Sunday, 9 February 2014

143 ep 11

              “Arghhh”
            Stritttttt. Bunyi tayar kereta yang membingitkan telinga itu membuatkan jalan raya yang semakin sunyi itu berubah untuk seketika. Nafasnya turun naik dengan keadaan cemas yang berlaku sebentar tadi. Kenangan 3 tahun lepas berputar di minda.
            Tali pinggang keselamatan dibuka dengan segera sebelum dia tergesa-gesa membuka pintu dan keluar menghampiri gadis itu. Dia menarik nafas lega melihat gadis itu masih bernyawa walaupun dalam keadaan menggeletar ketika ini.
            Kai menghampiri sebelum menunduk sedikit. “Cik tak apa-apa?” dia menyoal, sedikit risau. Takut jika dia punya kecederan yang tidak mampu dilihat oleh mata kasar. Gadis itu kelihatan teragak-agak menurunkan tangan yang menutup telinganya sebelum kepala diangkat.
            Lisa tergamam. Dengan cahaya lampu jalan yang menyuluh lelaki itu ketika ini, sememangnya sama sekali dengan apa yang diimpikan selama ini. Dia adalah lelaki yang ditunggunya. Lelaki yang membuatnya jantungnya berdegup seperti orang gila.
            Kai memandang pelik. Apa kena minah ni? Terkejut sampai koma ke? Tapi dia masih bergerak. Apa yang dia pandang? Kai memetik jari dihadapan gadis itu. Dia kelihatan baru tersedar.
            “Awak tak apa-apa?”
            Lisa segera bangun namun kakinya yang masih lemah tidak mampu menampung badanya. Dia hampir terjatuh namun lenganya segera dipaut. Lisa menoleh. Kacaknya dia! Hati seperti ingin meloncat keluar ketika ini. Senyuman diukir dengan rasa berbunga.
            Kai menghela nafas sebelum membantu gadis itu berdiri dengan stabil. Dia memerhati tubuh gadis itu untuk mencari luka yang mampu dilihat. Syukurlah tiada apa-apa. “Awak nak ke hospital untuk lakukan pemeriksaan sepenuhnya?”
            Soalanya mengejutkan Lisa. “Oh. Tak apa. Saya okay. Awak tak langgar saya pun. Nasib baik sebenarnya”
            Kai mengangguk. Semuanya salah Amal. Kalau aku tak berangan tadi, pasti tak terjadi hal macam sekarang ni. Sudahlah aku baru nak pulih dari trauma sebab dia. Aishhh. Memang menyusahkan betul budak tu.
            “Hmm. Saya minta maaf kerana hampir melanggar awak tadi”
            Lisa menggeleng dengan senyuman. Dia seperti dipukau melihat lelaki yang sempurna ini. Semuanya cukup. Tinggi. Berkulit putih. Hidung yang mancung. Semua yang diimpikan ada pada lelaki ini. Adakah ini takdir mereka?
            “Ini kad saya. Jika awak alami apa-apa konkusi selepas ini, awak terus ke hospital. Saya akan uruskan bilnya”
            Kad berwarna emas itu diambil. Lisa melihat nama yang tertera pada kad tersebut. Megat Kairil Adam bin Megat Akashah. Sedapnya nama! Lisa tersedar apabila mendengar bunyi enjin kereta meninggalkan dirinya. Senyuman semakin lebar.
            Yes. Target sudah ditemui. Sekarang dia hanya perlu merangka rancangan untuk mendapat lelaki itu. Lisa takkan berputus asa selagi lelaki itu tidak menjadi miliknya!

***********************************************

            +aku ada dekat parkir+
            Amal bergegas keluar dari hospital mencari kereta milik Kai. Sebentar tadi, dia meminta pertolongan ibu Siti untuk menghantar pakaian baru untuk dirinya membersihkan diri. Amal sudah meminta izin mama dan papa untuk menjaga ayah sepanjang dia di hospital. Mujur mereka tidak kisah asalkan dirinya tidak mengabaikan kolej.
            Langkahnya terhenti melihat seorang lelaki sedang bersandar di pintu kereta seperti gaya seorang model sambil merenung langit yang pekat. Amal menghampiri dengan perlahan.
            “Hai”
            Kai menoleh. Amal memberi senyuman nipis dengan rasa bersalah. Kai menghela nafas. Amal nampak okay walaupun lingkaran gelap bawah mata sudah kelihatan. Selain itu, dia masih nampak seperti biasa. Kai sedikit lega.
            “Barang kau” dia menghulur beg baju yang diberi ibu Siti dengan kasar. Amal mengambil dengan ucapan terima kasih. Kai memeluk tubuh. Suasana sunyi memandangkan jam melawat sudah tamat.
            “Kau jaga sendirian ke?” dia menyoal. Kai cuba untuk tidak kedengaran risau. Amal menggeleng. “Sekali denga Farah. Banyak yang kami bualkan tadi. Farah cerita semuanya tentang Amal sebelum Amal hilang ingatan”
            Kai melihat  kegembiraan di mata Amal sewaktu berbicara tentang Farah. Kata Amal, Farah adalah kawan Alyn. Farah mengenali Amal yang mereka tidak kenali. Farah mengetahui semuanya tentang Amal sebelum kemalangan itu berlaku.
            “Kau….okay?” dia menyoal, sedikit ragu. Amal mengangguk. Dirinya harus lebih kuat untuk menghadapi semua ini. Jika tidak, keadaan akan menjadi lebih sukar untuk semua orang. “Ma…ma?”
            Kai menghela nafas. Dia sendiri tak pasti. Mama sedikit lain selepas Amal beritahu dia ingin berpindah ke rumah keluarga kandungnya semula. Malam ini adalah malam pertama mama tanpa Amal. Selalunya, mama akan menjenguk Amal di bilik terlebih dahulu sebelum tidur. Mama akan pastikan dia melihat Amal dahulu sebelum tidur tidak kira betapa lewat pun dia pulang.
            “Okay. Kau jangan risau. Pulihkan dahulu hubungan kau dengan keluarga kandung kau sekarang ini. Kau masih tak ingat apa-apa tentang diri kau sebelum kemalangan. Keadaan akan sedikit sukar. Tapi aku yakin Farah akan bantu kau”
            Amal mengangguk. Ya. Itu yang harus dilakukanya sekarang. Dia harus memandang terus ke hadapan tanpa menoleh lagi. Hidup harus diteruskan walaupun payah.
            “Oh ya. Amal baru tahu yang Amal ada ibu dan kakak tiri”
            Wajah Kai berkerut sedikit. Amal mengukir senyuman. Selama ini, dia hidup dikalangan abang-abang. Tidak dinafikan, Amal rasa teruja apabila mengetahui dirinya punya seorang kakak walaupun mereka tidak sedarah.
            “Mereka layan kau dengan baik?”
            Amal mengangguk. Walaupun sebenarnya makcik Sarah dan kak Lisa tidak menegurnya langsung namun Amal yakin dia mampu mengubah semua itu. Mereka adalah keluarganya. Pasti mereka terkejut dengan apa yang berlaku tadi.
            Kai menolak tubuh untuk berdiri. Dia memandang Amal. Hati sangat berat untuk meninggalkan gadis ini sebenarnya. 3 tahun mereka hidup seperti keluarga. Seperti mama, dia juga sukar untuk melepaskan Amal walaupun untuk kembali kepada keluarga kandungnya sendiri.
            “Jaga diri kau baik-baik. Jangan paksa diri untuk ingat semuanya. Kalau boleh, telifon mama sehari sekali. Dia akan merindui kau dan dia perlukan masa untuk lepaskan kau sepenuhnya. Kalau ada sesuatu berlaku, beritahu aku atau along. Kami masih abang kau”
            Amal mengangguk bersama rasa sebak. Dia menahan airmata walaupun kelopak mata sudah bergenang. Kai menghela nafas. Hatinya rasa sakit tiba-tiba. Seolah-olah ingin melepaskan sesuatu yang sangat disayanginya.
            “Along pesan untuk kau tak menangis. Jangan jadi cengeng kerana kami takkan disisi kau lagi. Berhenti jadi anak manja kerana kau punya keluarga untuk dijaga. Aku yakin kau boleh lakukanya”
            Amal mengangguk. Dia menunduk untuk menghalang Kai dari melihat dia menangis ketika ini. “Kau tahu yang kami sentiasa ada jika kau ada masalah. Jangan simpan semuanya sendiri seperti selalu. Walaupun aku suruh kau jadi kuat tapi kadangkala kau perlu lepaskan juga. Jadi, jika kau rasa kau tak mampu, kau boleh toleh ke belakang. Kami sentiasa ada”
            Kai melihat Amal mengesat airmatanya dengan esakan kecil. Hatinya turut sama merasa perit. Amal yang menjadi anak bongsu kesayangan mama dan papa. Amal yang menjadi adik kesayangan along dan dirinya. Sekarang, gadis itu harus berdiri diatas kaki sendiri. Sekarang, gadis itu harus berlajar untuk hidup sendiri sambil melindungi keluarganya.
            Amal tiba-tiba memandangnya dengan linangan airmata. Kai tergamam. Dadanya terasa seperti hendak pecah ketika ini. Kali pertama dia melalui perasaan seperti ini. “Kai. Amal…..Amal…..”
            Tanpa minda sempat berfikir logik. Tanpa minda memberi amaran merah. Hati terlebih dahulu membuat keputusan. Amal ditarik ke dalam pelukan. Dia sendiri tak pasti tindakanya ini kerana itulah yang ingin dilakukanya ketika ini.
            Amal tergamam. Dia mampu mendengar degupan jantung Kai yang laju. Dirinya masih terkejut dengan tindakan Kai sebenarnya namun jatuh disudut hati, dia merasa tenang. Amal merasa selamat dan tenteram.
            Kai menghela nafas. Benarkah apa yang aku rasa ini? Adakah semua ini dibolehkan? Setelah apa yang berlaku, inikah jawapan yang diberi oleh hati sendiri? Kai mengeratkan lagi pelukan. Dia sendiri tak faham apa yang berlaku sekarang. Namun apabila Amal sendiri tidak menolak, Kai juga tidak mampu berfikir dengan rasional.
            Amalina Imani. Apa yang kau dah buat pada hati aku?

*************************************************

            Baju-baju yang sudah dilipat kemas, diberi kepada mama untuk disusun didalam beg yang merupakan hadiah along sewaktu mereka bercuti di luar negara tahun lepas. Amal mampu melihat ibu Siti dan mama yang menahan perasaan sendiri namun dia berpura-pura tidak melihat kerana tidak mahu merosakkan semuanya.
            Apabila tidak mampu lagi, dia bangun menuju ke arah meja solek. Bingkai gambar yang disusun dengan teratur diatas meja itu dipandang sayu. Semuanya adalah gambar mereka sekeluarga. Ada juga gambarnya bersama along dan Kai. Betapa sukarnya untuk menerima hakikat bahawa dirinya pernah melalui semua kenangan gembira ini dan sekelip mata semuanya berubah. Dengan rasa lemah, dia mengambil semua bingkai gambar itu dan dimasukkan ke dalam beg berhampiran.
            Telinga kemudian mendengar esakan kecil. Amal menoleh melihat ibu Siti segera mengesat mata menggunakan hujung baju. Dia menghela nafas. Hari ini, Amal akan membawa ayah pulang ke rumah. Hari ini juga dia akan berpindah meninggalkan rumah ini. Sejak pagi tadi, suasana sudah muram. Walaupun along dan papa cuba untuk menceriakan semua orang namun mereka juga kelihatan terlalu berusaha. Along dan papa sanggup mengambil cuti untuk menemani dirinya hari ini.
            Dia bangun menghampiri semula 2 wanita yang sangat disayanginya itu. Amal menghela nafas melihat mama yang sedang meyusun bajunya tanpa memandang kearahnya. Tangan mama digenggam, menghentikan perbuatanya. Mama mengangkat muka memandang. Amal memberi senyuman segembira mungkin.
            “Tak perlu banyak sangat. Farah cakap pakaian Amal masih ada di rumah sana. Mereka tak sampai hati nak buang walaupun sudah 3 tahun”
            Mama hanya mengangguk. “Kamu pilihlah baju mana yang kamu nak bawa. Biar mama susunkan”
            Amal lihat mama memaksa diri untuk tidak menangis. Hatinya semakin pilu. Tapi Amal memilih untuk tidak menyoal. Dia kembali memandang ibu Siti. “3 helai ini sahaja, bu. Yang lain itu, ibu simpan semula”
            “Semua ini baju kegemaran kamu. Betul ke kamu taknak bawak?”
            Dia kelihatan terkejut. Amal mengangguk. “Tak mengapa. Ibu simpanlah. Insya-ALLAH, jika diizinkan. Amal akan pakainya lagi”
            Wajah ibu Siti berubah sedikit. Dia segera menunduk wajahnya dan kembali melipat semula. Amal merenung syiling sekejap untuk menahan diri dari menangis. Amal mahu berpisah dengan senyuman. Bukanya airmata. Dia tak mahu mama sedih mengenangkan semua ini. Amal mahu mama tersenyum.
            Sekejap sahaja, semuanya sudah selesai. Dia juga sudah habis mengemas dan memilih barang yang ingin dibawa ke rumah sana. Sebenarnya, Amal sendiri tak tahu apa yang harus dibawanya. Dia juga tak tahu bagaimana keadaan rumah itu sebenarnya. Walaupun ada sedikit rasa takut namun Amal buang jauh perasaan itu.
            Zip beg berbunyi sewaktu mama menutup beg yang sudah penuh. Dia dan ibu Siti bangun bersama-sama beg yang siap dikemas. Amal memberi senyuman apabila pandangan mereka bertembung. Tangan mama digenggam sebelum mereka mengatur langkah untuk turun ke bawah.
            Setiap saat dia berdoa untuk masa berlalu dengan perlahan. Sehingga mereka berdiri di ruang tamu. Papa, along dan Kai sudah sedia menanti. Amal mengukir senyuman apabila bertemu pandang dengan papa.
            “Sikitnya barang kamu? Tak ambil semua ke?” papa menyoal, sedikit hairan. “Amal ambil yang perlu je pa. Kalau kurang, Amal datang ambil lagi”
            Papa mengangguk. Ibu Siti mengambil beg yang ditarik dan kemudian dibawa ke luar rumah. Suasana sunyi sekejap. Mama mengeratkan genggaman tangan. Amal menoleh. Jujur, dirinya sangat berat hati untuk lalui semua ini. Terlalu banyak kenangan sepanjang 3 tahun ini. Setiap satunya sangat berharga dan bakal diingati sehingga akhir hayat.
            “Betul taknak along hantar kamu?”
            Amal mengangguk. “Ibu dah panggil teksi. Lagipun, Farah akan tunggu Amal dirumah. Along jangan risau. Amal akan telifon jika dah sampai”
            Kelihatan along juga seperti berat hati. Amal menghela nafas. Dia menoleh memandang mama yang tidak mampu lagi menahan perasaanya. Amal mengenggam kedua tangan mama dengan senyuman paksa.
            “Tak ada kata yang mampu Amal ucapkan untuk semua yang mama lakukan. Walaupun Amal bukan darah daging mama tapi mama sayang Amal seperti anak sendiri. Amal rasa sangat bersyukur. Mama ajar Amal banyak perkara dalam hidup ini. Kerana kasih-sayang mama, Amal membesar menjadi anak yang manja dan terlalu menyayangi mama”
            Mama mengukir senyuman bersama linangan airmata. Amal turut merasa sebak. “Amal sayang mama. Jangan lupakan Amal ye?”
            Tangan mama mengusap pipinya sebelum dia melihat mama mengangguk. “Mama juga, sayang. Mama sayang sangat pada kamu. Walauapapun kenyataanya, kamu tetap anak mama. Dalam hati mama, akan sentiasa ada nama Amal”
            Amal mengesat hujung mata. Dirinya harus kuat supaya mama mampu melepaskan dirinya dengan senyuman. Papa menghampiri. Bahu Amal disentuh lembut. Amal menoleh. Dia semakin sebak melihat papa memberi senyuman semangat untuknya.
            “Rumah ini sentiasa menjadi rumah kamu. Jika keadaan sedikit sukar dan kamu semakin hilang arah, pulanglah. Pintu rumah papa sentiasa terbuka untuk Amal kembali”
            Dia hanya mampu mengangguk. Ucapan papa membuatkan hatinya berasa perit sedikit. “Terima kasih, pa. Terima kasih kerana benarkan Amal berada dibawah lindungan kasih papa”
            Kemudian, along pula menghampiri. Wajahnya jelas mempamerkan apa yang dirasai ketika ini. Sekarang baru Amal sedar betapa berbezanya along dan Kai. Namun mereka berdua menyayangi dirinya seikhlas hati.
            “Along dengar kamu ada kakak tiri?”
            Amal mengangguk dengan senyuman. “Jangan sayang dia lebih dari along tahu? Along cemburu nanti!”
            Mereka sekeluarga ketawa kecil. Along menguntum senyum. “Rasa macam baru semalam kamu datang ke rumah ini. Sebenarnya, kehadiran Amal buat along gembira sangat. Sama macam mama yang inginkan anak perempuan. Along juga impikan seorang adik perempuan yang boleh along manjakan. Kai tak fun langsung”
            Dia sempat mengerling ke arah Kai disebelah yang seperti ingin mencekik dirinya ketika ini. Amal hanya mampu tersenyum. Dia tahu along sekadar cuba untuk menceriakan suasana supaya tidak terlalu sedih.
            Kuzer menghela nafas. Walau dia berat hati sekalipun, Amal harus dilepaskan dengan senyuman. Itu sahaja yang mampu dilakukan olehnya untuk lihat Amal bahagia. Mereka sekeluarga juga sudah bersedia dengan kemungkinan ini. Namun semakin hari, Amal semakin disayangi. Keadaan yang dirasakan mudah dahulu menjadi keadaan paling sukar untuk dilalui sekarang ini.
            “Jaga diri baik-baik”
            Dia tak mampu ucapkan lebih daripada itu. Kepala Amal digosok lembut untuk kali terakhir. Perkara yang sering dilakukan pada Amal walaupun adiknya itu tidak suka. Amal mengangguk.
            Mata memandang Kai yang sekadar menyeluk saku seluar memerhati disebelah along. Kai berdehem sambil menggosok belakang lehernya. “Jangan risau tentang kami. Hidup dengan gembira bersama keluarga kau”
            Amal mengangguk. Sekarang, dia sedikit memahami Kai. Lelaki itu mungkin lelaki yang kurang daripada segi kata-kata. Namun dia mengambil berat mengikut caranya sendiri. Amal tak lagi salah anggap terhadap Kai.
            “Marilah. Pasti teksi kamu dah sampai” papa akhirnya bersuara. Semakin lama Amal disini, semakin sukar untuk mereka melepaskan Amal pergi. Sebagai ketua keluarga, dia harus menjadi kuat untuk ahli keluarganya terutama isteri yang tercinta.
            “Mari”
            Tangan mama digenggam semula dan mereka berbalas senyuman.

****************************************

            Teksi yang membawa mereka bertiga berhenti dihadapan sebuah rumah teres setingkat. Amal menoleh ke luar memerhati sekeling kawasan perumahan itu. Kelihatan kumpulan kanak-kanak sedang bermain di taman permainan berhampiran. Ada juga kaum wanita yang sedang berbual sesama sendiri.
            Amal yang leka memerhati hanya tersedar apabila Farah mengetuk cermin pintunya. Dia kemudian membuka pintu lalu keluar. “Kau menung apa?”
            Hanya senyuman diberi sebelum memapah ayah yang masih didalam keadaan lemah. “Kau bawa pakcik masuk dahulu. Aku bawa barang-barang”
            Ketika membuka pintu pagar, Amal melihat makcik Sarah dan kak Lisa membuka pintu rumah. Makcik Sarah segera mendapatkan ayah sebelum membantunya memapah ayah untuk masuk ke dalam rumah.
            “Terima kasih”
            Ayah kelihatan sedikit penat. Mungkin dirinya masih memerlukan rehat yang secukupnya. Suasana menjadi kekok apabila makcik Sarah hanya duduk disebelah ayah tanpa bersuara. Kak Lisa pula membaca majalah tanpa menegurnya.
            “Assalamualaikum”
            Farah masuk bersama beg miliknya dan ayah. Amal segera membantu membawanya ke ruang tamu. “Nak bawa terus ke bilik kau ke?”
            Amal memandangnya tidak berkelip. Farah yang menyedari keadaan yang kekok itu menoleh ke arah pakcik Hussain. “Bilik? Kenapa dengan bilik?”
            Kak Lisa akhirnya bersuara. Amal memandang ayah. Lelaki itu berdehem seketika sambil membetulkan duduknya. “Mulai sekarang, Amal akan tinggal bersama kita”
            “Apa?” suara kak Lisa naik satu tangga. Ayah mengangguk. “Panjang cerita sebenarnya. Pendeknya, Amal sebenarnya adalah Alyn”
            Wajah makcik Sarah berubah sedikit. Dia dan Lisa saling bertukar pandangan. “A….apa maksud ayah? Alyn dah mati!”
            “Apa buktinya? Sekeping kad pengenalan yang elok sedangkan seluruh tubuh terbakar?” Farah menyoal, sinis. Kak Lisa terdiam. Amal sedikit keliru. Apa sebenarnya yang berlaku didalam keluarga ini?
            “Ayah punya bukti yang kukuh, Lis. Dia adalah Alyn. Selama ini, Amal hilang ingatan dan dijaga oleh sebuah keluarga. Ayah tahu perkara ini sukar untuk diterima tapi ayah harap kamu cuba. Amal adalah adik kamu. Dia adalah Alyn!”
            Lisa mencebik, geram. Apa sebenarnya yang terjadi? Alyn sepatutnya sudah mati. Semuanya sudah berjalan mengikut perancangan. Bagaimana dia boleh terselamat?
            “Betul cakap ayah kamu tu, Lis. Takkanlah ayah kamu nak menipu” makcik Sarah akhirnya bersuara. Dia bangun menghampiri dengan senyuman. Amal kaget sekejap. Entah kenapa, senyuman itu membuatkan bulu romanya naik tiba-tiba.
            “Kamu hilang ingatan?” dia menyoal tanpa nada. Amal mengangguk dengan teragak-agak. “Jadi, kamu tak ingat apa yang berlaku sebenarnya?”
            Tanpa sempat Amal menjawab, tubuhnya dipeluk erat. Amal kaku didalam pelukan. “Rindunya makcik pada kamu. 3 tahun makcik merindui kamu. Begitu juga dengan ayah kamu. Dia orang paling sedih apabila mendapat tahu kamu sudah meninggal”
            Amal lihat ayah tersenyum. Dia membalas kekok. Mungkin dirinya memerlukan masa untuk menerima semua ini. Seketika kemudian, pelukan direnggangkan. Makcik Sarah mengukir senyuman memandangnya.
            “Kamu tentu letih. Pergilah berehat di bilik kamu. Faye, kamu boleh tunjukkan Amal ‘kan?”
            Farah mengangguk. Dia sudah memegang beg tarik milik Amal. “Ayah?”
            Amal memandang ayah di kerusi. “Jangan risau. Makcik akan bawa ayah kamu ke bilik. Kamu juga perlukan rehat untuk menerima semua ini. Pergilah”
            Apabila melihat ayah memberinya kebenaran, barulah kaki Amal melangkah mengikuti Farah yang berjalan dihadapanya.
            Pintu bilik yang tertera namanya dibuka oleh Farah. Amal masuk ke dalam sebelum kakinya seolah-olah digam. Dia terpegun memerhati keadaan bilik. Amal mampu merasa sesuatu di hatinya walaupun mindanya kosong ketika ini. Jauh disudut hatinya, Amal tahu ini adalah biliknya.
            Farah menoleh ke belakang apabila terasa suasana sunyi. Dia lihat Amal yang kaget memerhati sekeliling. Seolah-olah bilik ini adalah asing untuknya. Kemudian, dia teringat mengenai keadaan Amal. Ingatan Amal tentang hidupnya sebelum kemalangan masih tidak ditemui sehingga sekarang. Mungkin sebab itu Amal merasa asing dengan rumahnya sendiri.
            “Kau ingat tak gambar ni?”
            Amal tersedar. Dia melihat bingkai gambar yang dipegang oleh Farah. Dia cuba mengingati kenangan disebalik gambar mereka berbaju sekolah itu namun hampa. Akhirnya, dia menggeleng lemah.
            “Ini hari terakhir kita di sekolah. Selepas habis je kertas akhir untuk SPM. Aku minta tolong Naim tangkap gambar ini”
            Amal hanya mampu mengangguk. Dia tahu Farah cuba merangsang mindanya untuk mengingati hidupnya sebelum kemalangan berlaku. Kaki dibawa menghampiri sebelum bingkai gambar itu diambil. Mereka berlalu duduk diatas katil.
            Bingkai gambar itu diletakkan diatas meja dan dia kembali memerhati sekeliling. Biliknya sekarang lebih kecil berbanding biliknya dirumah mama. Namun, rekaan dalaman bilik ini membuatkan dia merasa lebih dekat dihati sebenarnya. Didalam bilik ini juga terdapat beberapa gambarnya bersama ayah dan Farah.
            “Aku tahu tentu sukar untuk kau terima semua ini. Aku juga tak memaksa kau untuk ingat semuanya. Asalkan kau sihat dan disisi aku seperti sekarang, aku dah cukup gembira”
            Farah memberi senyuman semangat untuknya. Amal hanya mengangguk. “Boleh aku tanya sesuatu?”
            Farah mengangguk. “Kau….tak pergi kolej?”
            Amal memandang dengan berhati-hati. Farah menguntum senyum. Dia tak salahkan Amal kerana menyoal. Lagipun, gadis disebelahnya ini memegang ingatan Amal dan bukanya Alyn.
            “Bukan mudah, Amal. Universiti atau kolej. Kedua-dua itu perlukan perbelanjaan. Jujurnya, aku tak mampu. Sebelum kau kemalangan, kita berdua dah berjanji untuk bekerja dahulu untuk setahun. Selepas itu baru sama-sama mendaftar”
            Amal terdiam mendengar. Dia tak menyangka Alyn dan Farah melalui kehidupan yang sukar seperti ini. 3 tahun dijaga oleh mama, Amal diberi semuanya. Walaupun papa tidak mengajar mereka untuk hidup mewah namun Amal mendapat semua yang diingini. Kadangkala, terlalu berlebihan kerana mama memang gemar memanjakan dirinya. Sekarang dia sedar betapa bertuahnya dirinya dahulu.
            “Aku…minta maaf”
            Farah menggeleng dengan senyuman. “Tak mengapa. Bukan salah kau pun. Ini keputusan aku. Jangan rasa bersalah sebab aku”
            Amal kembali diam. Masih terlalu banyak yang tidak diketahui. Dia sendiri merasa masih ada lagi rahsia yang disembunyikan didalam keluarga ini sendiri. Walaupun keluarga ini adalah keluarganya.
            “Sebab itu kau bekerja di hotel tu?”
            Farah sekadar mengangguk. “Tapi kau tahu ‘kan yang kak Lisa satu kolej dengan kau?” temanya itu menyoal. Amal sedikit terkejut. Farah mengerut dahi.
            “Oh. Aku lupa. Dia sepatutnya sudah habis tahun lepas. Tapi memandangkan dia repeat paper dan sekarang tak ada lagi short semester, dia kena lalui Penilaian Khas untuk grad
            Kak Lisa satu kolej dengan aku? Dia faham apa yang Farah sampaikan. Ramai sebenarnya pelajar senior yang melakukan perkara itu. Mereka tidak perlu hadir ke kolej. Hanya menyiapkan tugasan yang diberi. Di akhir semester, mereka akan menghantar semua tugasan tersebut dan pensyarah akan meluluskan mereka.
            “Tentu sukar untuk kau lalui semua ini sendiri. Bila kita bertemu pula, aku tak ingat langsung tentang kau”
            Farah menunduk sedikit. Sejujurnya, dia sememangnya merasa kecewa. Namun ketika itu, dia tak tahu apa yang berlaku kepada Amal. Sekarang, dia mampu memahaminya. Malah, kini dia pula yang bersimpati dengan nasib Amal.
            “Tak perlu risaukan aku. Risaukan diri kau tu. Selama ini kehidupan kau berbeza dengan kehidupan yang bakal kau lalui sekarang”
            Amal tersenyum. “Faye, kehidupan sekarang adalah kehidupan aku yang sebenarnya. Kau dah lupa ke?”
            Farah tergamam sekejap. Faye? Adakah dirinya silap mendengar? Amal memanggilnya Faye? Dia kembali memandang Amal yang sudah membuka beg yang dibawanya. Kemudian, dia melihat Amal mengeluarkan bingkai gambar yang diletakkan ditempat paling atas sekali didalam beg.
            Amal bangun berlalu ke meja berlajarnya lalu menyusun bingkai gambar itu dengan teratur. Farah sekadar menjadi pemerhati. Amal membawa gambar keluarga angkatnya bersama. “Mereka tentu orang yang baik ‘kan?”
            Dia menoleh sebelum tersenyum. “Aku bertuah dipertemukan dengan mereka” senyuman masih di bibir. Farah turut tersenyum. Dia mampu melihat kebahagiaan apabila Amal berbicara tentang keluarga kandungnya.
            Farah sebenarnya bersyukur apabila Amal ditakdirkan hilang ingatan mengenai kehidupanya sebelum kemalangan. Itu kerana dia mahu Amal melupakan semua kelukaan yang dilalui kerana perbuatan makcik Sarah dan kak Lisa.
            “Aku yakin tentang itu. Aku dapat lihat mereka ikhlas menyayangi kau. Terutamanya mama kau tu”
            Dia kemudian membantu Amal mengeluarkan baju-baju yang dibawa sebelum digantung didalam almari miliknya. Amal tidak membawa banyak baju. Mungkin kerana mengingati pesanya sebelum ini.

************************************

            Nafas dihela sebaik berdiri dihadapan pagar berwarna biru gelap itu. Mata kemudian memandang papan tanda kolej yang membawa banyak kenangan untuknya. Namun kebanyakanya adalah pahit belaka.
            “Hoi!”
            Kepala ditoleh mendengar suara itu. Lisa melihat Erin turut berdiri disebelah dan gadis itu memberi senyuman kepadanya.
            “Kau pun kena datang juga?” dia menyoal, sedikit terkejut. Erin mengangguk. “Aku kena ubah pensyarah. Puan Nisa dah bersalin. So, sekarang ni aku dibawah cik Linda”
            “Sekali dengan aku?”
            Erin memberi sengihan. Lisa menghela nafas. Memandangkan dirinya tak mampu grad seperti rakan yang lain, mereka diberi peluang kedua iaitu menjalani Penilaian Khas. Sepatutnya, setiap pensyarah hanya memantau seorang pelajar sahaja. Tapi seperti yang Erin beritahu. Sekarang, mereka berdua akan dibawah pemantaun Cik Linda.
            “Kenapa kau datang pula?”
            “Hantar inilah. Dia nak sebelum habis sem”
            Lisa buat muka sebal. Sakit hati pula memikirkan karenah Cik Linda yang menyusahkan dirinya. Memang nasib malang sungguh ditempatkan dibawah Cik Linda yang garang dan pentingkan kesempurnaan itu.
            Erin tiba-tiba mengeluh. “Itulah. Aku nyaris meraung bila dapat tahu aku diletakkan bawah Cik Linda. Puan Nisa baik gila kot. Senang aku bila duduk bawah dia. Tak banyak karenah sangat. Asalkan aku siapkan semua kerja yang dia bagi”
            Mereka kemudian sama-sama mengeluh. “Marilah. Panas pula duduk sini lama-lama. Nanti membebel pula andartu tu sebab kita lewat”
            Erin ketawa kecil. Lisa tersenyum. Mereka masih tidak lupa gelaran yang diberi budak kelas dahulu untuk Cik Linda yang masih membujang walaupun usia sudah beranjak ke pangkal 4.
            Keadaan kolej masih seperti biasa walaupun hampir 6 bulan mereka tidak menapak kesini. Banyak juga junior baru yang tidak dikenali. Tapi ada juga muka yang familiar di minda mereka. Terasa cepat sungguh masa berlalu. Jika mereka tidak carry paper, pastinya mereka akan sama-sama kovo dengan kawan yang lain.a
            “Macam mana ayah tiri kau? Aku dengar masuk hospital lagi? Sakit teruk ke?” Erin menyoal. Dia dapat tahu cerita tentang Lisa pun dari rakan kelas yang lain.
            “Biasalah. Penyakit sakit jantung ni macam bom. Menyusahkan betul. Aku dengan mama tak larat nak ulang-alik hospital tahu?”
            Erin hanya mengangguk walaupun dia sebenarnya hairan. Bukanya dia tak tahu hubungan Lisa dan ayah tirinya itu memang kurang baik sejak mamanya berkahwin. Erin sendiri taktahu apa puncanya.
            “Orang tua, Lis. Kita kena banyak bersabar. Walaupun itu bukan ayah betul kau. Tak baik kau cakap macam tu”
            Lisa mencebik. Dia tak perlukan Erin unuk menasihatinya. Erin sekadar orang luar yang tak tahu apa-apa. Erin yang mempunyai ayah seorang doktor pastinya takkan memahami kehidupan orang biasa seperti dirinya yang sering pening memikirkan masalah duit yang tak pernah sudah.
            Lisa sendiri hairan kenapa mama memilih ayah sedangkan ramai lagi lelaki kaya diluar sana yang ingin memperisterikan mama. Kerana pilihan mama itulah, mereka hidup seperti sekarang. Lisa salahkan mama dan ayah kerana membuat hidupnya susah seperti ini. Namun dia lebih membenci ayah yang tidak mampu menyediakan apa yang diingini tetapi melebihkan anak tunggal kesayangan itu.