Kuzer bergegas turun ke bawah
apabila terdengar seperti seseorang menangis. Minda terus mengatakan bahawa itu
adalah tangisan Amal yang membuatkan dia meninggalkan semua kerjanya untuk
turun ke bawah.
Dibawah, dia bertemu dengan ibu Siti
yang turut cemas. “Amal mana?”
“Dekat luar. Dengan Kai”
Mereka berdua bergegas ke luar rumah
dan melihat Amal sudah tertidur sambil Kai menepuk belakangnya dengan lembut.
Kuzer mengurut dada sementara ibu Siti menarik nafas lega. Risau juga bila
mendengar Amal menangis tadi.
Kuzer membawa langkah menghampiri 2
adiknya itu. Dia berdiri dihadapan Kai yang masih tidak menyedari kehadiranya.
“Kenapa?”
“Shhh.
Dia dah tidur?”
Kuzer berlalu kearah Amal. Nampak
macam dah nenyak. Dengan rambut yang menutupi mata. Dia menyelak sedikit dan
melihat sisa airmata di pipi. Terasa macam dihempap sesuatu setiap kali melihat
Amal menangis.
Perlahan, kepala Amal digosok
lembut. Amal akan sentiasa menjadi adik kesayanganya. “Nyenyak dia tidur. Letih
agaknya”
“Ibu, siapkan katil Amal. Kai bawa
dia ke bilik sekarang”
Ibu Siti mengangguk sebelum bergegas
melaksanakan arahan yang diberi. Penuh berhati-hati, Kai merenggangkan pelukan
sebelum mengendong tubuh kecil Amal yang tertidur sampai tak sedar apa yang
berlaku.
Kuzer mengikut dibelakang dalam
langkah berjaga-jaga agar kepala Amal tidak terhantuk apa-apa. “Hati-hati.
Tangga”
Perlahan-lahan, dia melangkah tangga
naik ke tingkat dua. Aishh. Berat
juga budak ni. Makan apa hah? “Okay tak? Along tolong nak?”
Kai menggeleng. Dia takut Amal
terjaga. Lagipun, mereka sudah berada di depan bilik Amal. Pintu sudah sedia
dibuka oleh ibu Siti.
Berhati-hati Kai meletakkan Amal
diatas katil dan kemudian ibu Siti menyelimutkan tubuh itu. Kuzer pula membuka
penghawa dingin. Suasana sepi seketika kerana masing-masing melihat wajah tidur
Amal ketika ini.
“Teruk ibu dengar dia menangis tadi.
Sampai tak cukup nafas. Apa yang berlaku sebenarnya?”
Rambut hadapan Amal diselak sedikit.
Kasihnya tumpah untuk gadis ini. Walaupun mereka baru bertemu namun ibu Siti
dah menganggap Amal seperti anaknya sendiri.
Kai melepaskan keluhan, berat. Dia
memandang Kuzer yang berdiri disebelah. “Dia dah tahu yang dia bukan anak
kandung mama” perlahan dia memberitahu takut-takut Amal terjaga.
Kuzer tergamam. Dia memandang Kai
yang sekadar mengangguk. “Well. Sepatutnya
dia memang tahu. Kita tak boleh rahsiakan perkara ini selama-lamanya”
Suasana kembali sepi. Sebab itu Amal
menangis teruk tadi? Kali ini, Kuzer pula yang mengeluh. “Kasihan Amal. Tentu
dia terkejut sangat”
Ibu Siti mengusap pipi Amal dengan
lembut. Dia tahu pasti sukar untuk Amal terima semua ini. “Dia ada tanya pasal
keluarga kandung dia. Katanya, dia rahsiakan semua ini sebab tak mahu mama
terluka. Itu yang sampai menangis tu. Dia taktahu apa yang nak dibuat sekarang”
Kuzer memandang Amal yang bergerak sedikit.
Dia duduk dihujung katil sebelum membetulkan selimut Amal. Inilah perkara yang
paling dirisaukan oleh mereka. Sebab itu juga mama dan papa mahu merahsiakanya.
Tapi sekarang, Amal tahu dengan sendirinya. Tiada apa yang perlu dirahsiakan
lagi.
“Dia tetap Amal. Dia tetap adik
along. Anak perempuan mama dan papa. Amal tak perlu buat apa-apa sebab tiada
apa yang akan berubah”
Kuzer bersuara, tegas. Itulah yang
akan dilakukan. Amal akan menjadi adik mereka selama-lamanya. Kai hanya diam
memerhati. Dia tahu along akan jadi seperti ini hanya apabila membabitkan Amal.
“Ibu setuju. Amal dah macam anak ibu
sendiri. Seperti Datin, ibu sendiri inginkan anak perempuan dan Allah berikan
Amal kepada kita. Lagipun, sehingga sekarang keluarga kandungnya tidak dijumpai
‘kan?”
Dia memandang along dan Kai.
Masing-masing hanya diam. Kuzer memandang wajah Amal dengan penuh rasa kasih.
Entah kenapa, dia terlalu menyayangi gadis ini. Walaupun dia hadir sekejap
sahaja namun sikap manjanya dan suka membuat orang ketawa membuatkan dia
disenangi semua orang.
Mungkin juga kerana dia tak punya
adik perempuan. Kehadiran Amal sememangnya menceriakan keluarga mereka.
“Kai” dia bersuara, serius sekali.
Kai bergerak sedikit menghampiri. “Walauapapun yang berlaku, kita harus lindungi
Amal. Along nak kamu sentiasa perhatikan dia sewaktu di kolej. Ambil tahu
mengenai kegiatan dia. Jangan benarkan sesiapapun menyakiti dia”
Kai sekadar mengangguk. Memang itu
yang dilakukan selama ini walaupun secara diam-diam. Ibu Siti tersenyum bangga.
Kali pertama lihat along serius seperti ini. Pastinya, along sendiri dah
menganggap Amal seperti adiknya.
“Amal adik along selama-lamanya.
Along takkan benarkan sesiapapun melukai Amal!”
Dia berjanji dengan diri sendiri.
Cukuplah tangisan Amal malam ini. Sesiapapun takkan membangkitkan hal ini lagi.
*******************************
Pintu wad dibuka dengan senyuman.
Dia melihat pakcik Hussain sudah siap sambil duduk diatas kerusi roda. Amal
bertemu pandang dengan Farah yang sudah menanti.
“Dah siap?”
Mereka sama-sama mengangguk. Amal
ketawa kecil sebelum menghampiri mereka. Dia mengambil tempat Farah sebelum
menyorong kerusi roda pakcik Hussain keluar dari wad. Hari ini mereka ambil
keputusan untuk membawa pakcik Hussain mengambil udara segar di luar hospital.
Menurut kata doktor, pakcik Hussain dibenarkan untuk pulang keesokan harinya.
“Buat apalah kamu susahkan diri bawa
pakcik keluar. Kamu berdua pasti letih lepas balik dari kerja dan kolej”
Amal dan Farah hanya tersenyum.
Mereka masuk ke dalam lif yang terbuka sebelum Farah menekan butang paling
bawah.
“Bukan selalu. Kata doktor, pakcik
harus hirup udara segar juga. Untuk tenangkan fikiran dan lapangkan dada.
Jangan berfikir banyak sangat”
Pakcik Hussain tersenyum. Bebelan
Amal mengingatkan dirinya kepada Alin. Pasti Alin akan mengatakan hal yang
sama. Mereka kemudian tiba di lobby hospital
yang ramai dengan orang. Amal menyorong kerusi roda pakcik Hussain untuk keluar
menuju ke Taman Botanical hospital.
Terdapat ramai juga pesakit di luar
untuk menghirup angin segar. Mereka memberhentikan langkah berhampiran sebuah
kerusi kosong.
“Macam mana? Lebih baik bukan?” Amal
memandang pakcik Hussain. Lelaki itu memberi senyuman. Amal turut tersenyum.
“Terima kasihlah, Amal. Kamu selalu
sangat jenguk pakcik disini. Isteri dengan anak tiri pakcik pun tak buat macam
tu”
Farah diam sekejap. Amal masih
tersenyum. “Amal dah anggap pakcik macam ayah Amal sendiri. Jangan risau. Amal
tak letih pun. Bukanya buat apapun di kolej tu”
Pakcik Hussain mengangguk. Sukar
sekali untuk mengingati diri sendiri bahawa Alin sudah tiada apabila melihat
Amal sekarang. Namun pasti ada hikmah disebalik semua ini. Walauapapun, dia
sangat bersyukur dengan keadaan sekarang.
Mereka kembali memandang kearah
sekumpulan kanak-kanak yang asyik bermain bola walaupun berpakaian hospital.
Seolah-olah mereka terlupa mengenai penyakit yang mereka hidapi apabila mampu
bermain dengan gembira seperti itu.
Melihat mereka, kenanganya sewaktu
di hospital menjelma. Sebaik sedar, Amal menjadi murung. Tiada apa yang lebih
menakutkan daripada sedar dan merasa otak sendiri tiba-tiba kosong. Dia
langsung tidak mengingati apa-apa termasuklah namanya sendiri.
Pelbagai usaha yang doktor Harith
dan along lakukan. Mama dan papa juga. Walaupun mereka adalah orang asing namun
tidak pernah dirinya dibiarkan sendirian. Sehinggalah dia membuka hati apabila
mama memeluknya bersama tangisan sewaktu dirinya tersasul memanggil mama
berbanding Datin. Ketika itulah Amal sedar bahawa mereka ikhlas menjaga dan
menyayangi.
“Awak mengelamun apa?” Farah
tiba-tiba menyoal. Menyedarkan dirinya daripada kenangan silam. Amal hanya
tersenyum.
“Kenangan. Awak selalu teringatkan
Alin?”
Farah diam sekejap. Kemudian dia
mengangguk dengan senyuman nipis. “Selalu. Tambah lagi kalau saya rindukan dia.
Alin sahabat karib saya. Kami berkongsi segala-galanya. Sepatutnya kami
sama-sama bekerja di hotel itu. Tapi Allah lebih sayangkan dia. Nasib baiklah
ada Naim. Tidaklah saya kesunyian”
Amal mengangguk. Dia mampu lihat
rasa kasih itu walaupun tidak diberitahu. Punya sahabat dan papa yang terlalu
menyayangi sehingga mereka terkesan akibat kehilanganya. Alin sememangnya
bertuah. Amal yakin Alin seorang yang baik. Jika tidak, pastinya dia takkan
punya orang-orang seperti Farah dan pakcik Hussain yang masih menangis walaupun
3 tahun sudah berlalu.
“Alin bertuah punya kawan seperti
awak, Farah” Amal bersuara, ikhlas. “Awak tak ada kawan?”
Amal hanya tersenyum. “Sebelum ini
mungkin tak ada. Tapi saya ada seorang kawan di kolej. Walaupun baru bertemu
tapi rasa macam kami dah lama berkawan. Una banyak membantu saya menghadapi
masalah peribadi”
“Masalah peribadi?”
“Saya ada penyakit yang cepat panik
dan membawa kepada pengsan jika berada di tempat yang ramai orang. Kecuali jika
bersama dengan keluarga saya”
Farah kelihatan terkejut. “Tapi awak
okay je dekat hospital ni?”
Amal tergelak kecil. “Apa yang awak
tahu? 3 tahun saya berjaya tipu minda sendiri. Sebenarnya, itu bergantung
kepada situasi. Contohnya waktu SPM. Oleh sebab saya ambil tutor dan berlajar di rumah, saya sedikit panik apabila harus
mengambil SPM disekolah dengan beratus pelajar yang lain”
Dia cuba mencerna apa yang Amal
cakapkan walaupun agak pening. Amal kembali tersenyum. “Jangan risau. Keadaan
saya semakin okay selepas masuk hospital. Kata doktor, mungkin sebab saya lama
tidak berada di tempat awam. Ianya buat saya panik. Sebab itulah, papa suruh
saya masuk kolej walaupun ditentang mama. Papa nak saya biasa dengan orang
ramai”
Kali ini baru dia mengangguk. “Kenapa
Amal ambil tutor dirumah?” kali ini
pakcik Hussain pula menyoal. Sedari tadi dia hanya mendengar sahaja perbualan
mereka.
“3 tahun lepas saya alami satu
kemalangan yang membuat saya hilang ingatan. Apabila sedar, saya alami
kemurungan pula. Banyak yang mama dan papa lakukan untuk buat saya seperti
sekarang. Kerana risau jika saya kembali murung, mama mahu saya sentiasa
disampingnya. Sebab itulah dia mengupah tutor
ke rumah”
Farah sedikit terkejut. 3 tahun
lepas Amal kemalangan dan hilang ingatan? “Mama awak sekarang. Bukan mama
kandung awak ke?” dia menyoal pantas. Perlahan-lahan Amal mengangguk.
“Saya hilang semua ingatan
termasuklah nama sendiri. Memandangkan tiada kad pengenalan yang dijumpai,
mereka alami jalan buntu. Mama pernah siarkan berita mengenai saya di akhbat
takut-takut keluarga kandung saya mencari. Tapi sudah 3 tahun berlalu. Masih
tiada apa-apa. Mungkin mereka sendiri yang membuang saya”
Amal ketawa, perit. Mengenangkan
keluarga kandung membuangnya, memang sakit. Mengenangkan dia adalah anak yang
tidak diingini. Setiap kali itu juga hatinya dihiris nipis. Jika mereka
sayangkan dirinya, mereka akan mencari. 3 tahun adalah masa yang lama. Mana mungkin
mereka taktahu dimana dirinya sekarang?
“Amal!” Farah memegang tanganya
tiba-tiba. Amal tersentak. “Awak nak tolong saya tak?”
Amal sedikit risau melihat Farah
sekarang. Dia memandang pakcik Hussain yang turut memberi reaksi yang sama
denganya. “To…tolong apa?”
Farah tersenyum. Hatinya kuat
mengatakan semua ini benar namun dia perlukan bukti kukuh untuk membenarkan
andaianya selama ini.
***************************
“Semuanya along dah uruskan. Mereka
tengah tunggu kita dekat sana”
Mama mengangguk. Amal yang duduk
disebelah hanya mendengar. Setiap bulan, mama akan ke hospital untuk memberikan
hadiah ataupun apa-apa bantuan. Semuanya dilakukan kerana ingin berterima kasih
kepada semua yang merawatnya dahulu.
“Pastikan semuanya cukup. Mama
taknak ada kes macam bulan lepas. Mama tak suka. Kita nak bagi sebab ikhlas.
Bukanya memilih”
Kuzer mengangguk. Bila mama dah
masuk mood serius, memang mereka harus lakukan kerja yang
betul. Dia mengerling ke arah Kai disebelah.
“Tiada media yang hadir?”
Kai mengangguk. Dia sudah uruskan
semua itu. Kuzer menghela nafas lega Dia
kemudian membelok masuk ke dalam perkarangan hospital. Kelihatan lori yang
membawa barang sudah sampai terlebih dahulu.
Amal yang memandang ke luar,
tergamam. Ini ke hospital yang merawatnya? Dia memerhati sekeliling sementara
along memparkir kereta. Air liur terasa tidak mampu ditelan sekarang ini.
“Mari sayang” suara mama yang
memanggil mengejutkan dirinya. Amal mengangguk. Dia turun bersama mama dan
kehadiran mereka disambut oleh beberapa orang atasan hospital.
“Selamat datang, Datin”
Amal sekadar memberi senyuman
disebelah. Dia memandang wajah Kai yang lebih mesra berbanding selalu.
Kadang-kadang, hairan juga. Apalah yang seronok sangat tayang muka tak ada
perasaan tu? Apa yang dia dapat agaknya?
“Saya akan suruh pekerja agihkan
sekarang. Boleh?”
“Boleh. Sekarang adalah waktu makan
pesakit”
Datin Nora mengangguk. Ini salah
satu cara dia memberi semula kepada mereka yang membantunya dahulu. Dia banyak
berhutang budi dengan para doktor dan jururawat disini kerana tidak jemu
membantu Amal sehingga Amal pulih.
“Amal” tanganya dipegang. “Ye, ma”
“Inilah doktor yang rawat Amal dulu.
Harith. Ingat ‘kan?”
Amal memandang doktor muda yang
bercermin mata dihadapanya itu. Dia memberi senyuman. Amal membalas. Segera dia
mengangguk. Mana mungkin dirinya lupa?
“Saya gembira lihat Amal sudah pulih
sekarang” Amal melebarkan senyuman lagi. “Terima kasih sebab doktor banyak
bantu saya”
Doktor Harith hanya tersenyum. Gadis
ini sememangnya bertuah. Walaupun mereka tidak punya hubungan darah, keluarga
Datuk Megat Akashah menyayangi Amal terutamanya Datin Nora.
“Oi!” Kuzer menepuk bahu doktor
Harith. Mereka ketawa besar. “Along! Apa tegur orang macam tu?”
Kai tersenyum bersama gelengan.
Harap je sulung. Tapi perangai tak berubah. Along beri sengihan nakal. Amal
ketawa kecil.
“Marilah. Kesian pula mereka nanti”
Mereka berjalan masuk ke dalam
hospital. Amal sedikit risau. Bagaimana kalau bertemu Farah? Macam mana kalau
Farah terkeluar cerita dirinya sering kesini? Amal masih tidak memberitahu
apa-apa tentang Farah dan pakcik Hussain kepada mama dan papa.
***************************************
“Inilah ketua jururawat yang melayan
semua karenah Amal waktu Amal sombong dengan mama dulu”
Kak Shidah ketawa. “Mama” Amal
memaut lengan mama dengan rasa malu. Datin Nora ketawa, kecil. Sengaja mahu
mengusik anak kesayanganya ini.
“Tapi sekarang saya nampak Amal yang
sangat sayangkan datin. Beruntung Datin ye?”
“Tentulah. Amal budak baik. ‘Kan,
sayang?”
Darah terasa menyerbu ke muka. Kak
Shidah masih tersenyum. Ala mama ni. Buat malu je. Datin Nora mengusap rambut
Amal dengan lembut.
“Dia banyak tolong mama. Dia juga
orang pertama yang dengar suara kamu”
Kak Shidah mengangguk. Terasa
seperti semalam sahaja dia bertemu dengan gadis comel ini. Waktu itu, memang
sombong habis. Langsung tak mahu bercakap dengan orang. Mungkin kerana
kemurungan yang dialaminya. Namun selepas Amal membuka hatinya, dia adalah
gadis yang disayangi semua orang di hospital ini.
“Amal minta maaf ye, kak. Tentu Amal
banyak susahkan akak dengan semua orang disini”
“Eh, taklah. Kami seronok
sebenarnya. Amal ni macam virus. Bawa kegembiraan kepada semua orang. Doktor
Harith tu sampai jenguk Amal dulu baru buat kerja sebab nak ambil semangat
Amal”
Amal hanya mampu tersenyum. Dia
berterima kasih kepada mereka semua yang tidak jemu-jemu membantunya walaupun
dengan perangainya ketika itu.
“Akak lega bila kamu dah semakin
sihat. Okaylah, akak kena pergi kerja balik. Gembira jumpa kamu Amal. Kalau
rajin, selalulah jenguk sini”
Dia sekadar mengangguk. Terlalu
banyak jasa kak Shidah yang tak mampu dibalas. Amal menoleh dan melihat mama
tersenyum.
“See?
Anak mama ni memang kesayangan ramai orang”
Tiba-tiba sahaja mama memeluknya
erat. Amal sedikit terkejut namun dibiarkan sahaja. Sebenarnya, ini cara mama
menunjukkan kasih-sayangnya. Dia tidak segan-segan mencium Amal ataupun
memeluknya walaupun di khalayak ramai.
“Ehem” Kai berdiri sambil menyeluk
saku seluar. Amal merenggangkan pelukan dengan pantas. Mama tarik muncung.
“Mama tak puas nak bermanja dengan kamu lagi”
Kai hanya mampu menggeleng. “Ma, ada
orang nak cakap” dia memberitahu tanpa nada. Mama melepaskan keluhan. “Iyalah.
Amal jangan pergi mana-mana”
Amal hanya mengangguk. Kemudian dia
tergeleng sedikit. Kai menjuling mata. Kasih-sayang mama untuk Amal memang
boleh buat orang lain cemburu. Nasib baiklah dirinya lelaki dan dia juga faham
sebab mama seperti ini.
“Along mana?”
“Berbual dengan doktor Harith.
Makanan dah diagihkan semuanya?”
Amal mengangguk. Dia menghala kotak
kosong kearah Kai. Lelaki itu sekadar mengangguk. “Amal!”
Mereka sama-sama menoleh. Tergamam
sekejap melihat Farah melambai tangan. Amal membalas dengan senyuman kekok. Kai
kerut dahi. Sejak bila budak ni agak kawan dekat hospital?
Segera Amal berlari mendapatkan
Farah. Senyuman diukir. “Jadi, mama awaklah yang selalu beri makanan percuma
dekat hospital ni?”
Amal hanya memberi sengihan. Farah
semakin kagum. Patutlah Amal seperti ini. Dia punya ibubapa yang sangat bagus.
“Awak dah dapat makanan untuk pakcik Hussain?”
“Sudah. Tapi rasanya ada lelaki yang
turut bagi makanan untuk saya. Kacaknya. Abang awak ke?”
“Oh. Rasanya”
Dia kemudian ketawa tiba-tiba. Farah
masih tersenyum. Dia masih menunggu hasil keputusan untuk membenarkan segala
andaianya selama ini.
“Emmm,
saya nak minta tolong sikit” Amal bersuara, agak serba-salah. Farah segera
mengangguk. “Awak…..rahsiakan tentang perjumpaan kita boleh? Saya….masih tak
beritahu mama dan yang lain”
Farah mengangguk faham. Dia tahu
Amal didalam dilemma sekarang. “Jangan risau. Rahsia awak selamat dengan saya”
Amal menarik nafas lega. Farah
kembali tersenyum. “Ehhhh, Amal ada kawan?” mereka menoleh kearah suara yang
menegur itu. Amal kaget sekejap melihat along berdiri berhampiran mereka dengan
senyuman yang mencairkan Farah sekarang ini.
“Along! Sibuklah. Pergilah sembang
dengan doktor Harith”
Kuzer menggeleng. Sebenarnya dia
hairan juga lihat Amal berbual seperti sudah berkawan lama dengan gadis
dihadapanya ini. Setahunya, Amal hanya ada seorang kawan di kolej.
“Kalau iya pun, kenalkanlah kawan
Amal ni” kening dijungkit, sengaja ingin mengusik adiknya itu. Farah menahan
rasa malu ketika ini. Beruntungnya Amal. Abang-abangnya semua kacak-kacak
belaka. Namun rasanya lelaki seorang lagi tu lagi kacak.
Amal menghela nafas. Dia tahu along
takkan berganjak selagi permintaanya tidak dituruti. “Ini Farah. Kawan Amal.
Kami jumpa waktu dekat hotel tempat kita sambut hari jadi Kai dulu”
Kuzer mengangguk. Nampak macam baik
orangnya. Pertama kali dia lihat Amal tersenyum dan rapat dengan orang lain
selain mereka didalam keluarga. Menarik!
“Saya Kuzer. Along Amal. Farah boleh
panggil along juga”
Tangan dihulur. Mata Amal sedikit
terbeliak. “Along!” namun Farah sudah terlebih dahulu menyambut tangan yang
along hulurkan.
“Saya Farah. Gembira jumpa a….long”
dia rasa kekok. Memandangkan diri adalah anak tunggal jadi dia cemburukan Amal
yang punya 2 orang abang yang pasti melindunginya sedaya mereka.
Kuzer mengangguk. “Itu angah Amal.
Tapi Amal panggil Kai je. Walaupun saya taktahu kenapa”
Mata kenyit nakal. Farah tergamam
seketika sebelum ketawa sambil menoleh ke arah lelaki yang memberinya bungkusan
sebentar tadi. Kai namanya? Sesuai sangat! Walaupun tak senyum tapi dia masih
nampak kacak.
“Okaylah. Along nak sambung berbual
dengan Harith. Jumpa kamu nanti” pipinya ditarik lembut sebelum berlalu.
“Along!” Aishh. Pipi digosok dengan
rasa geram. Dia menoleh apabila mendengar Farah tergelak kecil.
“Awak ada abang-abang yang sangat
baik”
Amal memberi senyuman paksa. Baik? Huh? Awak tak ada waktu dia orang masuk mood menyakat. Terutamanya Kai! Arghhh. Sakit jiwa dan raga dibuatnya.
******************************
Nafas turun-naik. Dada terasa hendak
pecah. Peluh turun dari dahi sehingga ke pipi seperti air terjun. Baju sudah
basah sepenuhnya bersama dengan bit yang
dipakai. Di luar court, kedengaran
sorakan pelajar yang tidak bermain.
Mata segera mencari pemain sepasukan
yang kosong. Aishhh. Semuanya
terkepung. Tak reti keluar untuk cari ruang ke?
“Una!”
Bola dibaling kearah teman yang
menjadi GA. Nasib baiklah Una melompat terlebih dahulu. Amal berlari masuk ke
kawasan gol pihak lawan namun dia tak mampu masuk kedalam kawasan D
memandangkan dirinya adalah center.
Dia melihat Una juga terkial-kial
mencari orang yang kosong. Amal mendengus. Matilah kalau aku je nak tolong
ambil bola. “Pecah!” dia menjerit apabila melihat mereka berkumpul di satu
tempat sahaja.
Seperti baru tersedar, rakan-rakanya
segera berlari ke segenap arah dan membuatkan pertahanan pihak lawan berpecah.
Una nampak GS pasukanya iaitu Shahirah yang tidak dikawal.
“Shirah!” dia membaling kearah Gol Shooter yang tinggi lampai itu.
Tepukan kedengaran apabila bola berjaya ditangkap. Pelajar di tepi mulai memberi
kata-kata semangat untuknya menjaringkan gol dan Shahirah berjaya.
Amal high five Una. Nasib baiklah ada Una. Amal membetulkan bit yang sedikit terangkat dan menarik
bajunya untuk panjang ke bawah. Aduh. Lama
sungguh tak main Bola Jaring. Stamina memang out. Urat-urat pun sudah terdengar bunyi yang tidak sepatunya.
Inilah kesanya kerana meninggalkan sukan agak lama.
10 minit kemudian, permainan
ditamatkan dengan kumpulan Amal menjadi pemenang. Dia dan Una segera berlalu
kearah beg sebelum meneguk mineral yang sediakan. Amal bersila ditepi
gelanggang sebelum menghilangkan lelah yang dirasa ketika ini.
“Seronoknya. Lama kita tak bersukan
macam ini ‘kan?”
Amal mengangguk. Memandangkan
dirinya tak sihat, mama memang melarang untuknya mengambil suka sebagai
aktiviti ko-kurikulum. Namun ada juga beberapa sukan yang dimasukinya tanpa
pengetahuan mama.
Una menoleh ke arah Amal yang
nafasnya masih tidak tenang. Dia tersenyum. “Habistu? Kantoi tak?”
Ketawa kuat dia apabila Amal
menceritakan perihal mamanya membuat sumbangan di hospital yang sama tempat
pakcik Hussain. Farah yang kebetulan ada pula menegurnya. Memang kelabut kabut
Amal waktu itu.
“Nasib baiklah tak ada yang perasan.
Aku minta tolong Farah untuk rahsiakan. Sampai sekarang, aku taktahu macam mana
nak beritahu mama”
Una menghela nafas. “Kau kena
beritahu juga, Mal. Lama-lama akan kantoi juga. Baik kau beritahu dulu. Mama
kau tidaklah kecewa sangat”
Amal hanya mampu mengangguk. Dia
sebenarnya masih tak punya kekuatan. Tidak tahu bagaimana reaksi yang bakal
mama berikan.
****************************
“Kau nak pergi hospital lagi ke?”
Una menyoal sewaktu mereka sudah hendak berangkat pulang. Amal mengangguk. Ada
sesuatu yang menariknya ke sana. Walaupun mereka bukan saudaranya namun Amal
selesa dengan Farah. Pakcik Hussain pula sentiasa membuatnya ketawa.
Seolah-olah mereka adalah keluarga.
“Kau ni. Dedicated sungguh. Tak penat ke?”
Amal hanya tersenyum. Mereka
berjalan menyusuri koridor sebelum melihat susuk tubuh seorang lelaki bersandar
di dinding sambil menyeluk saku seluar. Pose
kalah model. Beberapa pelajar perempuan yang melintasinya tersenyum-senyum.
“Aku teringin nak makan chicken chop pula. Kau taknak ikut ke?
Aku belanja”
“Taknaklah aku. Kau selalu suruh aku
makan banyak-banyak sampai nak pecah perut aku dibuatnya”
Una ketawa kuat. “Sebab kau cekeding
sangat. Makan pun sikit betul. Macam manalah badan nak naik?”
“Aishh.
Kau membebel mengalahkan mama” Una mencebik. Amal menjelir lidah. Mereka
kemudian sama-sama ketawa.
“Oh mak” langkah berhenti tiba-tiba
apabila lelaki itu tiba-tiba berdiri dihadapan lalunya. Dia mengangkat sedikit cap yang dipakai. Amal kaget sekejap.
Una paling terkejut.
“Ka….Kai”
Amal telan air liur. Kenapa
tiba-tiba dia berdiri depan ni? Tak nampak ke aku dengan Una sekarang?
Kai menoleh. Banyak yang ingin
disoal namun tidak boleh di rumah. Mereka perlu tempat yang tidak ramai orang.
“Dah habis kelas?” dia menyoal tanpa riak. Amal kelu sekejap sebelum mengangguk
laju.
“Ikut aku”
Dia menoleh dan berlalu. Terasa
macam baru dilanda garuda. Mereka sama-sama terdiam. Una menoleh segera kearah
Amal dengan wajah bingung. Amal hanya mampu memberi sengihan dengan rasa
bersalah.
“Nanti aku ceritakan. Jangan salah
sangka ye. Esok kita jumpa dan aku cerita. Bye bye!” dia melambai tangan
sebelum berlari dengan tergesa-gesa kearah kereta Kai sebelum lelaki itu
membebel kepadanya.
***********************
Sesekali lelaki itu direnung. Dia
nampak tenang memandu kereta tanpa menoleh. Amal melihat jam ditangan. Jika
dikira dari saat kereta bergerak, hampir 10 minit mereka diam tidak bersuara.
Memang kekok sangat. Bila Kai datang mood
taknak bercakap, memang mati kutu nak mulakan perbualan.
Tapi kenapa dia nampak lain bila
dengan kawan-kawan dia? Kenapa dia boleh jadi normal dengan orang lain?
Kadang-kadang, hairan juga. Kai ada 2 personaliti ke? Tapi along, mama dan papa
macam okay je. Aku seorang je yang rasa tak okay ke?
Keluhan dilepaskan. Dia harus ke
hospital sekarang. Ke mana Kai nak bawa aku ni? Dia kembali menumpukan
perhatian ke jalan raya. Langsung tak mampu meneka ke mana arah tuju mereka
ketika ini.
Dia masih diam. Langsung tak
bersuara untuk memberitahu apa-apa. Amal semakin bosan. “Ke mana kita?”
Lelaki itu dipandang. “Entah”
Wajah Amal berubah. Entah? Ennnntah?
Apa kena dia ni? Bibir diketap menahan perasaan. Dia ingat aku doll ke suka hati je bawa kesana kesini?
“Amal ada hal petang ni. Boleh
beritahu kita nak kemana tak?”
Kali ini Kai menoleh. Tiba-tiba dia
membelok kereta ke bahu jalan. Tergamam Amal dibuatnya apabila kereta berbunyi
sedikit apabila membrek tiba-tiba. Sebaik kereta berhenti, dia memandang Kai.
Nafas turun naik menahan marah.
“Dah gila ke?” kerana terkejut, dia
tak mampu mengawal nada suara. “Aku tahu apa yang kau cuba lakukan”
Amal mendengus. Cakap
berbelit-belit. Cuba straight to the
point je. Tak boleh ke? “Apa dia? Boleh cakap terus-terang tak? Kalau mama
tahu macam ni Kai bawa kereta. Dia mesti marah”
Kai diam sekejap. Apabila Amal
membahasa nama untuknya dan dipanggil Kai untuk dirinya, dia nampak kecomelan
yang orang lain tak nampak. Kai menggeleng, pantas. Bukan sekarang Kai!
“2 bulan ni kau ulang-alik ke
hospital. Kenapa? Apa yang kau cuba sembunyikan?”
Amal tergamam. Macam mana Kai tahu?
Dia dah buat semuanya untuk sembunyikan aktivitinya itu. Kai menoleh memandang
tepat kearah Amal. Dia tahu tekaanya tepat apabila melihat wajah Amal berubah
sedikit.
“Ke….kenapa?”
Kai mengawal senyuman. Amal takkan
mampu berbohong. Dia bukanya kenal budak ni semalam. “Kau jumpa siapa? Beritahu
aku terus-terang”
Air liur ditelan dengan rasa kelat.
Dia tahu dirinya tak boleh berbohong lagi. Kai dah tahu semuanya. Hanya mahu
dia mengaku sahaja.
“Orang” perlahan dia menjawab. “Siapa?”
Kai memandangnya tajam. Amal
menghela nafas. Dia tahu jika dirinya bertentang dengan Kai, lelaki itu akan
tahu dengan serta-merta.
“Kawan. Amal kenal sewaktu di hotel
dahulu”
“Hotel?”
Amal mengangguk. “Waktu sambut hari
jadi Kai dahulu”
Kai diam semula. Dia sebenarnya
tidak tahu lebih lanjut namun hasil daripada pemerhatianya selama ini adalah
Amal kerap ke hospital untuk bertemu seseorang.
“Kenapa? Kau bukanya mesra sangat
dengan orang luar”
Amal memandangnya tajam. Kai tersedar
apabila melihat wajah Amal memandangnya dengan rasa tak puas hati. “Maksudnya?”
Mereka diam sekejap. Amal merenung
jauh ke jalan raya yang sedikit lengang. Kai pula lebih banyak melayan perasaan
sendiri.
“Kai” dia memanggil tiba-tiba. “Hmmm”
“Dia cakap muka kami sama”
Kai segera menoleh. Kerutan jelas
didahi. Jelas dia tak faham dengan apa yang Amal cuba beritahu. Amal yakinkan
diri untuk meluahkan semuanya. Walaupun mereka tidak serasi namun entah kenapa
dia rasa selesa berbual dengan Kai berbanding along.
“Nama dia Farah. Amal jumpa dia dan
dia kata muka Amal sama dengan Alin. Kawan baik dia yang kemalangan 3 tahun
lepas. Bila Amal tengok gambar Alin pun Amal akui. Kami sangat serupa sehingga
ianya jadi menakutkan”
Amal diam sekejap. Masih terbayang
saat pertama kali Farah tunjukkan gambar Alin. Menggeletar tanganya melihat
mereka yang seperti pantulan cermin. Sangat serupa sehingga Amal merasa mereka
seperti kembar.
“Tapi Farah ragui kemalangan Alin.
Sewaktu kemalangan, kereta Alin terbakar teruk. Kata Farah, Alin tak ada lesen
memandu pun. Mayat Alin juga tak mampu dikenal pasti kerana rentung teruk.
Bukti pun sekadar IC yang tidak terjejas langsung”
Dia menoleh kearah Kai. “Kai tak
rasa pelik ke?”
Kai masih diam. Sebenarnya, dia
sendiri turut merasa curiga apabila mendengar cerita Amal tadi. Terlalu banyak
kebetulan. 3 tahun? Itu adalah sewaktu mereka bertemu Amal. Wajah yang serupa?
Jika sekadar pelanduk dua serupa sekalipun, pastinya tidak seiras seperti yang
Amal beritahu.
“Kau rasa kau Alin?”
Amal menunduk sedikit wajah. Dia
masih tak pasti kerana tiada bukti kukuh yang mampu menyakinkan dirinya ketika
ini.
“Amal tak ingat apa-apa” perlahan
dia menjawab. Kai kembali diam. Melihat Amal sekarang, kenangan 3 tahun lepas
berlayar di minda.

best...
ReplyDeleteni mini novel ke novel....sbb rs cam cepat je persoalan nak terjawab...w/pun bila dipusing kiri kanan depan blakang cite ni nanti hehhehe
ReplyDelete