Thursday, 25 July 2013

143

“Tak guna kau! Selamatkan diri sendiri je”
            Dhani menyerbu sebaik dia menjawab video call daripada lelaki itu. Kai meletakkan Samsung Note di tempat khas sebelum menjungkit bahu. Bukan masalah aku!
            “Dia dah balik?”
          “Habistu? Kau nak dia duduk macam tugu negara?” Mika menyoal disebelah. Kai sekadar tersenyum. “Apalah yang kau tak suka dengan Hannah tu? Separuh populasi kolej jatuh hati dengan dia”
            “Bukan aku” dia menjawab pantas. Dhani menggeleng. Mika ketawa kecil. “Sebab itu dia kejar kau”
            Kai hanya menjungkit bahu sebelum menghela nafas. “Berpuluh kali aku beritahu. Bukan salah aku kalau dia masih nak kecewa sendiri”
            Mika mengangguk sambil menyedut cappuccino sejuk kegemaran. Dhani mengeluh. Memang betul la dengan nama. Megat Kairil Adam. Lelaki yang immune dengan seorang Hannah Delaila. Mungkin sebab itulah tuan puteri tu asyik mengejar. Hanya budak ni sahaja yang tak layan liuk lentok dan manja dia tu.
            “Apa yang nak beritahu mama kesayangan kau? Hannah tu calon pilihan tahu?”
            “Tak perlu risau. Aku anak kesayangan dia. Siapa hantar dia balik?”
            “Aku la. Kau ingat dia nak balik naik teksi ke?” Dhani buat muka. Kai dan Mika sama ketawa. “Aku rasa, budak ni je yang cair dengan liuk lentok si Hannah tu”
            Dhanie mengherot bibir dengan wajah tak puas hati. Kai masih tersenyum. “Aku kenal dia sejak sekolah rendah la. Memandangkan family kami berkawan baik. Memang aku tak anggap dia lebih dari adik”
            Mika mengangguk. Itulah ayat yang Kai ulang di telinga Hannah sampai dia sendiri boleh hafal. Tapi perempuan tu memang tak faham bahasa. Lagi Kai menolak, lagi dia menghampiri. Padahal, berbaris peminat dia dekat kolej. Lelaki yang tak suka dialah yang Hannah mahu.
            “Aku harap dia fahamlah kali ini. Kami pun letih kena uruskan dia setiap kali kau blah macam tu je”
            Kai mengangguk. Bukan dia tak mahu. Tapi hatinya tak mungkin menerima Hannah. Mereka kenal sejak kecil. Mana mungkin Kai menganggap Hannah melebihi seorang saudara.
            “Malam ni Venus jom. Lama aku tak asah skil aku” Mika memberi cadangan. Dhani mengangguk.
            “Aku nak lepaskan stress
            Kai ketawa. “Aku patutnya yang nak lepaskan stress. Apahal kau?”
            Dhani memberi sengihan. “Cukuplah ada seorang Hannah Delaila. Hidup aku tunggang terbalik dibuatnya”            
            Mika menepuk bahu Dhani, bersimpati. Kai hanya mampu menggeleng. Diantara mereka bertiga, hanya Dhani yang masih gigih melayan karenah Hannah. Kai tahu Dhani punya hati pada Hannah. Kalaulah gadis itu sedar.
            Strettttt. Bunyi brek yang ditekan tiba-tiba membuatkan dirinya terdorong ke hadapan. Nasib baiklah pakai seatbealt. Kalau tak, free hentam kusyen pemandu. Note hitam miliknya juga jatuh ke kaki.
            “Pak Mat” dia bersuara, sedikit risau. Jantung berdegup kencang. “Maafkan saya, tuan muda. Tuan muda tak apa-apa?”
            Kai menggeleng. “Kenapa brek tiba-tiba?”
            Pak Mat mengesat peluh yang menitis. Aku dah langgar orang ke? Entah macam mana, budak perempuan tu tiba-tiba melintas tanpa melihat kiri dan kanan. Nasib baik dia sempat menekan brek.
            “Kai! Kai!” suara Dhani dan Mika yang cemas membuatkan dia kembali mengambil note yang berada di kaki. Dia melihat wajah mereka berdua yang turut terkejut.
            “Apahal? Accident ke?”
            Kai mengangguk. “Saya rasa saya terlanggar seseorang, tuan muda” Pak Mat memberitahu.
            “Apa? Langgar orang?” budak berdua ni yang terkejut lebih. Kai memandang mereka. “Aku call nanti. Bye”
            Panggilan dimatikan. Dia membuka seatbelt sebelum turun dari kereta. Ramai yang sudah mengerumuni tubuh yang terbaring diatas jalan raya ketika ini. Kai menghampiri dan berdiri melihat Pak Mat cuba menyedarkan gadis itu.
            “Cik! Cik”
            Pipi gadis itu ditampar lembut. Tiada darah bermaksud dia tak sempat melanggar gadis itu. Namun, kenapa boleh sampai pengsan ni?
            Kai memandang. Dia sendiri tak tahu nak buat apa sebenarnya. Dengan ramai lagi orang awam yang berkumpul. Dia jadi tak selesa. “Bawa dia ke dalam kereta, Pak Mat. Kita hantar dia ke hospital”
            “Baik tuan muda”
            Dengan muda, tubuh kecil itu dikendong dan dibawa masuk ke tempat duduk belakang. Kai mengambil tempat disebelah Pak Mat sebelum kereta dibawa menuju ke hospital berhampiran.

*********************************

            Setelah mengisi boring tertentu di ruang pendaftaran, Kai menghampiri Pak Mat yang duduk di ruang menunggu dengan wajah resah. Dia menghela nafas. Pasti Pak Mat risau dengan keadaan gadis itu.
            “Pak Mat” dia melabuhkan punggung disebelah lelaki separuh abad itu. Pak Mat menoleh sedikit. “Saya dah uruskan semuanya. Pak Mat jangan risau”
            Pemandunya itu sekadar mengangguk. Kai memandang sekeliling hospital. Nasib baiklah Doktor Harith bertugas hari ini. Senang untuknya meminta bantuan. Telifon tiba-tiba berbunyi. Kai segera menjawab apabila tertera nama mama di skrin.
            “Megat Kairil Adam. Kamu dimana? Mama dengar kamu kemalangan? Kamu cedera tak? Mana Pak Mat? Kenapa sampai boleh kemalangan?”
            Senafas Datin Nora menyoal tanpa sempat memberi ruang untuk anak bongsunya itu menjawab. Kai tersenyum sendiri. Mama, mama. Selalu drama. Itulah, suka sangat tengok cerita Indonesia. Sampai terbawak-bawak.
            “Kai tak apa-apa. Siap boleh jawab telifon mama lagi” dia menjawab tenang sebelum ketawa. Datin Nora mengurut dada yang hampir gugur sebentar tadi.
            Iyalah, mana tak risau. Anak kesayangan tiba-tiba diberitahu mengalami kemalangan. “Lega mama dengar. Tapi, kalau kamu tak cedera, siapa pula yang cedera? Pak Mat?”
            “Tak. Ada budak perempuan ni tiba-tiba melintas tak tengok kereta. Nasib baik Pak Mat sempat brek”
            “Budak perempuan?”
            Kai mengangguk tanpa sedar. “Jangan risau. Harith tengah urus didalam. Kai rasa dia tak apa-apa. Pengsan je kot”
            Datin Nora melepaskan hela nafas yang sebentar tadi rasa seperti disekat. “Mama suruh abang lihat kamu dekat hospital ye? Ish, risau betul hati mama ni. Sudahlah mama dengan papa tengah jauh. Kamu pula macam-macam hal”
            Kai hanya tersenyum. Dia tahu mama sentiasa risau apabila ada hal membabitkan dirinya. “Tak perlulah. Abang mesti sibuk. Kai uruskan dia dulu. Nanti Kai telifon mama lagi”
            Datin Nora rasa berat hati. Namun dia harus percayakan Kai. Dengan keadaan mereka yang berjauhan, dia hanya mampu berdoa semuanya baik-baik sahaja. Sebentar lagi, dia mahu menghubungi Kuzer pula.
            “Baiklah. Kamu hati-hati. Mama tetap akan suruh abang kesana untuk bawa kamu balik. Suruh Pak Mat ambil cuti 2-3 hari untuk tenangkan fikiran. Jaga diri kamu sehingga mama balik ye, sayang”
            “Baik ma”
            Pintu bilik kecemasan dibuka. Pak Mat sudah berdiri sebaik kelibat doktor Harith keluar bersama barisan jururawat dan doktor pembantunya.
            “Okaylah ma. Kai kena pergi ni. Bye”
            Panggilan dimatikan. Dia segera berdiri dan melihat doktor Harith menghampiri mereka dengan wajah tenang. Dia masih tak mampu menduga apa sebenarnya yang sudah berlaku.
            “Macam mana, bang? Dia okay ke?”
            Doktor Harith menanggalkan mask di wajah. Dia kemudian memandang Kai. “Kai kenal dia ke?” dia menyoal, sedikit aneh. Budak ni bukanya lekat dengan perempuan. Lebih selesa dengan kawan-kawan lelaki dia je. Sejak bila dia kenal budak perempuan tu?
            “Pak Mat yang hampir langgar dia tadi. Kenapa, bang? Dia cedera teruk ke?”
            Doktor Harith melepaskan keluhan, berat. Kalau cedera teruk, dia tidak risau macam ni. Tapi ada yang lebih teruk sebenarnya. Kai semakin hairan. Apa yang Harith nak beritahu ni? Susah sangat ke?
            “Ada gumpalan darah beku dekat otak. Abang dah keluarkan. Tapi dia mungkin hadapi komplikasi yang membuatkan dia hilang ingatan”
            Kai tergamam. Pak Mat menekup mulut dengan wajah terkejut. Doktor Harith mengangguk. “Masalahnya, kami tak jumpa pun IC ataupun apa-apa yang boleh beritahu siapa dia. Sebab itu abang tanya kamu. Dimana kamu jumpa dia?”
            Suasana menjadi sepi tiba-tiba. Masing-masing dalam keadaan tidak percaya. Kai meraup wajah dengan otak yang berserabut. Apa aku nak buat sekarang?
            “Tapi dari cara pakaian, dia bukan orang jahat. Lagipun, waktu dia dibawa dekat hospital tadi, dia asyik merintih panggil mama”
            Kai masih diam. Dia menyeluk tangan ke dalam saku seluar. Otak tiba-tiba terasa seperti berhenti berfungsi ketika ini. Dia tak tahu nak buat apa.
            “Nak lapor dekat polis? Cuba buat iklan. Mana tahu ada ahli keluarga dia yang tengah cari dia sekarang ni”
            Doktor Harith memberi cadangan. Ini sahaja cara yang mampu difikirkan olehnya. Lagipun, gadis comel macam tu. Tak mungkinlah tak ada orang yang cari. Kai akhirnya mengangguk.
            “Itu je caranya. ‘Kan?” dia memandang doktor Harith. Lelaki yang sebaya abang itu mengangguk. Dia kemudian memegang bahu Kai.
            “Abang akan pindahkan dia ke wad VIP. Dia mungkin perlukan masa untuk pulih. Kamu jangan risau. Abang akan pastikan dia okay”
            Kai mengangguk. Dia memandang Pak Mat yang masih membisu. “Sekejap lagi abang datang” dia memberitahu. Doktor Harith mengangguk. “Abang akan bincang dengan Kuzer. Buat masa sekarang, seorang je yang boleh jenguk dia. Ubat bius masih ada. Esok mungkin dia sedar”
            “Baiklah. Terima kasih, bang”
            Doktor Harith mengukir senyuman. “Abang terkejut tadi. Ingat kamu yang kemalangan. Teruk nak jawab dengan Kuzer nanti”
            “Belum lagi mama” Kai menambah. Mereka akhirnya sama-sama tersenyum. “Itulah. Nasib baik kamu okay. Abang kena pergi ni. Jaga diri kamu”
            Kai mengangguk. Dia melepaskan keluhan. “Pak Mat okay?” dia menyoal pemandu yang sejak tadi hanya diam. Pak Mat menoleh.
            “Apa kita nak buat, tuan muda?”
            Wajah Kai berubah serius semula. “Nanti Kai bincang dengan abang. Pak Mat jangan risau. Kita akan cari keluarga dia”

*************************************************

            3 tahun kemudian…..

            “Sayang”
            Pintu berwarna putih bersih itu diketuk lembut. Datin Nora tersenyum. “Amal sayang. Bangunlah. Hari ini hari pertama kamu ke kolej”
            Dia mengetuk lagi. Apabila tiada jawapan dari dalam, pintu itu dibuka. Nasib baiklah tidak berkunci. Tapi selalu pun Amal memang tidur tidak berkunci. Bukan macam along dan Kai. Naik kematu tangan nak ketuk. Akhirnya, dia suruh ibu Siti untuk ambil kunci pendua.
            Apabila masuk kedalam bilik, dia melihat anak perempuanya itu masih tidur dengan nyenyak. Datin Nora menggeleng. Tidur pun macam tuan puteri. Hati seorang ibu terusik. Sejak dahulu lagi dia menginginkan anak perempuan. Alhamdulillah. Doanya dimakbulkan tuhan. Walaupun dalam cara yang tidak disangka olehnya.
            Datin Nora duduk di hujung katil sebelum membelai rambut Amal yang panjang ke bahu. “Amal sayang. Bangun. Pukul 7 dah ni” dia memujuk lembut. Amal bergerak sedikit. Dia menoleh kearah suara lembut itu.
            “Mama”
            Pinggang mama dipeluk erat. Harinya akan sentiasa gembira jika mama mengerakkanya. Datin Nora tersenyum. Dia mencium ubun-ubun Amal dengan penuh kasih-sayang.
            “Manjanya sayang mama ni. Bangunlah. Mama siapkan roti telur kegemaran kamu”
            Amal mengeratkan lagi pelukanya. Dia sentiasa merasa tenang didalam pelukan mama. Ditambah pula dengan haruman mama yang membuatkan dia tenang. Datin Nora menampar punggung Amal dengan lembut.
            “Budak bertuah. Bangun cepat. Nanti Kai bising”
            Anak gadisnya itu membuka sedikit mata sebaik mendengar nama Kai. “Ala, abang tu. Selalu cemburu. Bukanya Amal tak tahu”
            Datin Nora menggeleng. Dia melihat Amal bangun sebelum membetulkan rambut Amal yang berserabut. Dia ketawa kecil. “Anak mama ni. Tidur ke pergi berperang?”
            Amal tarik muka. Datin Nora masih ketawa sambil menyikat rambut Amal yang panjang. Kasihnya tumpah untuk gadis ini. Dia kemudian bangun mengambil tuala yang sudah disiapkan oleh pembantu sebelum dihulur kepada Amal.
            “Mandi cepat. Nanti nak mendaftar untuk kolej”
            Amal merengek namun tetap turun dari katil dengan perlahan-lahan. Bencinya nak bangun pagi. Habislah cuti selama 2 bulan. Rasa sekejap sangat.
            “Mama tunggu di bawah. Ibu Siti dah siapkan baju kamu dalam almari. Jangan lewat” pintu bilik ditutup semula. Amal masuk ke dalam bilik air.

*************************************8

            “Morning, ma” pipinya dikucup along sebelum menarik kerusi untuk duduk. “Selamat pagi. Awal bangun hari ini, long?” dia menyoal, hairan. Selalunya, waktu kerja along pukul 9 pagi. Ada apa-apa ke?
            Kuzer hanya tersenyum. “Hari ni ada meeting dengan shareholders, ma. Minggu pertama setiap bulan”
            Datin Nora mengangguk. Dia lega kerana along sudah mampu membantu suaminya di Global. Ringanlah sikit beban suaminya itu. Malah, sejak akhir-akhir ini Datuk Megat Akasha juga kelihatan semakin senang untuk memberikan semua tugas kepada anak sulung mereka ini.
            “Ini air kopi awak” dia menghidangkan air kopi kegemaran Datuk Megat Akasha. Suaminya itu memberi senyuman. “Terima kasih, sayang”
            Kuzer menyapu jem strawberry keatas roti bakar yang tersedia. Dia memandang kerusi yang kosong dihadapanya ketika ini. Mana pula adik-adik kesayanganya ini? Tak turun lagi ke? Dia ternampak kaki Kai yang sedang menuruni tangga sambil memakai jam di tangan.
            “Morning, ma” dia mengucup pipi mama sebelum menarik kerusi dihadapan along. Kuzer hanya tersenyum. Satu tabiat mereka diwaktu pagi tanpa miss. Mama pula tak pernah melarang walaupun masing-masing sudah meningkat dewasa.
            Kai menebalikan semula pinggan dihadapan sebelum menceduk nasi goreng yang masih berasap dihadapan. Menyelerakan sungguh. Mesti mama yang masak sebab bau sedap macam ni.
            Selesai semuanya, Datin Nora turut duduk untuk bersarapan. Jarang sebenarnya untuk mereka sekeluarga bersarapan seperti ini. Selalunya, sibuk dengan urusan masing-masing.
            “Mana budak manja tu, ma?” Kai menyoal disebelah. Datin Nora meletakkan cawan berisi teh panas yang disediakan ibu Siti.
            “Mama baru kejutkan tadi. Tengah mandi rasanya. Kamu bawa dia untuk mendaftar hari ini ‘kan?”
            Kai menggeleng. Wajah Datin Nora berubah. “Bukan Kai janji ke?” dia menyoal, hairan. Apa kena pula budak ni? Bergaduh dengan Amal lagi ke?
            “Lupa nak beritahu mama. Kai ada perjumpaan untuk final project hari ini. Kena jumpa supervisor. Kai tak boleh hantar Amal”
            Datin Nora hampir tersedak roti bakar yang dikunyah. Datuk Megat Akasha melipat suratkhabar yang dibaca tadi. Kuzer memandang Kai, tidak berkelip. “Kairil Adam” suara papa kedengaran.
            “Hari ini baru nak beritahu? Siapa nak bawa Amal hari ni?”
            Kai menjungkit bahu. Aku pun baru dapat telifon dari Mika semalam. Itupun pukul 2 pagi. Mangkuk tingkat punya kawan. Alasanya sebab dia baru teringat Dhani beritahu dia 2 minggu lepas. Tak guna punya kawan.
            “Tak apa. Amal pergi sendiri”
            Mereka menoleh. Amal menghampiri meja sebelum menarik kerusi disebelah along. Dia mengukir senyuman apabila melihat wajah mama dan papa yang risau. “Amal bukan budak-budak lagi”
            Dia memberi keyakinan. Lagipun, sampai bila mama dan papa nak manjakan dirinya seperti ini? Lambat-laun, dia harus lalui semua ini sendiri. Kai memandang Amal dihadapan.
            “Kau yakin, budak kecik?”
            Amal menjelir lidah. “Amal tunjukkan dekat abang. Amal boleh berdikari la!” dia membalas, bersemangat. Kuzer tergelak. Kepala Amal digosok lembut.
            “Betul ni? Along risaulah. Kalau Amal tiba-tiba pengsan sebab nervous macam dulu, macam mana?”
            Wajah Amal berubah. Ala along ni. Itu cerita lama. Selalu mengungkit. Kuzer tergelak, kecil. Sejak Amal hadir, kehidupan mereka sekeluarga berubah sepenuhnya. Dia yang dahulu inginkan adik perempuan, menyambut Amal dengan tangan terbuka. Mama dan papa juga sama. Tapi Kai je yang pelik. Dia yang tak suka sedangkan dirinya yang menyelamatkan Amal dahulu.
            “Betul cakap along tu. Mama risau tahu? Mama suruh Pak Mat temakan ye, sayang?”
            Datin Nora memandang, berharap Amal setuju. Kalau tidak kerana punya janji dengan Datin Rose untuk baju kahwin anaknya hari ini, pasti dia sendiri yang akan menghantar Amal untuk hari pertama ke kolej.
            “Nope. Amal okay. Jangan risau” dia menjamah roti telur kegemaran dengan senyuman. Kuzer menguntum senyuman. Mama dah buat muka. Nak tergelak pun ada. Bila membabitkan Amal, mama memang jadi protective sangat. Mungkin sebab itu Kai cemburu. Dahulu, dia segala-galanya untuk mama. Sekarang, semuanya berubah.
            Datuk Megat Akasha mengurut tangan isterinya. Wanita itu menoleh. “Tak apa, sayang. Amal bukan budak-budak lagi. Jangan risau. Kita kena berlajar percayakan dia”
            Datin Nora terdiam. Kata pujuk si suami membuatkan dia sedikit tenang. Wajah Amal dipandang. Anak perempuanya itu mengangguk dengan yakin. Akhirnya dia mengalah. Helaan dilepaskan.
            “Promise me. Sampai sana, telifon mama. Mama akan uruskan dengan orang atasan kolej. Kamu jangan risau ye?”
            Amal mengangguk. Dia melihat Kai yang memberi senyuman sinis. Amal menjelir lidah. Jauh disudut hati, dia hairan kenapa Kai seperti membencinya. Berbeza sekali dengan along.

********************************

            Kereta BMW milik along berhenti dihadapan pintu pagar Kolej Bendahara. Hari pertama mendaftar. Nampaknya, ramai juga pelajar baru untuk kolej ini. Amal menghela nafas memegang beg berwarna coklat yang berada diatas riba.
            Kuzer menoleh melihat wajah Amal tidak berdarah. Dia sedikit risau. Boleh ke ni? Selama ini, Amal hanya belajar di rumah dan tutor yang mama upah akan datang. Ini kali pertama Amal akan menghadapi keadaan macam ni. Kuzer jadi risau.
            Dia masih ingat hari pertama SPM. Amal harus ke sekolah untuk ambil peperiksaan. Dia pengsan tiba-tiba apabila dikerumuni ramai orang. Sebab itulah mama risau. Mungkin lama terperap dalam rumah membuatkan Amal cepat panik kalau berada ditengah orang ramai.
            “Mal”
            Tangan adiknya itu digenggam dengan wajah risau. Amal menoleh. “Kamu okay? Nak along teman?”
            Amal segera menggeleng. Dia taknak susahkan along. Lagipun, along sibuk dengan syarikat. Dia pun dah janji dengan mama. “Tak apa, along. Amal pergi sendiri”
            Pintu kereta dibuka. Amal menguatkan semangat sebelum menggalas beg di bahu kereta dan berlalu kearah pintu along. Tingkap dibuka. Senyuman diukir dibalik rasa gugup ketika ini. Wajah along masih risau.
            “Along risau ni. Macam mana kalau kamu pengsan lagi?” dia menyoal. Amal hanya mampu ketawa. “Along datanglah ambil macam dulu”
            “Amalina Imani”
            Amal memberi sengihan. Along kalau dah guna nama penuh. Memang tahulah yang dia serius. “Sorry. Amal janji Amal jaga diri. Jangan risau, along. Amal dah 20 tahun tahu?”
            Kuzer melepaskan keluhan. Dia berharap sangat Kai ada waktu ini. Budak itu pun satu hal. Hari inilah baru nak beritahu ada perjumpaan dengan prof dia. Kalau beritahu awal-awal, aku boleh ambil cuti untuk teman Amal.
            “Okay. Take care of yourself. Kalau ada apa-apa, telifon along dengan segera” dia memberi pesanan dengan serius. Amal mengangguk.
            “Speed dail nombor mama ‘kan?”
            “Yeap” Kuzer sedikit lega. Dia harap tiada apa-apa yang berlaku. Jeritan pelajar yang bertemu rakan mereka membuatkan Amal menoleh. Lebih baik dia pergi sekarang.
            “Okaylah. Amal pergi dulu. Bye, long”
            Kuzer melihat Amal masuk ke dalam kawasan kolej. Dia masih risau tapi Kuzer tahu dia harus percayakan Amal. Lagipun, mereka tak boleh terus melindungi Amal. Kereta dihidupkan semula dengan rasa berat hati. Semoga adiknya itu tak apa-apa. Dia berdoa bersama kereta yang menjauhi Kolej Bendahara.

3 comments:

  1. UITTTT...CITE BARU???? INGATKAN CITE Q TD...TP NI SEQUENT KE APE NGAN KAWAN2 Q SBB ADE DANNY NGAN MIKA...2 YNG INGAT CITE Q NGAN THEA...

    ReplyDelete
  2. ini cerita baru.
    hmmm, cerita Q sangat sukar untuk disambung but i'll try.
    HAHA, tak perasan pula nama sama.
    kebetulan rasanya sebab saya memang suka nama Danny dan Mika.
    btw, hope you enjoy it.
    ada feeling i'll continue this story till the end.

    ReplyDelete
  3. hokey....i tunggu ...n SLAMAT RAYA!!!!! hehehe

    ReplyDelete