Monday, 23 September 2013

143 bab 6

            Kuzer bergegas turun ke bawah apabila terdengar seperti seseorang menangis. Minda terus mengatakan bahawa itu adalah tangisan Amal yang membuatkan dia meninggalkan semua kerjanya untuk turun ke bawah.
            Dibawah, dia bertemu dengan ibu Siti yang turut cemas. “Amal mana?”
            “Dekat luar. Dengan Kai”
            Mereka berdua bergegas ke luar rumah dan melihat Amal sudah tertidur sambil Kai menepuk belakangnya dengan lembut. Kuzer mengurut dada sementara ibu Siti menarik nafas lega. Risau juga bila mendengar Amal menangis tadi.
            Kuzer membawa langkah menghampiri 2 adiknya itu. Dia berdiri dihadapan Kai yang masih tidak menyedari kehadiranya.
            “Kenapa?”
            “Shhh. Dia dah tidur?”
            Kuzer berlalu kearah Amal. Nampak macam dah nenyak. Dengan rambut yang menutupi mata. Dia menyelak sedikit dan melihat sisa airmata di pipi. Terasa macam dihempap sesuatu setiap kali melihat Amal menangis.
            Perlahan, kepala Amal digosok lembut. Amal akan sentiasa menjadi adik kesayanganya. “Nyenyak dia tidur. Letih agaknya”
            “Ibu, siapkan katil Amal. Kai bawa dia ke bilik sekarang”
            Ibu Siti mengangguk sebelum bergegas melaksanakan arahan yang diberi. Penuh berhati-hati, Kai merenggangkan pelukan sebelum mengendong tubuh kecil Amal yang tertidur sampai tak sedar apa yang berlaku.
            Kuzer mengikut dibelakang dalam langkah berjaga-jaga agar kepala Amal tidak terhantuk apa-apa. “Hati-hati. Tangga”
            Perlahan-lahan, dia melangkah tangga naik ke tingkat dua. Aishh. Berat juga budak ni. Makan apa hah? “Okay tak? Along tolong nak?”
            Kai menggeleng. Dia takut Amal terjaga. Lagipun, mereka sudah berada di depan bilik Amal. Pintu sudah sedia dibuka oleh ibu Siti.
            Berhati-hati Kai meletakkan Amal diatas katil dan kemudian ibu Siti menyelimutkan tubuh itu. Kuzer pula membuka penghawa dingin. Suasana sepi seketika kerana masing-masing melihat wajah tidur Amal ketika ini.
            “Teruk ibu dengar dia menangis tadi. Sampai tak cukup nafas. Apa yang berlaku sebenarnya?”
            Rambut hadapan Amal diselak sedikit. Kasihnya tumpah untuk gadis ini. Walaupun mereka baru bertemu namun ibu Siti dah menganggap Amal seperti anaknya sendiri.
            Kai melepaskan keluhan, berat. Dia memandang Kuzer yang berdiri disebelah. “Dia dah tahu yang dia bukan anak kandung mama” perlahan dia memberitahu takut-takut Amal terjaga.
            Kuzer tergamam. Dia memandang Kai yang sekadar mengangguk. “Well. Sepatutnya dia memang tahu. Kita tak boleh rahsiakan perkara ini selama-lamanya”
            Suasana kembali sepi. Sebab itu Amal menangis teruk tadi? Kali ini, Kuzer pula yang mengeluh. “Kasihan Amal. Tentu dia terkejut sangat”
            Ibu Siti mengusap pipi Amal dengan lembut. Dia tahu pasti sukar untuk Amal terima semua ini. “Dia ada tanya pasal keluarga kandung dia. Katanya, dia rahsiakan semua ini sebab tak mahu mama terluka. Itu yang sampai menangis tu. Dia taktahu apa yang nak dibuat sekarang”
            Kuzer memandang Amal yang bergerak sedikit. Dia duduk dihujung katil sebelum membetulkan selimut Amal. Inilah perkara yang paling dirisaukan oleh mereka. Sebab itu juga mama dan papa mahu merahsiakanya. Tapi sekarang, Amal tahu dengan sendirinya. Tiada apa yang perlu dirahsiakan lagi.
            “Dia tetap Amal. Dia tetap adik along. Anak perempuan mama dan papa. Amal tak perlu buat apa-apa sebab tiada apa yang akan berubah”
            Kuzer bersuara, tegas. Itulah yang akan dilakukan. Amal akan menjadi adik mereka selama-lamanya. Kai hanya diam memerhati. Dia tahu along akan jadi seperti ini hanya apabila membabitkan Amal.
            “Ibu setuju. Amal dah macam anak ibu sendiri. Seperti Datin, ibu sendiri inginkan anak perempuan dan Allah berikan Amal kepada kita. Lagipun, sehingga sekarang keluarga kandungnya tidak dijumpai ‘kan?”
            Dia memandang along dan Kai. Masing-masing hanya diam. Kuzer memandang wajah Amal dengan penuh rasa kasih. Entah kenapa, dia terlalu menyayangi gadis ini. Walaupun dia hadir sekejap sahaja namun sikap manjanya dan suka membuat orang ketawa membuatkan dia disenangi semua orang.
            Mungkin juga kerana dia tak punya adik perempuan. Kehadiran Amal sememangnya menceriakan keluarga mereka.
            “Kai” dia bersuara, serius sekali. Kai bergerak sedikit menghampiri. “Walauapapun yang berlaku, kita harus lindungi Amal. Along nak kamu sentiasa perhatikan dia sewaktu di kolej. Ambil tahu mengenai kegiatan dia. Jangan benarkan sesiapapun menyakiti dia”
            Kai sekadar mengangguk. Memang itu yang dilakukan selama ini walaupun secara diam-diam. Ibu Siti tersenyum bangga. Kali pertama lihat along serius seperti ini. Pastinya, along sendiri dah menganggap Amal seperti adiknya.
            “Amal adik along selama-lamanya. Along takkan benarkan sesiapapun melukai Amal!”
            Dia berjanji dengan diri sendiri. Cukuplah tangisan Amal malam ini. Sesiapapun takkan membangkitkan hal ini lagi.

*******************************

            Pintu wad dibuka dengan senyuman. Dia melihat pakcik Hussain sudah siap sambil duduk diatas kerusi roda. Amal bertemu pandang dengan Farah yang sudah menanti.
            “Dah siap?”
            Mereka sama-sama mengangguk. Amal ketawa kecil sebelum menghampiri mereka. Dia mengambil tempat Farah sebelum menyorong kerusi roda pakcik Hussain keluar dari wad. Hari ini mereka ambil keputusan untuk membawa pakcik Hussain mengambil udara segar di luar hospital. Menurut kata doktor, pakcik Hussain dibenarkan untuk pulang keesokan harinya.
            “Buat apalah kamu susahkan diri bawa pakcik keluar. Kamu berdua pasti letih lepas balik dari kerja dan kolej”
            Amal dan Farah hanya tersenyum. Mereka masuk ke dalam lif yang terbuka sebelum Farah menekan butang paling bawah.
            “Bukan selalu. Kata doktor, pakcik harus hirup udara segar juga. Untuk tenangkan fikiran dan lapangkan dada. Jangan berfikir banyak sangat”
            Pakcik Hussain tersenyum. Bebelan Amal mengingatkan dirinya kepada Alin. Pasti Alin akan mengatakan hal yang sama. Mereka kemudian tiba di lobby hospital yang ramai dengan orang. Amal menyorong kerusi roda pakcik Hussain untuk keluar menuju ke Taman Botanical hospital.
            Terdapat ramai juga pesakit di luar untuk menghirup angin segar. Mereka memberhentikan langkah berhampiran sebuah kerusi kosong.
            “Macam mana? Lebih baik bukan?” Amal memandang pakcik Hussain. Lelaki itu memberi senyuman. Amal turut tersenyum.
            “Terima kasihlah, Amal. Kamu selalu sangat jenguk pakcik disini. Isteri dengan anak tiri pakcik pun tak buat macam tu”
            Farah diam sekejap. Amal masih tersenyum. “Amal dah anggap pakcik macam ayah Amal sendiri. Jangan risau. Amal tak letih pun. Bukanya buat apapun di kolej tu”
            Pakcik Hussain mengangguk. Sukar sekali untuk mengingati diri sendiri bahawa Alin sudah tiada apabila melihat Amal sekarang. Namun pasti ada hikmah disebalik semua ini. Walauapapun, dia sangat bersyukur dengan keadaan sekarang.
            Mereka kembali memandang kearah sekumpulan kanak-kanak yang asyik bermain bola walaupun berpakaian hospital. Seolah-olah mereka terlupa mengenai penyakit yang mereka hidapi apabila mampu bermain dengan gembira seperti itu.
            Melihat mereka, kenanganya sewaktu di hospital menjelma. Sebaik sedar, Amal menjadi murung. Tiada apa yang lebih menakutkan daripada sedar dan merasa otak sendiri tiba-tiba kosong. Dia langsung tidak mengingati apa-apa termasuklah namanya sendiri.
            Pelbagai usaha yang doktor Harith dan along lakukan. Mama dan papa juga. Walaupun mereka adalah orang asing namun tidak pernah dirinya dibiarkan sendirian. Sehinggalah dia membuka hati apabila mama memeluknya bersama tangisan sewaktu dirinya tersasul memanggil mama berbanding Datin. Ketika itulah Amal sedar bahawa mereka ikhlas menjaga dan menyayangi.
            “Awak mengelamun apa?” Farah tiba-tiba menyoal. Menyedarkan dirinya daripada kenangan silam. Amal hanya tersenyum.
            “Kenangan. Awak selalu teringatkan Alin?”
            Farah diam sekejap. Kemudian dia mengangguk dengan senyuman nipis. “Selalu. Tambah lagi kalau saya rindukan dia. Alin sahabat karib saya. Kami berkongsi segala-galanya. Sepatutnya kami sama-sama bekerja di hotel itu. Tapi Allah lebih sayangkan dia. Nasib baiklah ada Naim. Tidaklah saya kesunyian”
            Amal mengangguk. Dia mampu lihat rasa kasih itu walaupun tidak diberitahu. Punya sahabat dan papa yang terlalu menyayangi sehingga mereka terkesan akibat kehilanganya. Alin sememangnya bertuah. Amal yakin Alin seorang yang baik. Jika tidak, pastinya dia takkan punya orang-orang seperti Farah dan pakcik Hussain yang masih menangis walaupun 3 tahun sudah berlalu.
            “Alin bertuah punya kawan seperti awak, Farah” Amal bersuara, ikhlas. “Awak tak ada kawan?”
            Amal hanya tersenyum. “Sebelum ini mungkin tak ada. Tapi saya ada seorang kawan di kolej. Walaupun baru bertemu tapi rasa macam kami dah lama berkawan. Una banyak membantu saya menghadapi masalah peribadi”
            “Masalah peribadi?”
            “Saya ada penyakit yang cepat panik dan membawa kepada pengsan jika berada di tempat yang ramai orang. Kecuali jika bersama dengan keluarga saya”
            Farah kelihatan terkejut. “Tapi awak okay je dekat hospital ni?”
            Amal tergelak kecil. “Apa yang awak tahu? 3 tahun saya berjaya tipu minda sendiri. Sebenarnya, itu bergantung kepada situasi. Contohnya waktu SPM. Oleh sebab saya ambil tutor dan berlajar di rumah, saya sedikit panik apabila harus mengambil SPM disekolah dengan beratus pelajar yang lain”
            Dia cuba mencerna apa yang Amal cakapkan walaupun agak pening. Amal kembali tersenyum. “Jangan risau. Keadaan saya semakin okay selepas masuk hospital. Kata doktor, mungkin sebab saya lama tidak berada di tempat awam. Ianya buat saya panik. Sebab itulah, papa suruh saya masuk kolej walaupun ditentang mama. Papa nak saya biasa dengan orang ramai”
            Kali ini baru dia mengangguk. “Kenapa Amal ambil tutor dirumah?” kali ini pakcik Hussain pula menyoal. Sedari tadi dia hanya mendengar sahaja perbualan mereka.
            “3 tahun lepas saya alami satu kemalangan yang membuat saya hilang ingatan. Apabila sedar, saya alami kemurungan pula. Banyak yang mama dan papa lakukan untuk buat saya seperti sekarang. Kerana risau jika saya kembali murung, mama mahu saya sentiasa disampingnya. Sebab itulah dia mengupah tutor ke rumah”
            Farah sedikit terkejut. 3 tahun lepas Amal kemalangan dan hilang ingatan? “Mama awak sekarang. Bukan mama kandung awak ke?” dia menyoal pantas. Perlahan-lahan Amal mengangguk.
            “Saya hilang semua ingatan termasuklah nama sendiri. Memandangkan tiada kad pengenalan yang dijumpai, mereka alami jalan buntu. Mama pernah siarkan berita mengenai saya di akhbat takut-takut keluarga kandung saya mencari. Tapi sudah 3 tahun berlalu. Masih tiada apa-apa. Mungkin mereka sendiri yang membuang saya”
            Amal ketawa, perit. Mengenangkan keluarga kandung membuangnya, memang sakit. Mengenangkan dia adalah anak yang tidak diingini. Setiap kali itu juga hatinya dihiris nipis. Jika mereka sayangkan dirinya, mereka akan mencari. 3 tahun adalah masa yang lama. Mana mungkin mereka taktahu dimana dirinya sekarang?
            “Amal!” Farah memegang tanganya tiba-tiba. Amal tersentak. “Awak nak tolong saya tak?”
            Amal sedikit risau melihat Farah sekarang. Dia memandang pakcik Hussain yang turut memberi reaksi yang sama denganya. “To…tolong apa?”
            Farah tersenyum. Hatinya kuat mengatakan semua ini benar namun dia perlukan bukti kukuh untuk membenarkan andaianya selama ini.

***************************

            “Semuanya along dah uruskan. Mereka tengah tunggu kita dekat sana”
            Mama mengangguk. Amal yang duduk disebelah hanya mendengar. Setiap bulan, mama akan ke hospital untuk memberikan hadiah ataupun apa-apa bantuan. Semuanya dilakukan kerana ingin berterima kasih kepada semua yang merawatnya dahulu.
            “Pastikan semuanya cukup. Mama taknak ada kes macam bulan lepas. Mama tak suka. Kita nak bagi sebab ikhlas. Bukanya memilih”
            Kuzer mengangguk. Bila mama dah masuk mood  serius, memang mereka harus lakukan kerja yang betul. Dia mengerling ke arah Kai disebelah.  “Tiada media yang hadir?”
            Kai mengangguk. Dia sudah uruskan semua itu. Kuzer menghela nafas lega  Dia kemudian membelok masuk ke dalam perkarangan hospital. Kelihatan lori yang membawa barang sudah sampai terlebih dahulu.
            Amal yang memandang ke luar, tergamam. Ini ke hospital yang merawatnya? Dia memerhati sekeliling sementara along memparkir kereta. Air liur terasa tidak mampu ditelan sekarang ini.
            “Mari sayang” suara mama yang memanggil mengejutkan dirinya. Amal mengangguk. Dia turun bersama mama dan kehadiran mereka disambut oleh beberapa orang atasan hospital.
            “Selamat datang, Datin”
            Amal sekadar memberi senyuman disebelah. Dia memandang wajah Kai yang lebih mesra berbanding selalu. Kadang-kadang, hairan juga. Apalah yang seronok sangat tayang muka tak ada perasaan tu? Apa yang dia dapat agaknya?
            “Saya akan suruh pekerja agihkan sekarang. Boleh?”
            “Boleh. Sekarang adalah waktu makan pesakit”
            Datin Nora mengangguk. Ini salah satu cara dia memberi semula kepada mereka yang membantunya dahulu. Dia banyak berhutang budi dengan para doktor dan jururawat disini kerana tidak jemu membantu Amal sehingga Amal pulih.
            “Amal” tanganya dipegang. “Ye, ma”
            “Inilah doktor yang rawat Amal dulu. Harith. Ingat ‘kan?”
            Amal memandang doktor muda yang bercermin mata dihadapanya itu. Dia memberi senyuman. Amal membalas. Segera dia mengangguk. Mana mungkin dirinya lupa?
            “Saya gembira lihat Amal sudah pulih sekarang” Amal melebarkan senyuman lagi. “Terima kasih sebab doktor banyak bantu saya”
            Doktor Harith hanya tersenyum. Gadis ini sememangnya bertuah. Walaupun mereka tidak punya hubungan darah, keluarga Datuk Megat Akashah menyayangi Amal terutamanya Datin Nora.
            “Oi!” Kuzer menepuk bahu doktor Harith. Mereka ketawa besar. “Along! Apa tegur orang macam tu?”
            Kai tersenyum bersama gelengan. Harap je sulung. Tapi perangai tak berubah. Along beri sengihan nakal. Amal ketawa kecil.
            “Marilah. Kesian pula mereka nanti”
            Mereka berjalan masuk ke dalam hospital. Amal sedikit risau. Bagaimana kalau bertemu Farah? Macam mana kalau Farah terkeluar cerita dirinya sering kesini? Amal masih tidak memberitahu apa-apa tentang Farah dan pakcik Hussain kepada mama dan papa.

***************************************

            “Inilah ketua jururawat yang melayan semua karenah Amal waktu Amal sombong dengan mama dulu”
            Kak Shidah ketawa. “Mama” Amal memaut lengan mama dengan rasa malu. Datin Nora ketawa, kecil. Sengaja mahu mengusik anak kesayanganya ini.
            “Tapi sekarang saya nampak Amal yang sangat sayangkan datin. Beruntung Datin ye?”
            “Tentulah. Amal budak baik. ‘Kan, sayang?”
            Darah terasa menyerbu ke muka. Kak Shidah masih tersenyum. Ala mama ni. Buat malu je. Datin Nora mengusap rambut Amal dengan lembut.
            “Dia banyak tolong mama. Dia juga orang pertama yang dengar suara kamu”
            Kak Shidah mengangguk. Terasa seperti semalam sahaja dia bertemu dengan gadis comel ini. Waktu itu, memang sombong habis. Langsung tak mahu bercakap dengan orang. Mungkin kerana kemurungan yang dialaminya. Namun selepas Amal membuka hatinya, dia adalah gadis yang disayangi semua orang di hospital ini.
            “Amal minta maaf ye, kak. Tentu Amal banyak susahkan akak dengan semua orang disini”
            “Eh, taklah. Kami seronok sebenarnya. Amal ni macam virus. Bawa kegembiraan kepada semua orang. Doktor Harith tu sampai jenguk Amal dulu baru buat kerja sebab nak ambil semangat Amal”
            Amal hanya mampu tersenyum. Dia berterima kasih kepada mereka semua yang tidak jemu-jemu membantunya walaupun dengan perangainya ketika itu.
            “Akak lega bila kamu dah semakin sihat. Okaylah, akak kena pergi kerja balik. Gembira jumpa kamu Amal. Kalau rajin, selalulah jenguk sini”
            Dia sekadar mengangguk. Terlalu banyak jasa kak Shidah yang tak mampu dibalas. Amal menoleh dan melihat mama tersenyum.
            “See? Anak mama ni memang kesayangan ramai orang”
            Tiba-tiba sahaja mama memeluknya erat. Amal sedikit terkejut namun dibiarkan sahaja. Sebenarnya, ini cara mama menunjukkan kasih-sayangnya. Dia tidak segan-segan mencium Amal ataupun memeluknya walaupun di khalayak ramai.
            “Ehem” Kai berdiri sambil menyeluk saku seluar. Amal merenggangkan pelukan dengan pantas. Mama tarik muncung. “Mama tak puas nak bermanja dengan kamu lagi”
            Kai hanya mampu menggeleng. “Ma, ada orang nak cakap” dia memberitahu tanpa nada. Mama melepaskan keluhan. “Iyalah. Amal jangan pergi mana-mana”
            Amal hanya mengangguk. Kemudian dia tergeleng sedikit. Kai menjuling mata. Kasih-sayang mama untuk Amal memang boleh buat orang lain cemburu. Nasib baiklah dirinya lelaki dan dia juga faham sebab mama seperti ini.
            “Along mana?”
            “Berbual dengan doktor Harith. Makanan dah diagihkan semuanya?”
            Amal mengangguk. Dia menghala kotak kosong kearah Kai. Lelaki itu sekadar mengangguk. “Amal!”
            Mereka sama-sama menoleh. Tergamam sekejap melihat Farah melambai tangan. Amal membalas dengan senyuman kekok. Kai kerut dahi. Sejak bila budak ni agak kawan dekat hospital?
            Segera Amal berlari mendapatkan Farah. Senyuman diukir. “Jadi, mama awaklah yang selalu beri makanan percuma dekat hospital ni?”
            Amal hanya memberi sengihan. Farah semakin kagum. Patutlah Amal seperti ini. Dia punya ibubapa yang sangat bagus. “Awak dah dapat makanan untuk pakcik Hussain?”
            “Sudah. Tapi rasanya ada lelaki yang turut bagi makanan untuk saya. Kacaknya. Abang awak ke?”
            “Oh. Rasanya”
            Dia kemudian ketawa tiba-tiba. Farah masih tersenyum. Dia masih menunggu hasil keputusan untuk membenarkan segala andaianya selama ini.
            “Emmm, saya nak minta tolong sikit” Amal bersuara, agak serba-salah. Farah segera mengangguk. “Awak…..rahsiakan tentang perjumpaan kita boleh? Saya….masih tak beritahu mama dan yang lain”
            Farah mengangguk faham. Dia tahu Amal didalam dilemma sekarang. “Jangan risau. Rahsia awak selamat dengan saya”
            Amal menarik nafas lega. Farah kembali tersenyum. “Ehhhh, Amal ada kawan?” mereka menoleh kearah suara yang menegur itu. Amal kaget sekejap melihat along berdiri berhampiran mereka dengan senyuman yang mencairkan Farah sekarang ini.
            “Along! Sibuklah. Pergilah sembang dengan doktor Harith”
            Kuzer menggeleng. Sebenarnya dia hairan juga lihat Amal berbual seperti sudah berkawan lama dengan gadis dihadapanya ini. Setahunya, Amal hanya ada seorang kawan di kolej.
            “Kalau iya pun, kenalkanlah kawan Amal ni” kening dijungkit, sengaja ingin mengusik adiknya itu. Farah menahan rasa malu ketika ini. Beruntungnya Amal. Abang-abangnya semua kacak-kacak belaka. Namun rasanya lelaki seorang lagi tu lagi kacak.
            Amal menghela nafas. Dia tahu along takkan berganjak selagi permintaanya tidak dituruti. “Ini Farah. Kawan Amal. Kami jumpa waktu dekat hotel tempat kita sambut hari jadi Kai dulu”
            Kuzer mengangguk. Nampak macam baik orangnya. Pertama kali dia lihat Amal tersenyum dan rapat dengan orang lain selain mereka didalam keluarga. Menarik!
            “Saya Kuzer. Along Amal. Farah boleh panggil along juga”
            Tangan dihulur. Mata Amal sedikit terbeliak. “Along!” namun Farah sudah terlebih dahulu menyambut tangan yang along hulurkan.
            “Saya Farah. Gembira jumpa a….long” dia rasa kekok. Memandangkan diri adalah anak tunggal jadi dia cemburukan Amal yang punya 2 orang abang yang pasti melindunginya sedaya mereka.
            Kuzer mengangguk. “Itu angah Amal. Tapi Amal panggil Kai je. Walaupun saya taktahu kenapa”
            Mata kenyit nakal. Farah tergamam seketika sebelum ketawa sambil menoleh ke arah lelaki yang memberinya bungkusan sebentar tadi. Kai namanya? Sesuai sangat! Walaupun tak senyum tapi dia masih nampak kacak.
            “Okaylah. Along nak sambung berbual dengan Harith. Jumpa kamu nanti” pipinya ditarik lembut sebelum berlalu. “Along!” Aishh. Pipi digosok dengan rasa geram. Dia menoleh apabila mendengar Farah tergelak kecil.
            “Awak ada abang-abang yang sangat baik”
            Amal memberi senyuman paksa. Baik? Huh? Awak tak ada waktu dia orang masuk mood menyakat. Terutamanya Kai! Arghhh. Sakit jiwa dan raga dibuatnya.

******************************

            Nafas turun-naik. Dada terasa hendak pecah. Peluh turun dari dahi sehingga ke pipi seperti air terjun. Baju sudah basah sepenuhnya bersama dengan bit yang dipakai. Di luar court, kedengaran sorakan pelajar yang tidak bermain.
            Mata segera mencari pemain sepasukan yang kosong. Aishhh. Semuanya terkepung. Tak reti keluar untuk cari ruang ke?
            “Una!”
            Bola dibaling kearah teman yang menjadi GA. Nasib baiklah Una melompat terlebih dahulu. Amal berlari masuk ke kawasan gol pihak lawan namun dia tak mampu masuk kedalam kawasan D memandangkan dirinya adalah center.
            Dia melihat Una juga terkial-kial mencari orang yang kosong. Amal mendengus. Matilah kalau aku je nak tolong ambil bola. “Pecah!” dia menjerit apabila melihat mereka berkumpul di satu tempat sahaja.
            Seperti baru tersedar, rakan-rakanya segera berlari ke segenap arah dan membuatkan pertahanan pihak lawan berpecah. Una nampak GS pasukanya iaitu Shahirah yang tidak dikawal.
            “Shirah!” dia membaling kearah Gol Shooter yang tinggi lampai itu. Tepukan kedengaran apabila bola berjaya ditangkap. Pelajar di tepi mulai memberi kata-kata semangat untuknya menjaringkan gol dan Shahirah berjaya.
            Amal high five Una. Nasib baiklah ada Una. Amal membetulkan bit yang sedikit terangkat dan menarik bajunya untuk panjang ke bawah. Aduh. Lama sungguh tak main Bola Jaring. Stamina memang out. Urat-urat pun sudah terdengar bunyi yang tidak sepatunya. Inilah kesanya kerana meninggalkan sukan agak lama.
            10 minit kemudian, permainan ditamatkan dengan kumpulan Amal menjadi pemenang. Dia dan Una segera berlalu kearah beg sebelum meneguk mineral yang sediakan. Amal bersila ditepi gelanggang sebelum menghilangkan lelah yang dirasa ketika ini.
            “Seronoknya. Lama kita tak bersukan macam ini ‘kan?”
            Amal mengangguk. Memandangkan dirinya tak sihat, mama memang melarang untuknya mengambil suka sebagai aktiviti ko-kurikulum. Namun ada juga beberapa sukan yang dimasukinya tanpa pengetahuan mama.
            Una menoleh ke arah Amal yang nafasnya masih tidak tenang. Dia tersenyum. “Habistu? Kantoi tak?”
            Ketawa kuat dia apabila Amal menceritakan perihal mamanya membuat sumbangan di hospital yang sama tempat pakcik Hussain. Farah yang kebetulan ada pula menegurnya. Memang kelabut kabut Amal waktu itu.
            “Nasib baiklah tak ada yang perasan. Aku minta tolong Farah untuk rahsiakan. Sampai sekarang, aku taktahu macam mana nak beritahu mama”
            Una menghela nafas. “Kau kena beritahu juga, Mal. Lama-lama akan kantoi juga. Baik kau beritahu dulu. Mama kau tidaklah kecewa sangat”
            Amal hanya mampu mengangguk. Dia sebenarnya masih tak punya kekuatan. Tidak tahu bagaimana reaksi yang bakal mama berikan.

****************************

            “Kau nak pergi hospital lagi ke?” Una menyoal sewaktu mereka sudah hendak berangkat pulang. Amal mengangguk. Ada sesuatu yang menariknya ke sana. Walaupun mereka bukan saudaranya namun Amal selesa dengan Farah. Pakcik Hussain pula sentiasa membuatnya ketawa. Seolah-olah mereka adalah keluarga.
            “Kau ni. Dedicated sungguh. Tak penat ke?”
            Amal hanya tersenyum. Mereka berjalan menyusuri koridor sebelum melihat susuk tubuh seorang lelaki bersandar di dinding sambil menyeluk saku seluar. Pose kalah model. Beberapa pelajar perempuan yang melintasinya tersenyum-senyum.
            “Aku teringin nak makan chicken chop pula. Kau taknak ikut ke? Aku belanja”
            “Taknaklah aku. Kau selalu suruh aku makan banyak-banyak sampai nak pecah perut aku dibuatnya”
            Una ketawa kuat. “Sebab kau cekeding sangat. Makan pun sikit betul. Macam manalah badan nak naik?”
            “Aishh. Kau membebel mengalahkan mama” Una mencebik. Amal menjelir lidah. Mereka kemudian sama-sama ketawa.  
            “Oh mak” langkah berhenti tiba-tiba apabila lelaki itu tiba-tiba berdiri dihadapan lalunya. Dia mengangkat sedikit cap yang dipakai. Amal kaget sekejap. Una paling terkejut.
            “Ka….Kai”
            Amal telan air liur. Kenapa tiba-tiba dia berdiri depan ni? Tak nampak ke aku dengan Una sekarang?
            Kai menoleh. Banyak yang ingin disoal namun tidak boleh di rumah. Mereka perlu tempat yang tidak ramai orang. “Dah habis kelas?” dia menyoal tanpa riak. Amal kelu sekejap sebelum mengangguk laju.
            “Ikut aku”
            Dia menoleh dan berlalu. Terasa macam baru dilanda garuda. Mereka sama-sama terdiam. Una menoleh segera kearah Amal dengan wajah bingung. Amal hanya mampu memberi sengihan dengan rasa bersalah.
            “Nanti aku ceritakan. Jangan salah sangka ye. Esok kita jumpa dan aku cerita. Bye bye!” dia melambai tangan sebelum berlari dengan tergesa-gesa kearah kereta Kai sebelum lelaki itu membebel kepadanya.

***********************

            Sesekali lelaki itu direnung. Dia nampak tenang memandu kereta tanpa menoleh. Amal melihat jam ditangan. Jika dikira dari saat kereta bergerak, hampir 10 minit mereka diam tidak bersuara. Memang kekok sangat. Bila Kai datang mood taknak bercakap, memang mati kutu nak mulakan perbualan.
            Tapi kenapa dia nampak lain bila dengan kawan-kawan dia? Kenapa dia boleh jadi normal dengan orang lain? Kadang-kadang, hairan juga. Kai ada 2 personaliti ke? Tapi along, mama dan papa macam okay je. Aku seorang je yang rasa tak okay ke?
            Keluhan dilepaskan. Dia harus ke hospital sekarang. Ke mana Kai nak bawa aku ni? Dia kembali menumpukan perhatian ke jalan raya. Langsung tak mampu meneka ke mana arah tuju mereka ketika ini.
            Dia masih diam. Langsung tak bersuara untuk memberitahu apa-apa. Amal semakin bosan. “Ke mana kita?”
            Lelaki itu dipandang. “Entah”
            Wajah Amal berubah. Entah? Ennnntah? Apa kena dia ni? Bibir diketap menahan perasaan. Dia ingat aku doll ke suka hati je bawa kesana kesini?
            “Amal ada hal petang ni. Boleh beritahu kita nak kemana tak?”
            Kali ini Kai menoleh. Tiba-tiba dia membelok kereta ke bahu jalan. Tergamam Amal dibuatnya apabila kereta berbunyi sedikit apabila membrek tiba-tiba. Sebaik kereta berhenti, dia memandang Kai. Nafas turun naik menahan marah.
            “Dah gila ke?” kerana terkejut, dia tak mampu mengawal nada suara. “Aku tahu apa yang kau cuba lakukan”
            Amal mendengus. Cakap berbelit-belit. Cuba straight to the point je. Tak boleh ke? “Apa dia? Boleh cakap terus-terang tak? Kalau mama tahu macam ni Kai bawa kereta. Dia mesti marah”
            Kai diam sekejap. Apabila Amal membahasa nama untuknya dan dipanggil Kai untuk dirinya, dia nampak kecomelan yang orang lain tak nampak. Kai menggeleng, pantas. Bukan sekarang Kai!
            “2 bulan ni kau ulang-alik ke hospital. Kenapa? Apa yang kau cuba sembunyikan?”
            Amal tergamam. Macam mana Kai tahu? Dia dah buat semuanya untuk sembunyikan aktivitinya itu. Kai menoleh memandang tepat kearah Amal. Dia tahu tekaanya tepat apabila melihat wajah Amal berubah sedikit.
            “Ke….kenapa?”
            Kai mengawal senyuman. Amal takkan mampu berbohong. Dia bukanya kenal budak ni semalam. “Kau jumpa siapa? Beritahu aku terus-terang”
            Air liur ditelan dengan rasa kelat. Dia tahu dirinya tak boleh berbohong lagi. Kai dah tahu semuanya. Hanya mahu dia mengaku sahaja.
            “Orang” perlahan dia menjawab. “Siapa?”
            Kai memandangnya tajam. Amal menghela nafas. Dia tahu jika dirinya bertentang dengan Kai, lelaki itu akan tahu dengan serta-merta.
            “Kawan. Amal kenal sewaktu di hotel dahulu”
            “Hotel?”
            Amal mengangguk. “Waktu sambut hari jadi Kai dahulu”
            Kai diam semula. Dia sebenarnya tidak tahu lebih lanjut namun hasil daripada pemerhatianya selama ini adalah Amal kerap ke hospital untuk bertemu seseorang.
            “Kenapa? Kau bukanya mesra sangat dengan orang luar”
            Amal memandangnya tajam. Kai tersedar apabila melihat wajah Amal memandangnya dengan rasa tak puas hati. “Maksudnya?”
            Mereka diam sekejap. Amal merenung jauh ke jalan raya yang sedikit lengang. Kai pula lebih banyak melayan perasaan sendiri.
            “Kai” dia memanggil tiba-tiba. “Hmmm
            “Dia cakap muka kami sama”
            Kai segera menoleh. Kerutan jelas didahi. Jelas dia tak faham dengan apa yang Amal cuba beritahu. Amal yakinkan diri untuk meluahkan semuanya. Walaupun mereka tidak serasi namun entah kenapa dia rasa selesa berbual dengan Kai berbanding along.
            “Nama dia Farah. Amal jumpa dia dan dia kata muka Amal sama dengan Alin. Kawan baik dia yang kemalangan 3 tahun lepas. Bila Amal tengok gambar Alin pun Amal akui. Kami sangat serupa sehingga ianya jadi menakutkan”
            Amal diam sekejap. Masih terbayang saat pertama kali Farah tunjukkan gambar Alin. Menggeletar tanganya melihat mereka yang seperti pantulan cermin. Sangat serupa sehingga Amal merasa mereka seperti kembar.
            “Tapi Farah ragui kemalangan Alin. Sewaktu kemalangan, kereta Alin terbakar teruk. Kata Farah, Alin tak ada lesen memandu pun. Mayat Alin juga tak mampu dikenal pasti kerana rentung teruk. Bukti pun sekadar IC yang tidak terjejas langsung”
            Dia menoleh kearah Kai. “Kai tak rasa pelik ke?”
            Kai masih diam. Sebenarnya, dia sendiri turut merasa curiga apabila mendengar cerita Amal tadi. Terlalu banyak kebetulan. 3 tahun? Itu adalah sewaktu mereka bertemu Amal. Wajah yang serupa? Jika sekadar pelanduk dua serupa sekalipun, pastinya tidak seiras seperti yang Amal beritahu.
            “Kau rasa kau Alin?”
            Amal menunduk sedikit wajah. Dia masih tak pasti kerana tiada bukti kukuh yang mampu menyakinkan dirinya ketika ini.
            “Amal tak ingat apa-apa” perlahan dia menjawab. Kai kembali diam. Melihat Amal sekarang, kenangan 3 tahun lepas berlayar di minda.  

2 comments:

  1. ni mini novel ke novel....sbb rs cam cepat je persoalan nak terjawab...w/pun bila dipusing kiri kanan depan blakang cite ni nanti hehhehe

    ReplyDelete