tapi Amal memilih untuk tidak menyoal. Dia kembali memandang ibu Siti. “3 helai ini sahaja, bu. Yang lain itu, ibu simpan semula”
            “Semua ini baju kegemaran kamu. Betul ke kamu taknak bawak?”
            Dia kelihatan terkejut. Amal mengangguk. “Tak mengapa. Ibu simpanlah. Insya-ALLAH, jika diizinkan. Amal akan pakainya lagi”
            Wajah ibu Siti berubah sedikit. Dia segera menunduk wajahnya dan kembali melipat semula. Amal merenung syiling sekejap untuk menahan diri dari menangis. Amal mahu berpisah dengan senyuman. Bukanya airmata. Dia tak mahu mama sedih mengenangkan semua ini. Amal mahu mama tersenyum.
            Sekejap sahaja, semuanya sudah selesai. Dia juga sudah habis mengemas dan memilih barang yang ingin dibawa ke rumah sana. Sebenarnya, Amal sendiri tak tahu apa yang harus dibawanya. Dia juga tak tahu bagaimana keadaan rumah itu sebenarnya. Walaupun ada sedikit rasa takut namun Amal buang jauh perasaan itu.
            Zip beg berbunyi sewaktu mama menutup beg yang sudah penuh. Dia dan ibu Siti bangun bersama-sama beg yang siap dikemas. Amal memberi senyuman apabila pandangan mereka bertembung. Tangan mama digenggam sebelum mereka mengatur langkah untuk turun ke bawah.
            Setiap saat dia berdoa untuk masa berlalu dengan perlahan. Sehingga mereka berdiri di ruang tamu. Papa, along dan Kai sudah sedia menanti. Amal mengukir senyuman apabila bertemu pandang dengan papa.
            “Sikitnya barang kamu? Tak ambil semua ke?” papa menyoal, sedikit hairan. “Amal ambil yang perlu je pa. Kalau kurang, Amal datang ambil lagi”
            Papa mengangguk. Ibu Siti mengambil beg yang ditarik dan kemudian dibawa ke luar rumah. Suasana sunyi sekejap. Mama mengeratkan genggaman tangan. Amal menoleh. Jujur, dirinya sangat berat hati untuk lalui semua ini. Terlalu banyak kenangan sepanjang 3 tahun ini. Setiap satunya sangat berharga dan bakal diingati sehingga akhir hayat.
            “Betul taknak along hantar kamu?”
            Amal mengangguk. “Ibu dah panggil teksi. Lagipun, Farah akan tunggu Amal dirumah. Along jangan risau. Amal akan telifon jika dah sampai”
            Kelihatan along juga seperti berat hati. Amal menghela nafas. Dia menoleh memandang mama yang tidak mampu lagi menahan perasaanya. Amal mengenggam kedua tangan mama dengan senyuman paksa.
            “Tak ada kata yang mampu Amal ucapkan untuk semua yang mama lakukan. Walaupun Amal bukan darah daging mama tapi mama sayang Amal seperti anak sendiri. Amal rasa sangat bersyukur. Mama ajar Amal banyak perkara dalam hidup ini. Kerana kasih-sayang mama, Amal membesar menjadi anak yang manja dan terlalu menyayangi mama”
            Mama mengukir senyuman bersama linangan airmata. Amal turut merasa sebak. “Amal sayang mama. Jangan lupakan Amal ye?”
            Tangan mama mengusap pipinya sebelum dia melihat mama mengangguk. “Mama juga, sayang. Mama sayang sangat pada kamu. Walauapapun kenyataanya, kamu tetap anak mama. Dalam hati mama, akan sentiasa ada nama Amal”
            Amal mengesat hujung mata. Dirinya harus kuat supaya mama mampu melepaskan dirinya dengan senyuman. Papa menghampiri. Bahu Amal disentuh lembut. Amal menoleh. Dia semakin sebak melihat papa memberi senyuman semangat untuknya.
            “Rumah ini sentiasa menjadi rumah kamu. Jika keadaan sedikit sukar dan kamu semakin hilang arah, pulanglah. Pintu rumah papa sentiasa terbuka untuk Amal kembali”
            Dia hanya mampu mengangguk. Ucapan papa membuatkan hatinya berasa perit sedikit. “Terima kasih, pa. Terima kasih kerana benarkan Amal berada dibawah lindungan kasih papa”
            Kemudian, along pula menghampiri. Wajahnya jelas mempamerkan apa yang dirasai ketika ini. Sekarang baru Amal sedar betapa berbezanya along dan Kai. Namun mereka berdua menyayangi dirinya seikhlas hati.
            “Along dengar kamu ada kakak tiri?”
            Amal mengangguk dengan senyuman. “Jangan sayang dia lebih dari along tahu? Along cemburu nanti!”
            Mereka sekeluarga ketawa kecil. Along menguntum senyum. “Rasa macam baru semalam kamu datang ke rumah ini. Sebenarnya, kehadiran Amal buat along gembira sangat. Sama macam mama yang inginkan anak perempuan. Along juga impikan seorang adik perempuan yang boleh along manjakan. Kai tak fun langsung”
            Dia sempat mengerling ke arah Kai disebelah yang seperti ingin mencekik dirinya ketika ini. Amal hanya mampu tersenyum. Dia tahu along sekadar cuba untuk menceriakan suasana supaya tidak terlalu sedih.
            Kuzer menghela nafas. Walau dia berat hati sekalipun, Amal harus dilepaskan dengan senyuman. Itu sahaja yang mampu dilakukan olehnya untuk lihat Amal bahagia. Mereka sekeluarga juga sudah bersedia dengan kemungkinan ini. Namun semakin hari, Amal semakin disayangi. Keadaan yang dirasakan mudah dahulu menjadi keadaan paling sukar untuk dilalui sekarang ini.
            “Jaga diri baik-baik”
            Dia tak mampu ucapkan lebih daripada itu. Kepala Amal digosok lembut untuk kali terakhir. Perkara yang sering dilakukan pada Amal walaupun adiknya itu tidak suka. Amal mengangguk.
            Mata memandang Kai yang sekadar menyeluk saku seluar memerhati disebelah along. Kai berdehem sambil menggosok belakang lehernya. “Jangan risau tentang kami. Hidup dengan gembira bersama keluarga kau”
            Amal mengangguk. Sekarang, dia sedikit memahami Kai. Lelaki itu mungkin lelaki yang kurang daripada segi kata-kata. Namun dia mengambil berat mengikut caranya sendiri. Amal tak lagi salah anggap terhadap Kai.
            “Marilah. Pasti teksi kamu dah sampai” papa akhirnya bersuara. Semakin lama Amal disini, semakin sukar untuk mereka melepaskan Amal pergi. Sebagai ketua keluarga, dia harus menjadi kuat untuk ahli keluarganya terutama isteri yang tercinta.
            “Mari”
            Tangan mama digenggam semula dan mereka berbalas senyuman.

****************************************

            Teksi yang membawa mereka bertiga berhenti dihadapan sebuah rumah teres setingkat. Amal menoleh ke luar memerhati sekeling kawasan perumahan itu. Kelihatan kumpulan kanak-kanak sedang bermain di taman permainan berhampiran. Ada juga kaum wanita yang sedang berbual sesama sendiri.
            Amal yang leka memerhati hanya tersedar apabila Farah mengetuk cermin pintunya. Dia kemudian membuka pintu lalu keluar. “Kau menung apa?”
            Hanya senyuman diberi sebelum memapah ayah yang masih didalam keadaan lemah. “Kau bawa pakcik masuk dahulu. Aku bawa barang-barang”
            Ketika membuka pintu pagar, Amal melihat makcik Sarah dan kak Lisa membuka pintu rumah. Makcik Sarah segera mendapatkan ayah sebelum membantunya memapah ayah untuk masuk ke dalam rumah.
            “Terima kasih”
            Ayah kelihatan sedikit penat. Mungkin dirinya masih memerlukan rehat yang secukupnya. Suasana menjadi kekok apabila makcik Sarah hanya duduk disebelah ayah tanpa bersuara. Kak Lisa pula membaca majalah tanpa menegurnya.
            “Assalamualaikum”
            Farah masuk bersama beg miliknya dan ayah. Amal segera membantu membawanya ke ruang tamu. “Nak bawa terus ke bilik kau ke?”
            Amal memandangnya tidak berkelip. Farah yang menyedari keadaan yang kekok itu menoleh ke arah pakcik Hussain. “Bilik? Kenapa dengan bilik?”
            Kak Lisa akhirnya bersuara. Amal memandang ayah. Lelaki itu berdehem seketika sambil membetulkan duduknya. “Mulai sekarang, Amal akan tinggal bersama kita”
            “Apa?” suara kak Lisa naik satu tangga. Ayah mengangguk. “Panjang cerita sebenarnya. Pendeknya, Amal sebenarnya adalah Alyn”
            Wajah makcik Sarah berubah sedikit. Dia dan Lisa saling bertukar pandangan. “A….apa maksud ayah? Alyn dah mati!”
            “Apa buktinya? Sekeping kad pengenalan yang elok sedangkan seluruh tubuh terbakar?” Farah menyoal, sinis. Kak Lisa terdiam. Amal sedikit keliru. Apa sebenarnya yang berlaku didalam keluarga ini?
            “Ayah punya bukti yang kukuh, Lis. Dia adalah Alyn. Selama ini, Amal hilang ingatan dan dijaga oleh sebuah keluarga. Ayah tahu perkara ini sukar untuk diterima tapi ayah harap kamu cuba. Amal adalah adik kamu. Dia adalah Alyn!”
            Lisa mencebik, geram. Apa sebenarnya yang terjadi? Alyn sepatutnya sudah mati. Semuanya sudah berjalan mengikut perancangan. Bagaimana dia boleh terselamat?
            “Betul cakap ayah kamu tu, Lis. Takkanlah ayah kamu nak menipu” makcik Sarah akhirnya bersuara. Dia bangun menghampiri dengan senyuman. Amal kaget sekejap. Entah kenapa, senyuman itu membuatkan bulu romanya naik tiba-tiba.
            “Kamu hilang ingatan?” dia menyoal tanpa nada. Amal mengangguk dengan teragak-agak. “Jadi, kamu tak ingat apa yang berlaku sebenarnya?”
            Tanpa sempat Amal menjawab, tubuhnya dipeluk erat. Amal kaku didalam pelukan. “Rindunya makcik pada kamu. 3 tahun makcik merindui kamu. Begitu juga dengan ayah kamu. Dia orang paling sedih apabila mendapat tahu kamu sudah meninggal”
            Amal lihat ayah tersenyum. Dia membalas kekok. Mungkin dirinya memerlukan masa untuk menerima semua ini. Seketika kemudian, pelukan direnggangkan. Makcik Sarah mengukir senyuman memandangnya.
            “Kamu tentu letih. Pergilah berehat di bilik kamu. Faye, kamu boleh tunjukkan Amal ‘kan?”
            Farah mengangguk. Dia sudah memegang beg tarik milik Amal. “Ayah?”
            Amal memandang ayah di kerusi. “Jangan risau. Makcik akan bawa ayah kamu ke bilik. Kamu juga perlukan rehat untuk menerima semua ini. Pergilah”
            Apabila melihat ayah memberinya kebenaran, barulah kaki Amal melangkah mengikuti Farah yang berjalan dihadapanya.
            Pintu bilik yang tertera namanya dibuka oleh Farah. Amal masuk ke dalam sebelum kakinya seolah-olah digam. Dia terpegun memerhati keadaan bilik. Amal mampu merasa sesuatu di hatinya walaupun mindanya kosong ketika ini. Jauh disudut hatinya, Amal tahu ini adalah biliknya.
            Farah menoleh ke belakang apabila terasa suasana sunyi. Dia lihat Amal yang kaget memerhati sekeliling. Seolah-olah bilik ini adalah asing untuknya. Kemudian, dia teringat mengenai keadaan Amal. Ingatan Amal tentang hidupnya sebelum kemalangan masih tidak ditemui sehingga sekarang. Mungkin sebab itu Amal merasa asing dengan rumahnya sendiri.
            “Kau ingat tak gambar ni?”
            Amal tersedar. Dia melihat bingkai gambar yang dipegang oleh Farah. Dia cuba mengingati kenangan disebalik gambar mereka berbaju sekolah itu namun hampa. Akhirnya, dia menggeleng lemah.
            “Ini hari terakhir kita di sekolah. Selepas habis je kertas akhir untuk SPM. Aku minta tolong Naim tangkap gambar ini”
            Amal hanya mampu mengangguk. Dia tahu Farah cuba merangsang mindanya untuk mengingati hidupnya sebelum kemalangan berlaku. Kaki dibawa menghampiri sebelum bingkai gambar itu diambil. Mereka berlalu duduk diatas katil.
            Bingkai gambar itu diletakkan diatas meja dan dia kembali memerhati sekeliling. Biliknya sekarang lebih kecil berbanding biliknya dirumah mama. Namun, rekaan dalaman bilik ini membuatkan dia merasa lebih dekat dihati sebenarnya. Didalam bilik ini juga terdapat beberapa gambarnya bersama ayah dan Farah.
            “Aku tahu tentu sukar untuk kau terima semua ini. Aku juga tak memaksa kau untuk ingat semuanya. Asalkan kau sihat dan disisi aku seperti sekarang, aku dah cukup gembira”
            Farah memberi senyuman semangat untuknya. Amal hanya mengangguk. “Boleh aku tanya sesuatu?”
            Farah mengangguk. “Kau….tak pergi kolej?”
            Amal memandang dengan berhati-hati. Farah menguntum senyum. Dia tak salahkan Amal kerana menyoal. Lagipun, gadis disebelahnya ini memegang ingatan Amal dan bukanya Alyn.
            “Bukan mudah, Amal. Universiti atau kolej. Kedua-dua itu perlukan perbelanjaan. Jujurnya, aku tak mampu. Sebelum kau kemalangan, kita berdua dah berjanji untuk bekerja dahulu untuk setahun. Selepas itu baru sama-sama mendaftar”
            Amal terdiam mendengar. Dia tak menyangka Alyn dan Farah melalui kehidupan yang sukar seperti ini. 3 tahun dijaga oleh mama, Amal diberi semuanya. Walaupun papa tidak mengajar mereka untuk hidup mewah namun Amal mendapat semua yang diingini. Kadangkala, terlalu berlebihan kerana mama memang gemar memanjakan dirinya. Sekarang dia sedar betapa bertuahnya dirinya dahulu.
            “Aku…minta maaf”
            Farah menggeleng dengan senyuman. “Tak mengapa. Bukan salah kau pun. Ini keputusan aku. Jangan rasa bersalah sebab aku”
            Amal kembali diam. Masih terlalu banyak yang tidak diketahui. Dia sendiri merasa masih ada lagi rahsia yang disembunyikan didalam keluarga ini sendiri. Walaupun keluarga ini adalah keluarganya.
            “Sebab itu kau bekerja di hotel tu?”
            Farah sekadar mengangguk. “Tapi kau tahu ‘kan yang kak Lisa satu kolej dengan kau?” temanya itu menyoal. Amal sedikit terkejut. Farah mengerut dahi.
            “Oh. Aku lupa. Dia sepatutnya sudah habis tahun lepas. Tapi memandangkan dia repeat paper dan sekarang tak ada lagi short semester, dia kena lalui Penilaian Khas untuk grad
            Kak Lisa satu kolej dengan aku? Dia faham apa yang Farah sampaikan. Ramai sebenarnya pelajar senior yang melakukan perkara itu. Mereka tidak perlu hadir ke kolej. Hanya menyiapkan tugasan yang diberi. Di akhir semester, mereka akan menghantar semua tugasan tersebut dan pensyarah akan meluluskan mereka.
            “Tentu sukar untuk kau lalui semua ini sendiri. Bila kita bertemu pula, aku tak ingat langsung tentang kau”
            Farah menunduk sedikit. Sejujurnya, dia sememangnya merasa kecewa. Namun ketika itu, dia tak tahu apa yang berlaku kepada Amal. Sekarang, dia mampu memahaminya. Malah, kini dia pula yang bersimpati dengan nasib Amal.
            “Tak perlu risaukan aku. Risaukan diri kau tu. Selama ini kehidupan kau berbeza dengan kehidupan yang bakal kau lalui sekarang”
            Amal tersenyum. “Faye, kehidupan sekarang adalah kehidupan aku yang sebenarnya. Kau dah lupa ke?”
            Farah tergamam sekejap. Faye? Adakah dirinya silap mendengar? Amal memanggilnya Faye? Dia kembali memandang Amal yang sudah membuka beg yang dibawanya. Kemudian, dia melihat Amal mengeluarkan bingkai gambar yang diletakkan ditempat paling atas sekali didalam beg.
            Amal bangun berlalu ke meja berlajarnya lalu menyusun bingkai gambar itu dengan teratur. Farah sekadar menjadi pemerhati. Amal membawa gambar keluarga angkatnya bersama. “Mereka tentu orang yang baik ‘kan?”
            Dia menoleh sebelum tersenyum. “Aku bertuah dipertemukan dengan mereka” senyuman masih di bibir. Farah turut tersenyum. Dia mampu melihat kebahagiaan apabila Amal berbicara tentang keluarga kandungnya.
            Farah sebenarnya bersyukur apabila Amal ditakdirkan hilang ingatan mengenai kehidupanya sebelum kemalangan. Itu kerana dia mahu Amal melupakan semua kelukaan yang dilalui kerana perbuatan makcik Sarah dan kak Lisa.
            “Aku yakin tentang itu. Aku dapat lihat mereka ikhlas menyayangi kau. Terutamanya mama kau tu”
            Dia kemudian membantu Amal mengeluarkan baju-baju yang dibawa sebelum digantung didalam almari miliknya. Amal tidak membawa banyak baju. Mungkin kerana mengingati pesanya sebelum ini.

************************************

            Nafas dihela sebaik berdiri dihadapan pagar berwarna biru gelap itu. Mata kemudian memandang papan tanda kolej yang membawa banyak kenangan untuknya. Namun kebanyakanya adalah pahit belaka.
            “Hoi!”
            Kepala ditoleh mendengar suara itu. Lisa melihat Erin turut berdiri disebelah dan gadis itu memberi senyuman kepadanya.
            “Kau pun kena datang juga?” dia menyoal, sedikit terkejut. Erin mengangguk. “Aku kena ubah pensyarah. Puan Nisa dah bersalin. So, sekarang ni aku dibawah cik Linda”
            “Sekali dengan aku?”
            Erin memberi sengihan. Lisa menghela nafas. Memandangkan dirinya tak mampu grad seperti rakan yang lain, mereka diberi peluang kedua iaitu menjalani Penilaian Khas. Sepatutnya, setiap pensyarah hanya memantau seorang pelajar sahaja. Tapi seperti yang Erin beritahu. Sekarang, mereka berdua akan dibawah pemantaun Cik Linda.
            “Kenapa kau datang pula?”
            “Hantar inilah. Dia nak sebelum habis sem”
            Lisa buat muka sebal. Sakit hati pula memikirkan karenah Cik Linda yang menyusahkan dirinya. Memang nasib malang sungguh ditempatkan dibawah Cik Linda yang garang dan pentingkan kesempurnaan itu.
            Erin tiba-tiba mengeluh. “Itulah. Aku nyaris meraung bila dapat tahu aku diletakkan bawah Cik Linda. Puan Nisa baik gila kot. Senang aku bila duduk bawah dia. Tak banyak karenah sangat. Asalkan aku siapkan semua kerja yang dia bagi”
            Mereka kemudian sama-sama mengeluh. “Marilah. Panas pula duduk sini lama-lama. Nanti membebel pula andartu tu sebab kita lewat”
            Erin ketawa kecil. Lisa tersenyum. Mereka masih tidak lupa gelaran yang diberi budak kelas dahulu untuk Cik Linda yang masih membujang walaupun usia sudah beranjak ke pangkal 4.
            Keadaan kolej masih seperti biasa walaupun hampir 6 bulan mereka tidak menapak kesini. Banyak juga junior baru yang tidak dikenali. Tapi ada juga muka yang familiar di minda mereka. Terasa cepat sungguh masa berlalu. Jika mereka tidak carry paper, pastinya mereka akan sama-sama kovo dengan kawan yang lain.a
            “Macam mana ayah tiri kau? Aku dengar masuk hospital lagi? Sakit teruk ke?” Erin menyoal. Dia dapat tahu cerita tentang Lisa pun dari rakan kelas yang lain.
            “Biasalah. Penyakit sakit jantung ni macam bom. Menyusahkan betul. Aku dengan mama tak larat nak ulang-alik hospital tahu?”
            Erin hanya mengangguk walaupun dia sebenarnya hairan. Bukanya dia tak tahu hubungan Lisa dan ayah tirinya itu memang kurang baik sejak mamanya berkahwin. Erin sendiri taktahu apa puncanya.
            “Orang tua, Lis. Kita kena banyak bersabar. Walaupun itu bukan ayah betul kau. Tak baik kau cakap macam tu”
            Lisa mencebik. Dia tak perlukan Erin unuk menasihatinya. Erin sekadar orang luar yang tak tahu apa-apa. Erin yang mempunyai ayah seorang doktor pastinya takkan memahami kehidupan orang biasa seperti dirinya yang sering pening memikirkan masalah duit yang tak pernah sudah.
            Lisa sendiri hairan kenapa mama memilih ayah sedangkan ramai lagi lelaki kaya diluar sana yang ingin memperisterikan mama. Kerana pilihan mama itulah, mereka hidup seperti sekarang. Lisa salahkan mama dan ayah kerana membuat hidupnya susah seperti ini. Namun dia lebih membenci ayah yang tidak mampu menyediakan apa yang diingini tetapi melebihkan anak tunggal kesayangan itu. 

Wednesday, 8 January 2014

143 ep 10

           “Apa kamu cakap? Kamu nak pindah?!”
           Suara mama kedengaran tinggi kerana suasana sunyi yang mencengkam ketika ini. Amal mengangguk perlahan tanpa mampu memandang wajah mama ketika ini. Tak sanggup rasanya untuk melihat wajah mama yang pastinya akan kecewa.
          “Kamu nak pindah ke mana? Apa yang tak cukup dalam rumah ini, Amal?” suara Datin Nora cuba sedaya-upaya untuk dikekalkan. Jantungnya hampir gugur mendengar ucapan Amal selepas mereka makan malam hari ini.
          Amal menghela nafas. Dengan kekuatan yang bersisa, kepala diangkat. 8 pasang mata memandang kearahnya dengan wajah berkerut, kurang mengerti. Amal kuatkan semangat ketika ini. Sekarang, barulah dia merasa betapa asingnya dirinya ketika ini. Walaupun mama cuba untuk menutup semua itu namun ianya takkan mampu menutup kekosongan yang dirasai ketika ini.
            “Amal….dah jumpa….keluarga kandung…..Amal”
          Mama kelihatan terkejut. Along dan papa berpandangan. Hanya Kai sahaja yang kekal dengan reaksi tanpa kejutan ataupun kerutan. Bibir diketap sambil tangan menggeletar menahan perasaan ketika ini.
            “Kamu….dah jumpa….keluarga kandung kamu?”
         Papa menyoal. Dia turut kelihatan tidak percaya. Amal mengangguk. Sememangnya, diri terasa keseorangan sekali ketika ini. “Bila? Dekat mana? Kamu yakin mereka keluarga kamu?”
            Angguk lagi. Datin Nora mengenggam erat tangan suaminya. Perkara yang pAlyng ditakutinya terjadi akhirnya. Amal ketika ini kelihatan sangat jauh. Amal sekarang ini adalah gadis yang dikenAlynya sewaktu pertama kali mereka bertemu. Dia juga menahan rasa sebak yang semakin menyesakkan dada ketika ini.
            “Kenapa tak beritahu along?”
            Kuzer menyoal, kecewa. Amal rahsiakan perkara besar ini daripada mereka. Tiba-tiba sahaja dia ambil keputusan untuk pulang ke pangkuan keluarga kandungnya. Amal tak fikir perasaan mereka ke? Amal memang tak pernah menganggap mereka seperti keluarganya sendiri ke?
            “Bukan mudah” perlahan dia menutur. Wajah along dipandang sayu. Amal tahu along kecewa. Selama ini, semua perkara dikongsi bersama along. Tapi dia sendiri didalam dilemma. Dirinya berada ditengah dan tanganya ditarik kiri dan kanan. Amal sendiri hampir patah seluruh badan kerana itu.
            “Amal tak mahu melukai sesiapa. Amal sayang mama. Amal sayang along, Kai dan papa. Sayang sangat-sangat. Mulanya Amal ingin lupakan semuanya dan teruskan hidup seperti biasa. Tapi sebentar tadi, ayah kandung Amal dimasukkan ke hospital. Serangan jantung. Amal rasa bersalah sangat, ma. Amal satu-satunya anak ayah. Sepatutnya Amal jaga ayah ketika ini”
            Suasana kembali sepi. Amal menyeka hujung mata. Dada terasa sesak kerana menahan perasaan ketika ini. Kai menghela nafas. Mama turut menyeka airmata. Along mengeluh sambil merenung syiling. Papa pula hanya membisu sambil cuba menyalurkan semangat untuk mama lebih kuat.
            “Macam mana kamu yakin mereka keluarga kamu? 3 tahun kamu dibiarkan tanpa apa-apa berita”
          “Panjang ceritanya, pa. Tapi kebenaran sudah terbukti. Mungkin mereka ada alasan untuk tak mencari Amal 3 tahun yang lepas”
            “Apa? Apa alasanya, Amal? 3 tahun lepas bila kamu terjaga dan hilang ingatan, mama taktahu nak buat apa. Bila tiada langsung kenyataan tentang siapa diri kamu. Bila kamu memandang mama dengan penuh benci. Mama buat semuanya untuk kamu terima mama. 3 tahun mama sayang kamu macam anak mama sendiri. Kenapa kamu buat macam ni? Kamu tak sayangkan mama ke?”
            Keadaan menjadi tegang apabila mama sudah menangis teresak-esak. Amal menggigit bibir menahan rasa. Walaupun matanya sudah berkaca namun dia menyeka setiap titis airmata yang turut. Dirinya perlu kuat untuk meninggalkan mereka walaupun hatinya hancur ketika ini.
            “Kamu anak mama! Mama sayang kamu macam nyawa mama sendiri. Kenapa kamu sanggup tinggalkan mama? Kamu berjanji takkan tinggalkan mama!”
            “Nora!” Datuk Megat Akashah bersuara keras. Dia lihat wajah Amal yang menahan semuanya. Didalam hal ini, Amal adalah mangsa. Dirinya adalah yang pAlyng teruk terluka. Soalan Nora hanya akan melukai Amal lebih dalam lagi.
            Blouse biru pemberian mama dicengkam erat. Amal menghela nafas. Dirinya masih bertahan walaupun mama sudah break sepenuhnya. Along memandang sayu. “Kamu anak mama. Kamu anak mama! 3 tahun mereka tak mencari kamu. Kenapa tiba-tiba mereka datang dan minta kamu semula? Kenapa? Apa yang mereka nak?”
            “Sabar Nora. Jangan begini. Kasihan Amal” tubuh kurus isterinya itu dipeluk erat. Datin Nora menangis di bahu suaminya. Sungguh dia merasa tidak adil. 3 tahun adalah masa yang lama. Amal adalah anaknya. Tapi tiba-tiba anak kesayanganya ini akan diambil semula oleh keluarganya. Kejamnya mereka! Bagaimana dengan dirinya? Bagaimana dengan perasaan sayang ini?
            Kai mendengus apabila melihat keadaan jadi semakin tidak terkawal. Dia bangun menghampiri Amal. Walaupun dia tahu mama tidak seharusnya seperti ini namun Kai memahami kenapa mama seperti ini. Didalam hal ini, tiada siapa yang bersalah sebenarnya.
            “Bangun”
            Amal mengangkat muka memandang Kai. Apabila melihat Kai yang sangat hampir, semua perasaan seolah-olah membuak-buak untuk keluar. Bibir diketap lebih kuat. Amal tak mahu menangis. Dia sudah berjanji dengan diri sendiri.
            “Bangun!” kali ini suaranya lebih tegas. Kai menarik lengan Amal untuk sama-sama berdiri. Sempat dia mengenggam tangan gadis itu sebelum menoleh kearah mama yang masih menangis teresak-esak. Kai mengeluh, berat. Keadaan jadi semakin tidak terkawal.
            “Kai bawa Amal keluar dulu”
            Dia bertemu mata dengan papa. Lelaki itu sekadar mengangguk, lemah. Kai memandang along yang kaku disebelah. Dia menggeleng. Sepatutnya along lebih matang daripada mama. Sepatutnya, along yang membawa Amal keluar.
            Tapi mungkin along juga seperti mama. Bukan bermakna dia tidak menyayangi Amal namun Kai tahu hanya dirinya sahaja yang masih tenang ketika ini. Papa juga kelihatan terganggu walaupun dia cuba berlagak tabah ketika ini.
            Dia menoleh kearah Amal yang merenung permaidani tanpa berkelip. Ini lagi seorang! Cuba untuk sembunyikan perasaan tanpa sedar bahawa dia melukai hatinya sendiri. “Ikut aku” tangan Amal ditarik keluar daripada rumah yang seperti dilanda garuda ketika ini.

***********************************************

            Kereta diberhentikan di bahu jalan. Keadaan jalan yang sedikit lengang membuatkan suasana diantara mereka juga menjadi kekok. Amal masih membisu sejak dirinya dibawa keluar dari rumah tadi. Kai sendiri taktahu kemana dia hendak pergi sehinggalahnya mereka berada disini.
            Hampir 9 malam. Amal masih tidak bersuara. Hanya tunduk sahaja. Bunyi nafas yang kedengaran sahaja yang membuatkan Kai yakin Amal masih bernyawa. Sebenarnya, dia sendiri taktahu kenapa dirinya membawa Amal pergi. Mungkin kerana tak mahu keadaan menjadi lebih tegang.
            “Lapar?” dia menyoal setelah tak tahan dengan suasana sunyi yang mencengkam mereka ketika ini.
            Amal menggeleng. Selera makanya mati apabila memikirkan perkara ini. Kai menghela nafas memegang stereng kereta. Kemudian, tubuh disandar di kusyen kereta. “Berikan mama masa. Dia akan terima semua ini perlahan-lahan”
            Angguk. Kai menurunkan cermin kereta memandang kearah jalan raya yang masih sibuk dengan kereta yang lalu-lintas. “Ayah kau. Kau ingat dia?”
            Amal menoleh. Seketika kemudian, mereka bertemu pandang. “Perempuan yang datang jumpa kau dekat kolej hari yang sama kau pengsan. Keluarga kau?”
            Kai lihat Amal terkejut mendengar soalanya. Pasti Amal tak menduga orang lain akan mengetahui rahsia ini. “Ma…macam…mana…..”
            “Aku mungkin nampak tak ambil-berat. Tapi aku lihat semua gerak-geri kau. Banyak kisah kau yang aku tahu. Aku hanya nak lihat sejauh mana kau mampu simpan semua itu”
            Amal kembali terdiam. Kai menghela nafas. AmAlyna Imani. Itu nama yang mama sendiri pilih. Nama yang ingin diberi kepada anak perempuan mama. Aneh, beberapa bulan yang lepas gadis ini adalah Amal yang mereka kenal. Tapi sekarang sudah berbeza. Amal terasa sangat jauh walaupun secara kasarnya, dia masih milik  mereka.
            “Kai”
            Suara itu tiba-tiba kedengaran. Kai menoleh. Amal mengetap bibir. Dia seperti ingin berkata sesuatu namun mahu difikir terlebih dahulu. “Betulke apa yang Amal buat? Keputusan yang Amal ambil ini tepat ke?”
            Melihat wajah itu jujur menyoal, dia kehilangan kata. Jantung tiba-tiba berdetak laju. Kai menelan air liur. Apa maksud semua ini?
            “Mama atau ayah. Amal tak boleh pilih kedua-duanya ke?”
            Fokusnya kembali. “Ikut kata hati kau” perlahan dia menutur. Amal menghela nafas. Dia sendiri keliru dengan kata hatinya sekarang ini. Terlalu banyak diminda sehingga terasa kepala seperti hendak pecah.
            “Amal takkan boleh dapat kedua-duanya”
            Airmata akhirnya menitis. Dia tidak perlu berpura-pura lagi. Entah kenapa, Amal tak malu untuk menangis dihadapan Kai ketika ini. Jujurnya, dia sangat penat dengan apa yang berlaku sekarang ini. Sekelip mata, hidupnya yang tenang seolah-olah dilanda taufan yang sangat kuat. Kenyataan yang sangat memeritkan namun harus diterima kerana itulah dirinya yang sebenar.
            Kai menghela nafas. Dia taktahu bagaimana hendak memujuk Amal. Selalunya, Along yang akan ambil-alih. Tangan kiri diangkat dengan teragak-agak. Kemudian, dia mengusap kepala Amal dengan lembut. Ini sahaja yang disuruh hatinya ketika ini.
            “Walauapapun yang berlaku, kami tetap keluarga kau. Along dan aku tetap abang kau. Mama dan papa juga. Sayang kami takkan berubah kerana kami ikhlas terima kau dalam hidup kau. Sebenarnya, kami dah bersedia sejak dahulu lagi. Jika ditakdirkan kau tak memilih kami sekalipun, kami tetap mahu kau bahagia”
            Amal mengesat airmata namun esakan kecil masih kedengaran. Kai menarik tanganya semula. Sungguh kekok kerana selalu, dia adalah abang yang dingin dan sukar menunjukkan perasaan. Namun, hatinya takkan mampu melihat Amal menangis seperti ini.
            “Kai” suara itu kedengaran lemah. Kai menoleh sambil cuba mengawal degupan hati yang sangat tidak normal ketika ini.
            “Amal nak pindah”
            Seperti batu besar yang menghempap diri. Seperti dia baru mendengar khabar yang membuatkan guruh sambung-menyambung. Seperti dia kehilangan separuh jiwanya. Kai memandang Amal, tidak berkelip.
            “Amal nak jaga ayah. Amal nak jadi anak yang baik. Ayah jatuh sakit sebab rindukan Amal. Cukuplah Amal buat ayah sedih. Amal taknak ayah sakit sebab Amal”
            Kai masih diam. Dia menyandar tubuh di kusyen. Sekarang, dirinya pula yang seperti along. Amal nak pindah? Amal nak tinggalkan rumah dan mereka sepenuhnya?
            Amal mengetap bibir melihat reaksi Kai ketika ini. Dia tahu ucapanya tadi ibarat halilintar selepas taufan. Walaupun perbuatan ini dirasakan sangat kejam namun Amal mahukan yang terbaik buat mereka. Amal tak mahu melukai sesiapa lagi.

**********************************
            
            Pintu bilik utama dibuka perlahan. Apabila mereka kembali, suasana rumah seperti dilanda garuda. Sunyi-sepi. Ibu Siti juga tidak kelihatan. Pasti dia sudah mendengar segala-galanya. Amal gagahkan diri untuk masuk ke dalam bilik.
            Kata Along, mama hanya berada didalam bilik tanpa mahu keluar. Keadaan mama juga nampak lemah. Amal semakin rasa bersalah. Kerana memilih mama, dia hampir kehilangan ayah. Sekarang apabila memilih ayah, dia kehilangan mama. Kalau diikutkan hati, dia seperti hendak gila sekarang ini.
            Kaki diatur perlahan menghampiri katil. Kelihatan mama berbaring membelakangi dirinya. Amal menghela nafas. Melihat mama seperti ini, hatinya bagai dicarik-carik. Mama tak bersalah. Dirinya yang harus bersyukur kerana diberi peluang berada dibawah lindungan kasih mama. Kerana itu, dia menjadi lupa mengenai siapa diri ini. Kerana kasih-sayang mereka, Amal lupa dirinya.
            “Ma….”
            Perlahan dia menutur. Dia cuba menahan rasa sebak. Jika dirinya menangis, mama pasti akan lebih teruk. Tangan diangkat perlahan-lahan lalu memegang tangan mama. Rasa sebak menyesakkan dada ketika ini.
            “Amal minta maaf, ma. Amal minta ampun dengan mama. Amal terima semuanya tapi tolong jangan begini. Pandang Amal, ma. Amal lukai mama. Amal kecewakan mama. Amal tak kenang budi. Amal terima ma. Tapi jangan alihkan pandangan dari Amal. Amal takkan mampu terima”
            Dia melutut disebelah katil dengan linangan airmata. Dirinya akan mati jika dibenci mama. Dia takkan punya sebab untuk hidup lagi jika mama tidak mahu memandangnya.
            “Amal minta ampun, ma. Amal minta ampun”
            Dalam kesukaran untuk bernafas dan menangis, dia menutur. Otaknya terasa seperti hendak pecah ketika ini. Hatinya bagai diperah-perah tanpa belas ihsan.
            Datin Nora mengetap bibir menahan tangisan. Mendengar Amal merayunya seperti ini. Hati ibu mana yang tidak tersentuh. Walaupun Amal bukan darah dagingnya. Amal tetap anaknya sampai hujung nyawa. Hati seorang ibu ibarat sudah mati apabila anak itu akan dibawa pergi tanpa dirinya mampu melakukan apa-apa.
            Perlahan dia menoleh melihat Amal melutut sambil menundukkan wajah. Airmatanya menitis jatuh diatas permaidani. “Amal”
            Tubuh anak kesayanganya itu dipeluk erat. Mereka menangis lebih kuat. Datin Nora mengeratkan pelukan walaupun dia turut sama menangis. “Amal minta maaf. Amal minta maaf”
            Datin Nora sekadar menggeleng kepala. Belakang kepala Amal diusap lembut. Dia merenggangkan pelukan sebelum mengesat airmata Amal yang berlinang. Dirinya takkan mampu menjauhkan diri daripada Amal. Dia sendiri tidak sedar sejak bila Amal dianggap seperti nyawa sendiri.
            “Shhhh. Jangan menangis. Mama tak marah kamu. Tiada apa yang perlu mama maafkan. Kamu tak buat salah langsung. Kamu anak mama yang sangat baik. Tak pernah sekalipun kamu sakitkan hati mama. Jangan minta maaf, Amal”
            Amal semakin sebak mendengar ucapan mama. Dia turut mengesat airmata mama. “Amal tetap anak mama ‘kan? Mama tetap mama Amal ‘kan?”
            Hati Datin Nora bagai disiat-siat. Ya Allah. Beratnya dugaan-Mu untuk hamba yang kerdil ini. Aku memohon bantuan-MU, Yang Maha Esa. Datin Nora menghela nafas, cuba mengawal perasaanya ketika ini. Dengan cukup sukar, dia mengukir senyuman.
            “Ye, sayang. Kamu tetap anak mama. Mama tetap mama kamu. Walauapapun yang berlaku, rumah ini adalah rumah kamu. Keluarga ini adalah keluarga kamu. Tiada apa yang berubah”
            Amal mengangguk. Terima kasih Ya Allah kerana mempertemukan aku dengan mereka yang sangat baik ini. Tiada kata yang mampu aku ucapkan dengan pemberian yang sangat bermakna ini. Aku sangat bertuah. Aku bertuah disayangi mereka tanpa perbezaan. Aku bertuah disayang seperti keluarga sendiri oleh mereka. Aku takkan mampu membalas jasa mereka selama-lamanya.
            “Betul cakap mama. Amal tetap adik manja along. Takkan berubah!”
            Mereka menoleh melihat along yang sudah berdiri di muka pintu dengan senyuman. Kai disebelah memandang tanpa perasaan namun Amal mampu membaca perasaanya yang sama.
            “Anak papa ni sentiasa manja. Suka sangat menangis” tiba-tiba papa mengusap kepalanya dengan lembut. Amal kembali sebak. Tangan yang tiba-tiba digenggam erat membuatkan Amal kembali memandang mama dihadapanya.
            “Mama sayang Amal. Sayang sangat-sangat” dahinya dikucup lembut. Hatinya terasa hangat dengan kasih-sayang mama. Mama mengukir senyuman.
            “Terima kasih kerana sudi menjadi anak mama. Terima kasih kerana memilih mama menjadi mama Amal. Mama sayang Amal”
            Pelukan dierat. Papa mengusap rambutnya dengan lembut. Kuzer dan Kai memandang dengan pelbagai perasaan. Mungkin kenyataanya lain namun bagi mereka, Amal tetap keluarga. Amal tetap adik kesayangan mereka. Tiada apa yang berubah.

*************************************** 
           
            “Amal”
            Farah bangun menghampiri setelah dari tadi dalam keadaan serba tak kena. Semalam, dia mendapat panggilan daripada Amal. Keluarga angkatnya sudah mengetahui semuanya. Walaupun mereka seperti sukar untuk menerima kenyataan itu namun keadaan sedikit pulih. Sekarang, Amal mahu memberitahu pakcik Hussain pula.
            Senyuman hambar diberi. Farah memandang dengan rasa kasihan. Amal kelihatan letih dan tidak bermaya. Ditambah pula dengan lingkaran gelap dibawah mata. Pasti semua ini sangat sukar untuk dirinya sekarang.
            “Ayah macam mana? Dia dah semakin sihat ‘kan?”
            Farah mengangguk. Tangan kanan Amal dipegang lembut. Amal hanya memandang. “Awak yakin? Saya tak kisah jika awak perlukan masa”
            Bibir mengukir senyuman menyakinkan. Sudah terlalu lama masa diberikan. Jika ayah tidak jatuh sakit, pastinya dia masih leka dengan dunia yang bukan miliknya itu. Perlahan, Amal mengangguk.
            “Cepat atau lambat, saya harus hadapinya juga. Makcik Sarah dan kak Lisa pun ada didalam ‘kan?”
            Farah mengangguk lagi. Dia risau sebenarnya. Hubungan makcik Sarah, Lisa dan Amal tidak baik langsung. Namun memandangkan Amal sudah hilang ingatan, pastinya dia tidak tahu mengenai itu. Farah khuatir jika ibu dan kakak tiri Amal itu melakukan sesuka hati mereka dan mengambil kesempatan diatas keadaan Amal sekarang.
            Amal menghela nafas. Jantungnya berdegup seolah-olah sedang berlari 100 meter ketika ini. Semalaman dirinya tidak mampu tidur kerana memikirkan hari ini. Banyak perkara yang difikirkan sehingga memberi tekanan kepada diri sendiri. Namun dia juga sedar. Dirinya takkan mampu lari lagi. Samada masalah ini dihadapi sekarang ataupun ia akan terus menghantuinya.
            “Marilah. Semuanya harus kembali ke tempatnya semula”
            Farah mengikut di belakang. Dia berharap semuanya akan berjalan lancar walaupun hatinya kuat mengatakan sebaliknya. Pintu wad dibuka. Amal masuk dengan tenang dan menghampiri katil ayah. Dia mendengar suara makcik Sarah yang sedang berbual dengan ayah ketika ini. Kehadiran mereka segera disedari  Lisa yang sedang duduk dikerusi sambil membaca majalah.
            “Pakcik” Farah bersuara disebelah Amal yang hanya berdiri kaku dihujung katil. Suasana menjadi sunyi seketika.
            “Eh, Amal. Tak sangka kamu disini. Farah beritahu kamu yang menolong pakcik sewaktu dihantar ke hospital ini. Terima kasih ye”
            Senyuman ayah membuatnya hatinya bagai dihiris-hiris. Melihat ayah yang kelihatan cengkung, hatinya bagai diperah seperti kain basah. Lebih memeritkan lagi apabila dia langsung tidak mengingati lelaki yang merupakan nyawanya ini. Helaan nafas dilepaskan.
            “Farah ada perkara hendak diberitahu sebenarnya” dia akhirnya bersuara dengan kekuatan yang dipaksa. Lisa mengerut dahi sambil memeluk tubuh. Dia mengesan sesuatu yang tidak kena. Sejak melihat Amal, hatinya sentiasa tidak tenteram. Wajahnya yang sangat mirip dengan Alyn membuatkan dia turut membenci gadis itu.
            “Perlu ke kamu beritahu dia sekarang? Pakcik kamu ni baru pulih. Tak boleh tunggu sehingga dia benar-benar sihat ke?”
            Suara makcik Sarah kedengaran tegas dan dingin. Amal menelan air liur. Melihat wajah makcik Sarah yang menjeling kearah mereka membuatkan dirinya sedikit takut. Makcik Sarah kelihatan tidak menyukainya sejak kali pertama bertemu. Tapi, kenapa?
            “Ini Alyn!”
            Suasana diantara mereka seperti dilanda garuda. Pakcik Hussain memandangnya tidak berkelip. Amal hanya berdiri kaku menahan rasa. Lisa tergamam. Makcik Sarah hampir terlepas sudu yang dipegang. Farah menghela nafas.
            “Alyn tak mati, pakcik. Ini Alyn. Anak kesayangan pakcik. Kawan baik Farah. Dia hilang ingatan dan dijaga oleh sebuah keluarga yang sangat baik. Dia bukan mirip Alyn. Dia adalah Alyn!”
            Dengan sekali nafas, Farah menutur semuanya. Mereka bertiga masih didalam keadaan terkejut. Pakcik Hussain tiba-tiba memegang dadanya. Amal yang terkejut, segera menghampiri.
            “Ayah!” tangan yang sudah berkedut itu dipegang dengan rasa risau. “Sakit ke? Nak Amal panggilkan doktor?”
            Pakcik Hussain menoleh. Melihat Amal yang risaukan dia. Mendengar Amal memanggilnya ayah. Sekali pandang, dia merasa seperti Alyn hidup semula. Tapi, Farah beritahu Amal adalah Alyn.
            “A….Alyn?” dia menyoal, teragak-agak. Amal mengangguk, lemah. “A….Alyn?” kali ini, mata ayah sudah berkaca. Amal mengetap bibir namun masih mengangguk.
            “Alyn, anak kesayangan ayah?”
            Airmatanya tumpah. Amal mengusap pipi ayah dengan lembut. “Ya, ayah. Ini Alyn, anak kesayang ayah”
            “Allahuakbar”
            Segenap ruang hanya kedengaran esakan daripada seorang ayah yang terlalu merindui anaknya. Amal hanya mampu menangis tanpa esakan didalam pelukan ayah yang erat. Farah yang menjadi pemerhati turut mengesat hujung mata.
            “Ayah ingat kamu sudah meninggal, sayang. Kereta yang kamu naiki terbakar teruk sehingga ayah sendiri tak dapat mengenali kamu. Ketika itu, ayah sangat sedih. Kenapa ayah tak kenal anak ayah sendiri? Kenapa Alyn tak beri apa-apa petunjuk untuk tenangkan ayah bahawa Alyn benar-benar sudah pergi?”
            “A….amal minta maaf”
            Belakang ayah diurut lembut. Hatinya bagai dicucuk-cucuk mendengar ayah menangis. Pastinya ayah sangat merindui dirinya. Selama ini, dia sangat mementingkan diri. Dirinya memilih keluarga angkat berbanding keluarga sendiri. Dia mengambil kesempatan diatas keadaan dirinya untuk melupakan semua kenyataan yang diketahui. Semuanya dilakukan untuk melindungi diri sendiri tanpa mengetahui bahawa ada orang lain yang menderita kerana kehilanganya. Ada orang lain yang sentiasa merindui walaupun dirinya dikhabarkan sudah meninggal dunia. Ada orang lain yang masih percaya bahawa dia masih hidup didunia ini.
            “Ayah rindukan kamu sayang. Jangan tinggalkan ayah lagi”
            Amal hanya mampu mengangguk dengan linangan airmata yang semakin laju. Walaupun dia masih tidak mengingati apa-apa tentang kehidupan sebelum kemalangan namun itu bukan alasan untuk terus melarikan diri. Amal yakin kasih-sayang ayah akan mampu membantunya mengingati semua itu.

************************************

            “Jadi, kamu lakukan ujian DNA secara senyap-senyap?”
            Ayah menyoal setelah keadaan sedikit tenang. Mereka hanya bertiga di wad sementara makcik Sarah dan Lisa meminta diri untuk keluar sekejap. Farah mengangguk. Dia juga tidak menyangka semua ini. Namun apa yang pasti, dia sekadar mengikut kata hati sahaja.
            “Tapi….kenapa? Kamu tak percaya yang Alyn sudah meninggal?”
            Farah memandang Amal yang memegang erat tangan pakcik Hussain. Senyuman diukir. “Jauh disudut hati Farah, ada sesuatu yang menyakinkan Farah bahawa Amal masih hidup. Waktu bertemu Amal dahulu, Farah ingatkan Farah jumpa hantu sebenarnya. Mereka sangat mirip sehingga Farah rasa Alyn mungkin ada kembar yang tak kita ketahui”
            Dia melihat 2 beranak itu tersenyum sedikit. “Tapi apabila Farah dengar kisah Amal, Farah sedar yang dia bukan Alyn. Sehinggalah Amal buka cerita tentang kemalanganya 3 tahun lepas. Semuanya terlalu kebetulan jadi Farah buat keputusan itu”
            Pakcik Hussain mengangguk. Dia berterima kasih kepada Farah untuk itu. Kerana keyakinan itulah, dirinya kembali bertemu Alyn. Kerana rasa tak putus asa Farah, Alyn kembali ditemui. Patutlah sejak bertemu, hatinya kuat mengatakan Amal adalah anaknya.
            “Sebenarnya, Farah dan beritahu Amal lama tentang keputusan itu. Tapi Amal perlukan masa untuk terima semuanya. Maafkan Amal, ayah. Amal ambil masa untuk kembali ke pangkuan ayah. Amal minta maaf kerana tak bersama ayah selama ini”
            Keadaan kembali sedih. Pakcik Hussain menggeleng. Pipi Amal diusap dengan senyuman lembut. “Ayah bersyukur dengan takdir ini. 3 tahun ayah hilang Alyn. Ayah bagai orang gila sebenarnya. Alyn yang diambil dari ayah secara tiba-tiba. Ayah rasa hidup aku gelap sepenuhnya. Syukurlah kamu selamat. Syukurlah kamu dipertemukan dengan Farah. Terima kasih, sayang”
            Tanganya digenggam erat. Amal mengukir senyuman dengan rasa sebak. Semuanya sudah kembali ke tempat asal semula. Ini adalah keluarganya. Mereka ada orang-orang yang disayangi dirinya. Terlalu banyak luka yang diberi. Amal tak mahu menambahnya lagi. Cerita 3 tahun lepas akan dibiarkan berlalu. Amal hanya mahu melihat masa hadapan sahaja.
            “Farah cakap kamu dijaga oleh sebuah keluarga yang sangat baik. Keluarga yang kamu ceritakan dahulu ke?”
            Amal diam sekejap. Dia hampir terlupa tentang mereka. Keluarga yang menyayanginya. Keluarga yang menjaga dirinya. Dia kemudian mengangguk. Terasa hatinya sedikit kosong mengenangkan mereka yang harus dilepaskan demi keluarga ini. Amal sedar dia takkan mampu memiliki kedua-duanya. Itu sekadar mementingkan diri sahaja.
            “Ayah harus bertemu mereka untuk ucapkan terima kasih. Mereka menjaga kamu dengan sangat baik. Ayah yakin mereka sememangnya keluarga yang sangat baik. Ayah terhutang budi dengan mereka sekeluarga”
            Senyuman nipis diberi. Selepas ini, semuanya harus dilupakan dan dia harus memulakan semula. Amal harus melupakan semua yang dimiliki dahulu dan cuba mencari semula ingatanya yang hilang sekarang. Dia harus menerima hakikat bahawa keadaan tidak akan seperti dahulu lagi.
            “Ayah berehatlah. Doktor cakap ayah harus banyak berehat. Amal tak mahu ayah jatuh sakit lagi”
            “Rindunya ayah dengar bebelan kamu. Setiap hari pasti kamu akan ingatkan ayah untuk makan ubat dan tidak terlalu kuat bekerja. Tak sangka perkara remah itu sebenarnya yang ayah rindu sewaktu ayah kehilangan kamu dahulu”
            Dia lihat mata ayah kembali berkaca. Amal menghela nafas. Dia mampu melihat kesedihan ayah. Dia mampu melihat penderitaan ayah. Semua itu kerana kehilangan dirinya. Tubuh lelaki itu dibaring dengan perlahan-lahan. Selimut kemudian ditarik sehingga ke paras dada.
            “Ayah jangan risau. Amal takkan kemana-mana lagi. Amal akan sentiasa disisi ayah. Ayah berehatlah. Nanti Amal bawakan makanan ye?”
            Ayah mengangguk seperti anak kecil. Amal tersenyum sedikit sebelum dia melihat ayah mulai lena dengan tenang. Wajah ayah direnung lama. Garis kedutan tua sudah mulai kelihatan. Ayah nampak lebih berusia berbanding usia. Mungkin kerana kesedihan yang dialaminya yang membuatkan badan tidak mampu menampung beban itu lagi.

*******************************
            
            Pintu wad ditutup dengan berhati-hati untuk tidak mengejutkan ayah yang sudah nyenyak. Badan terasa sengal kerana duduk terlalu lamu. Amal menggerakkan tubuh badan untuk menghilangkan rasa lenguh. Badan juga barus berasa letih selepas apa yang berlaku. Tanpa sedar, hari sudah menginjak ke malam hari.      
            “Penatnya” Farah disebelah turut sedang merenggangkan tubuhnya. Amal tersenyum. “Macam mak nenek”
            Farah mencebik. “Banyak sangat drama tadi. Habis airmata saya. Esok mesti bengkak. Habislah saya”
            Dia mengurut bawah mata sambil berpura-pura risau. Amal ketawa kecil sambil menggeleng. Bahu teman itu dipeluk tiba-tiba. Farah kaget sekejap memandangnya. Amal memberi senyuman mesra.
            “Terima kasih untuk semuanya. By the way, berhentilah bahasakan diri saya dan awak. Geli pula aku dengar”
            Farah tergamam. Dia seolah-olah bermimpi sekarang. Amal ketawa semula. Tangan yang memeluk bahu Amal tadi ditarik semula. Dia berdiri tegak tiba-tiba sebelum menghulur tangan kea rah Farah yang masih kaku.
            “Apa yang kau pandang macam nampak hantu?” Amal tersenyum sedikit. “Maafkan aku kerana tak tunaikan janji. Maafkan aku kerana buat kau tunggu lama untuk kembali. Maafkan aku kerana buat kau bazirkan airmata. Maafkan aku juga kerana buat kau sedih dan terpaksa menjaga ayah aku”
            Amal lihat Farah masih tergamam. Dia melangkah untuk mendekatkan jarak mereka sebelum tubuh itu dipeluk lembut. “Aku rindukan kau, Farah. Terima kasih kerana mengenali aku terlebih dahulu”
            Ucapan itu seolah-olah meruntuhnya semua. Dia terasa seperti baru bangun daripada sebuah mimpi ngeri yang sangat panjang. Airmata mengalir laju. Tubuh Amal dipeluk dengan erat bersama esakan yang memenuhi ruang koridor ketika ini.
            Amal mengusap belakang Farah untuk menenangkan dirinya. Dia tersenyum mendengar esakan Farah yang semakin kuat sambil mengeratkan lagi pelukan. Pasti penat untuk Farah lalui semua ini. Jika tiada Farah, pasti semua ini tidak berlaku. Amal menghela nafas. Betapa bertuahnya hidup ini. Samada Amal mahupun Alyn, mereka mempunyai rakan baik yang merupakan anugerah terbaik untuk mereka.
            Seketika kemudian, pelukan direnggang. Farah masih teresak kecil namun airmatanya sudah kering. Amal ketawa kecil. Dia mengesat bekas-bekas airmata di pipi Farah. Tak sangka Farah akan menangis seteruk ini. Dia seolah-olah melepaskan semua beban yang terbuku dihati.
            “Teruknya kau nangis. Nasib baik tak ada orang lalu. Kalau tak, tentu dia orang pelik tengok kau menangis tadi”
            Bahu Amal ditolak lembut. Amal ketawa lagi. Seorang sahabat seperti Farah ibarat sebiji permata disebalik pasir yang jernih. Walaupun hanya seorang namun ianya sudah cukup memadai untuknya.
            “Kalau kau berani tinggalkan aku lagi, siaplah! Aku akan pastikan kau tak hidup dengan tenang lagi selepas ini kerana biarkan aku risaukan kau”
            Amal mengangguk dengan pantas. Farah tersedak sedikit namun turut tersenyum. Amal menyinting lengan baju sebelum mempamerkan gelang persahabatan yang diberi Farah dahulu.
            “Terima kasih sebab masih simpan gelang ini”
            Farah turut menunjukkan gelang yang sama. Kali ini, mereka sama-sama tersenyum. “Semuanya sudah kembali seperti biasa”

            Amal menghela nafas. Sekarang, hanya tinggal diri sendiri untuk menerima semua ini walaupun masih didalam keadaan kekok. Amal yakin dia mampu laluinya. Lagipun, inilah kehidupan dirinya sebelum kemalangan. Jika dia mampu lakukan dahulu, dia pasti mampu lakukan sekarang juga.